Kelebihan Hari Arafah Dan Keajaiban Doa
8 Jul 2022Kecelaan Mempersendakan Agama Islam
22 Jul 2022Tujuan dan matlamat Allah SWT menciptakan kita ke dunia ini tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya. Firman Allah dalam surah al Zariyat ayat ke 56 :
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”
Oleh itu, setiap amal ibadat yang dilakukan sebagai pengabdian diri kepada Allah, baik yang berbentuk wajib mahupun sunat, pastikan ia dilakukan dengan betul dan sempurna, iaitu menepati ketetapan syarak serta dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan dari urusan agama kami maka ia adalah tertolak (tidak diterima oleh Allah)”
(H.R. Muslim)
Bagi memastikan sesuatu amal yang dilakukan itu betul dan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh syarak, maka Islam mewajibkan setiap orang muslim mempelajari ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Mencari ilmu adalah fardu ain ke atas tiap-tiap orang Islam (lelaki dan perempuan)”
(Hadis Riwayat Muslim)
Ilmu dan amal merupakan dua perkara yang saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Jika dipisahkan, akan menjadi pincang atau tempang, kerana berilmu tanpa amal tiada faedahnya dan beramal tanpa ilmu pula tiada jaminan kesahihannya. Berkata Imam al Ghazali rahimullah : “Berilmu tanpa amal itu ibarat orang yang tidak waras dan beramal tanpa ilmu pula tidak menjadi”.
Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu yang dimiliki oleh seseorang tidak akan mendatangkan manfaat kepada pemiliknya sekiranya tidak diamalkan, malah ilmu tanpa amal diibaratkan seperti pokok tanpa buah. Manakala amal tanpa ilmu pula kemungkinan untuk tidak sahnya amat tinggi.
Setiap muslim wajib mempelajari Ilmu fardu ain berikut :
- Ilmu aqidah atau ilmu tauhid.
Dengan mempelajari ilmu ini akan dapat membetulkan aqidah dan memantapkan keimanan seseorang kepada Allah SWT ketika melaksanakan sesuatu amal ibadat, serta menghindarkan dirinya daripada terlibat dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan iman dan membatalkan amal ibadat yang dilaksanakan. - Ilmu syariah atau ilmu fiqah.
Dengan mempelajari ilmu ini akan dapat membantu seseorang untuk melaksanakan sesuatu amal ibadat dengan betul dan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh syarak, kerana perlaksanaannya dilakukan dengan penuh yakin tentang kesahihannya, berpandukan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya. - Ilmu tasauwuf.
Dengan mempelajari ilmu ini dapat membantu seseorang untuk memperbaiki hatinya ketika melaksanakan amal ibadat, iaitu dapat memberi tumpuan, khusyuk dan tawaduk kepada Allah SWT serta terhindar dari segala sifat mazmumah dari hatinya, seperti sifat riyak, sombong, ujub dan sebagainya, yang mana sifat-sifat tersebut boleh merosakkan pahala amal ibadat yang dilakukan.
Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tersebut, kita perlu menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu yang dikendalikan oleh guru-guru yang alim dan mursyid serta mempunyai tauliah. Elakkan belajar tanpa guru atau dengan guru yang diragui. Mempelajari ilmu merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat, tidak ada istilah terlambat, selagi hayat di kandung badan.
Antara kelebihan yang disediakan oleh Allah untuk orang yang mempelajari ilmu ialah dipermudahkan jalan ke syurga sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkannya jalan ke syurga”
(HR Muslim)
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mempelajari ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya agar kita dapat melaksanakan amal ibadat dengan penuh yakin dan ikhlas kepada Allah kerana kesempurnaan segala amal ibadat berkait rapat dengan ilmu pengetahuan yang dipelajari melalui guru-guru yang mursyid.
أَمَّنْ هُوَ قَـٰنِتٌ ءَانَآءَ ٱلَّيْلِ سَاجِدًا وَقَآئِمًا يَحْذَرُ ٱلْـَٔاخِرَةَ وَيَرْجُوا۟ رَحْمَةَ رَبِّهِۦ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ
“Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”