Indahnya Hidup Bersyariat : Pena Hijau

Indahnya Hidup Bersyariat

ANE 20220915 husnul khotimah
Mencapai Husnul Khotimah
15 Sep 2022
nabi muhammad saw
Kelahiran Nabi SAW Pembawa Hidayah Dan Rahmat
6 Oct 2022
ANE 20220915 husnul khotimah
Mencapai Husnul Khotimah
15 Sep 2022
nabi muhammad saw
Kelahiran Nabi SAW Pembawa Hidayah Dan Rahmat
6 Oct 2022
al quran
icon follow us

Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih tidak membiarkan manusia terkapai-kapai hanyut tanpa panduan dalam menjalani kehidupan. Dia telah mengutuskan para rasul untuk mengajarkan agama dan syariat-Nya.

Syariat Islam secara ringkasnya bermaksud : segala ajaran, hukum hakam, peraturan, sistem dan etika hidup daripada Allah yang disampaikan melalui Rasulullah SAW, bagi menyusun hubungan manusia dengan Penciptanya dan hubungan manusia sesama mereka demi mencapai kehidupan yang baik dan bahagia di dunia dan akhirat.

Syariat berperanan memberi petunjuk kepada manusia tentang segala perkara yang bermanfaat dan memandu mereka menghindari segala yang memudharatkan. Ia juga mendorong manusia mengejar kecemerlangan dalam kehidupan dunia dan akhirat, serta memperolehi keredhaan Allah SWT.

Dalam menyuruh atau melarang, menghalal atau mengharamkan sesuatu, Allah SWT tidak mengharapkan sebarang keuntungan pun untuk-Nya sendiri. Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya daripada berhajat kepada sesuatu ataupun sesiapa. Allah tidak menyimpan sesuatu kepentingan di sebalik syariat-Nya, melainkan untuk menjaga kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat jua. Syariat diturunkan untuk menjaga kesejahteraan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia.

Ibnu al-Qayyim menjelaskan hakikat ini : “Sesungguhnya binaan dan dasar syariat dibangunkan di atas hikmah dan kemaslahatan manusia dalam kehidupan sekarang dan kehidupan kembali (akhirat). Seluruh syariat adalah adil, rahmat, maslahah dan hikmah. Sebarang persoalan yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada sebaliknya, daripada maslahah (kebaikan) kepada mafsadah (kerosakan) dan daripada hikmah kepada sia-sia, maka ianya bukanlah daripada syariat”.

Syariat Islam bukanlah bertujuan menzalimi atau membebankan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Al- Imran ayat 108 :

تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۗ وَمَا ٱللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًۭا لِّلْعَـٰلَمِينَ

“Itulah ayat-ayat Allah, Kami bacakan dia kepadamu dengan benar. Dan Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhluk-Nya”

FirmanNya lagi dalam Surah Al- Hajj ayat 78 :

… وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍۢ ۚ …

“… Dan Ia tidak menjadikan atas kamu menanggung susah payah dalam perkara agama …”

Untuk menjamin perkara ini, syariat ditegakkan berasaskan kesederhanaan (wasotiyyah), keseimbangan (tawazun) dan meliputi seluruh urusan kehidupan (syumul). Tiada konflik antara keperluan ruh dan jasad. Tiada perebutan antara individu, keluarga dan masyarakat. Tiada pemisahan antara urusan dunia dan agama. Semuanya diselarikan dengan seimbang dan penuh kesederhanaan demi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Lantaran itu, jika diperhatikan, syariat Islam tidak menekankan suatu aspek dengan mengabaikan aspek yang lain. Hinggakan dalam urusan ibadat iaitu hubungan dengan Allah, syariat tidak mengenepikan aspek lain, seperti aspek fizikal dan kemasyarakatan. Sebagai contoh, saranan dan pedoman Nabi SAW kepada kaum muslimin yang akan menunaikan solat Jumaat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Mana-mana lelaki yang mandi pada hari Jumaat, menyucikan dirinya semampu yang boleh, meminyaki minyak wangi atau menyapu bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia keluar (ke masjid), lalu tidak merempuh antara dua jamaah yang hadir, kemudian dia bersembahyang solat yang dituntutnya, kemudian dia diam apabila imam berkhutbah, tidaklah dia melakukan semua itu melainkan diampunkan dosanya antara jumaat itu dengan jumaat yang lain”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Lihatlah betapa indahnya syariat Islam yang dianjurkan Baginda SAW. Ia menggabung jalin antara kebersihan tubuh badan, kewangian bau, ketertiban tingkahlaku dan kesempurnaan ibadah sebagai satu pakej. Syariat lain yang manakah lagi menjadikan kebersihan dan wangian sebagai jalan mendekati Tuhan dan memperolehi keampunan-Nya?

Agama Islam dan syariatnya merupakan nikmat teragung dan paling sempurna yang dikurniakan Allah kepada manusia. Alangkah besar perbezaan antara kehidupan bersyariat dan kehidupan tak bersyariat.

Ja’far bin Abi Tholib pernah menceritakan perbezaan tersebut kepada Raja an-Najasyi, seraya berkata :

“Wahai raja, kami sebelumnya merupakan satu kaum ahli Jahiliah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai dan melakukan perkara keji (zina). Kami memutuskan silaturrahim dan menyakiti jiran. Yang kuat kalangan kami membaham yang lemah. Demikianlah kebiasaan kami sehinggalah Allah mengutuskan kepada kami seorang rasul daripada kalangan kami. Kami mengenali keturunan, kejujuran, sikap amanah dan kesucian maruahnya. Baginda mengajak kami mengesa dan menyembah Allah, meninggalkan sembahan kami dan nenek moyang kami daripada batu dan berhala. Baginda menyuruh kami bercakap jujur, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, berbuat baik kepada jiran dan untuk berhenti daripada perkara haram mahupun menumpahkan darah (membunuh). Baginda melarang kami daripada melakukan zina, memberi keterangan palsu, memakan harta anak yatim dan memfitnah wanita yang baik. Baginda memerintahkan kami menyembah Allah yang esa, tidak menyekutui-Nya, mengerjakan solat, menunaikan zakat, berpuasa dan lain-lain. Lantas kami mempercayainya. Kami beriman dan mengikuti ajaran yang dibawanya…”

Keindahan syariat Islam ini bukan sahaja dirasai oleh umat Islam pada zaman Nabi SAW, bahkan ia kekal segar hingga zaman kini. Ia turut diakui oleh mereka bukan Islam, yang menyebabkan sebahagian mereka telah tertarik, lalu memeluk Islam.

Sebagai contoh seorang ilmuwan Barat, Dr Douglas Archer menyatakan : “Kajian saya untuk memperolehi ijazah kedoktoran (PhD) adalah berkaitan pendidikan dan pembangunan bangsa. Di sinilah, saya mengenali perkara yang diperlukan oleh bangsa-bangsa dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik mereka, demikian juga pembangunan rohani. Saya dapati bahawa rukun-rukun Islam yang asasi telah mempersembahkan dasar yang agung dan kaedah yang berharga dalam pembangunan social, ekonomi dan kerohanian sesuatu bangsa”.

Menjadi kewajipan untuk kita mensyukuri nikmat agama dan syariat Islam yang Allah kurniakan kepada kita. Marilah kita terjemahkan kesyukuran tersebut melalui perkara berikut :

  1. Mempelajari dan memahami agama Islam dan syariatnya sebaik mungkin, demi memelihara maqasid syariah yang sebenar.
  2. Mengamalkan syariat secara seimbang dan menyeluruh dalam segenap urusan kita baik urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara, di samping menghindari daripada sikap melampau atau ekstrim.
  3. Menyampai keagungan Islam dan syariatnya, serta menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka yang bukan Islam.

ثُمَّ جَعَلْنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْرِ فَٱتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ١٨

“Kemudian Kami jadikan kamu menjalankan Syariat dari hukum agama; maka turutlah ia, dan janganlah diturut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui”

(Surah al-Jatsiah: 18)

indahnya hidup bersyariat

Dapatkan edisi kemaskini INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT yang ditulis oleh Ustaz Dato’ Hj. Ismail Kamus. Isi buku INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekanan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munahakat (nikah kahwin dan rumahtangga) serta amalan zikir, doa dan adab. Semua ilmu bersumberkan al-Quran dan hadis sahih.

Teknik penyampaian buku ini ringkas dan tepat dalam bentuk carta, jadual dan rajah. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan langkah demi langkah. Media fotografi warna penuh digunakan untuk menunjukkan perkara yang realistik.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Indahnya Hidup Bersyariat
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more