Masa Hidup Di Dunia Hanya Sekali : Pena Hijau

Masa Hidup Di Dunia Hanya Sekali

insan rabbani
Insan Rabbani Insan Berkualiti
27 Jan 2022
isra' dan mi'raj
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Penghayatan Sepanjang Zaman
25 Feb 2022
insan rabbani
Insan Rabbani Insan Berkualiti
27 Jan 2022
isra' dan mi'raj
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Penghayatan Sepanjang Zaman
25 Feb 2022
masa
icon follow us

Masa adalah salah satu nikmat yang sangat berharga dalam kehidupan kita dan ia berlalu dengan begitu pantas tanpa kita sedari. Terdapat banyak peribahasa yang dikaitkan dengan masa, antaranya masa itu ibarat mata pedang, masa itu emas, masa yang berlalu tidak akan kembali dan banyak lagi. Sesungguhnya masa itu jika tidak dimanfaatkan dengan betul, nescaya kita akan berada dalam kerugian. Firman Allah dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 :

[1]وَٱلْعَصْرِ
[2]إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ
[3]إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Demi Masa! [1] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian [2] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar [3]

Imam Fakhruddin al-Razi menafsirkan ayat ini, dengan katanya : “Sesungguhnya Allah bersumpah dengan masa kerana di dalamnya berlaku perkara yang baik dan buruk, kesihatan dan penyakit, kekayaan dan kemiskinan, dan kerana berharganya masa sehingga tidak dapat diukur dengan suatu apa pun yang lain”.

Para hukama pernah berkata : “Barangsiapa yang hari ini lebih baik daripada kelmarin dari segi ketaatannya kepada Allah dalam urusan kehidupan, maka dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini sama dengan kelmarin maka dia adalah orang yang rugi. Barangsiapa yang hari ini lebih buruk daripada hari kelmarin maka dia adalah orang yang celaka. Justeru, kita hendaklah memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik-baiknya”.

Masa yang sedang kita lalui ini boleh diumpamakan sebagai modal dalam perniagaan. Andainya seseorang peniaga yang mempunyai modal yang banyak tetapi tidak tahu untuk menggunakannya maka ia akan membuat dirinya rugi. Begitu juga bagi seseorang mukmin yang dikurniakan masa dan waktu, jika tidak tahu menguruskan masa dengan sempurna nescaya dia akan tergolong dalam kalangan orang yang rugi.

Golongan Yang Menghargai Masa

Dalam kehidupan hari ini, sudah menjadi kebiasaan setelah pulang dari tempat kerja atau selepas waktu pejabat, seseorang itu akan pulang ke rumah masing-masing. Apabila sampai di rumah, ada yang berehat dan tidur, ada yang menonton televisyen sambil minum petang, ada yang menyiram pokok dan memberi makan haiwan peliharaan, ada yang bersukan dan bermacam-macam aktiviti. Itulah yang lazim dilakukan sementara menunggu masuknya waktu maghrib.

Apabila hampir masuk waktu Maghrib, kita akan dapati ada dua golongan; Pertama, yang bersiap untuk ke masjid di samping mengajak anak isteri dan ahli keluarga untuk sama-sama menuju ke Masjid atau surau di samping mendengar kuliah agama dan majlis ilmu. Ini amatlah sedikit berbanding golongan kedua iaitu mereka yang terus berada di rumah.

Mereka yang pergi ke masjid dengan membawa anak dan isteri untuk solat berjamaah, mendengar kuliah dan pengajian, bersedekah di tabung masjid dan pulang, inilah orang yang pandai mengisi masa dan membentuk diri serta ahli keluarganya menuju kejayaan. Sekurang-kurangnya, sesibuk manapun kita di siang hari dengan tugasan dan tanggungjawab mencari nafkah, tetapi pada malam hari sebaiknya kita luangkan masa seketika antara maghrib dan Isyak untuk ke rumah Allah. Jika amalan ini dilakukan secara berterusan insyaAllah kita akan merasai kemanisan hidup dan sinar kebahagiaan akan bertapak dalam kehidupan.

Rasulullah SAW mengingatkan kita semua dengan satu peringatan yang cukup bermakna menerusi hadis baginda yang bermaksud :

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum miskin. Masa lapang sebelum sibuk. Masa hidup sebelum mati.

(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini merupakan satu tarbiah bagi setiap orang mukmin mengingatkan diri agar memanfaatkan waktu dengan melakukan perkara-perkara yang mendekatkan dirinya dengan Allah taala. Bahkan lima perkara yang ditekankan dalam hadis tersebut merupakan kunci penting bagi seseorang mukmin untuk sentiasa berada dalam kebajikan dan kebaikan. Mengapa kita perlu perbanyakkan amalan kebaikan dalam kehidupan ini?

Kerana hidup di dunia ini hanya sekali. Maka manfaatkanlah segala peluang dan ruang yang ada untuk mengabdikan diri kepada Allah. Ini berdasarkan kepada hadis yang bermaksud :

Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha

(Hadis Riwayat Muslim)

Kehidupan kita di dunia ini sangatlah singkat. Justeru, masa yang ada janganlah dibazirkan dengan perkara-perkara lalai yang tidak mendatangkan faedah. Sewajarnya setiap mukmin menggunakan anugerah waktu yang dimiliki dengan membangunkan diri melalui perbuatan yang akan membawanya menghuni syurga Allah Taala. Ini kerana jika di dunia ini waktu yang dihabiskan dengan perkara yang sia-sia sesungguhnya akan mendatangkan penyesalan buat selama-lamanya. Al-Quran menyingkap perkara ini dalam surah al-Munafiqun, ayat 9 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Sesungguhnya mereka yang tidak melakukan amal kebaikan akan menyesal atas perbuatannya. Kekesalan atas setiap kesilapan di dunia ini masih ada waktu untuk memperbaikinya tetapi menyesal di akhirat tidak ada peluang kedua untuk menebusnya. Oleh itu, janganlah menjadi orang-orang yang berada dalam kerugian kerana kesudahan hidup seseorang mukmin itu ditentukan oleh bagaimana dia menguruskan kehidupannya.

Justeru, buatlah sebanyak mungkin kebaikan sesama manusia dan ibadat yang seikhlasnya kepada Allah kerana inilah saham yang akan menentukan tempat seseorang mukmin di akhirat kelak.

Kesimpulan

Pertama : Tanggungjawab dan kewajipan agama yang perlu kita laksanakan jauh lebih banyak daripada masa yang kita miliki.
Kedua: Perbanyakkan amal untuk bekalan kehidupan selepas mati dan jangan bertangguh dalam melaksanakan kebajikan dan kebaikan.
Ketiga : Janganlah terlalu sibuk merancang sesuatu yang belum pasti sehingga berlaku pembaziran masa yang dimiliki pada masa sekarang.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ كَأَن لَّمْ يَلْبَثُوٓا۟ إِلَّا سَاعَةً مِّنَ ٱلنَّهَارِ يَتَعَارَفُونَ بَيْنَهُمْ ۚ قَدْ خَسِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِلِقَآءِ ٱللَّهِ وَمَا كَانُوا۟ مُهْتَدِينَ

Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

(Surah Yunus ayat 45)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Masa Hidup Di Dunia Hanya Sekali
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more