Sila imbas kod QR menggunakan aplikasi Touch n Go eWallet
Rejab merupakan bulan yang sinonim dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Satu perjalanan malam Nabi Muhammad SAW secara ruh dan jasad dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, sebelum dinaikkan ke langit, sebagaimana terakam dalam al-Quran dan Hadis. Peristiwa ini benar-benar berlaku secara mutawatir yang tidak boleh disangkal lagi. Ini bermakna sesiapa yang mengingkari peristiwa ini boleh membawa kepada kekufuran. Firman Allah SWT dalam Surah an-Najm, ayat 11-12 :
مَا كَذَبَ ٱلْفُؤَادُ مَا رَأَىٰٓ
أَفَتُمَـٰرُونَهُۥ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ“Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya [11] Patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu? [12]”
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah SAW selepas Al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah al Isra’ ayat 1 :
سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”
Isra’ merupakan perjalanan baginda SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang buraq. Mi’raj pula merujuk kepada perjalanan Nabi dari Masjidil Aqsa hinggalah ke langit ketujuh mengadap Allah SWT setelah melepasi Sidratul Muntaha. Baginda SAW turut menyaksikan pelbagai tanda kebesaran pemerintahan dan fenomena keajaiban kuasa Allah SWT.
Ia berlaku setahun atau lebih sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah al-Munawwarah, akibat tekanan keras dan hinaan kuat yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Menurut Syeikh Muhammad al Ghazali :
“Isra’ dan Mi’raj berlaku hampir di tengah-tengah perjalanan kerasulan yang masa keseluruhannya 23 tahun. Dengan demikian, ianya menjadi rawatan menyapu luka keletihan dan kepenatan masa lampau, dan ianya juga adalah benih dan bijian yang ditabur tanamannya untuk dituai hasil kejayaaan pada masa mendatang.”
Terbukti bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj telah membuahkan Bai’ah al-‘Aqabah, Hijrah dan tampuk pemerintahan di Kota Madinah, serta kemenangan yang berterusan di medan jihad sepanjang hayat Rasulullah SAW dan selepas kewafatan dengan pembukaan empayar-empayar besar dunia yang meluas.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu pelepasan dari kesempitan yang dialami baginda Nabi SAW disebabkan perancangan jahat musuh yang mengepung pergerakan baginda SAW di Mekah dan Taif. Sebelum Surah al Isra’, di penghujung Surah al Nahl ayat 127, Allah SWT berfirman :
وَٱصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِى ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ
“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”
Perisitiwa ini juga adalah membuktikan bahawa Allah SWT tidak sesekali meninggalkan kekasihnya terutamanya Rasullah SAW, penghulu sekalian anbia’, dalam apa jua keadaan. Menutup Surah al Nahl, ayat 128 Allah SWT berfirman :
إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ
“Sesungguhnya Allah beserta golongan yang bertaqwa, dan golongan yang beramal ihsan.”
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj bukanlah sejarah yang mati, bahkan Ia sentiasa hidup segar dan berdenyut nadi di dalam saraf kehidupan umat sepanjang zaman. Penghayatan terhadap pengajaran dan pelajaran merentasi sempadan masa dari peristiwa agung ini dirumuskan seperti mana berikut :
وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَـٰكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَـٰنًا كَبِيرًا
“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mi’raj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran), maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau”