Indahnya Hidup Bersyariat
29 Sep 2022Rasulullah SAW Pembawa Risalah Kedamaian
13 Oct 2022Rabi’ul Awwal menjadi bulan istimewa kepada umat Islam sedunia sebagai bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat ke sekalian alam.
Kelahiran ini bukanlah kisah kelahiran manusia terunggul semata-mata, bahkan ia kisah kelahiran yang membawa bersamanya kiriman hidayah dan rahmat.
Hidayah dan rahmat daripada kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk aqidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan aqidah, Baginda SAW membimbing umat manusia kepada mentauhidkan Allah setelah masyarakat dunia kehilangan arah sehingga meluasnya syirik dengan penyembahan berhala, api, pokok, binatang, bulan, bintang, matahari dan sebagainya.
Dalam soal syariat perundangan atau hukum-hakam agama maka ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda SAW sama ada melalui teori dan amali dengan sunnah perkataan, perlakuan dan persetujuan. Syariat yang memenuhi segala keperluan dan menepati segala kepentingan manusiawi. Syariat yang benar-benar membela setiap golongan dalam masyarakat manusia sama yang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat. Setelah dunia ketika itu terperangkap dengan undang-undang yang menindas sesama manusia dan tidak dapat berlaku adil dan saksama terhadap semua pihak.
Begitu juga dengan akhlak ditunjukkan melalui kehidupan seharian dan nasihat yang berkesan sehingga keindahan akhlak nabi Muhammad SAW berjaya menarik ramai manusia yang selama ini tenggelam dalam arus kerakusan hawa nafsu kepada adab Islam yang murni.
Baginda SAW telah menunjukkan satu kualiti tertinggi dalam kepimpinan dan contoh tauladan. Sesungguhnya kejayaan sesuatu kepimpinan dalam keluarga, masyarakat, negeri dan mahupun negara bergantung kepada sejauh mana kita mencontohi tauladan dan gaya kepimpinan Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 21 :
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا
“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah”.
Tidaklah pelik apabila generasi awal terdahulu terlalu mengkagumi keperibadian Nabi SAW sehingga mereka mencontohi Nabi SAW dalam semua hal, mematuhi Nabi SAW dalam semua situasi dan mempertahankan Nabi Muhammad SAW lebih dari keluarga terdekat dan harta benda tersayang. Mereka menghayati Sabda Nabi SAW :
“Demi Tuhan yang jiwaku di tanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia”.
(Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW sangat merindui umatnya walaupun Baginda SAW tidak pernah bertemu kita. Itulah keagungan pada diri Baginda SAW. Sebuah hadis ada menyatakan mengenai kerinduan dan kecintaan Rasulullah SAW terhadap umatnya yang lahir selepas kewafatan Baginda SAW.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda yang bermaksud: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita.” Sahabat Baginda bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah bertemu Rasulullah SAW).”
(Hadis riwayat Muslim)
Nabi SAW juga menyanjung mulia umat akhir zaman yang masih beriman walaupun tidak pernah bersua muka dengan Baginda SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud :
“Beruntunglah bagi orang yang melihatku dan beriman denganku. Beruntung lagi beruntung dan lagi beruntung bagi orang yang beriman denganku tetapi dia tidak melihatku.”
Hadith riwayat Ahmad
Justeru, amat wajar sekali kita muhasabah diri, sejauh manakah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW benar-benar menepati maksud beriman kepada Baginda SAW dan menjejaki Sunnah Baginda SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 31 :
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
“Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Marilah kita renungi iktibar sempena Maulidur Rasul SAW. Antaranya :
- Umat Islam hendaklah yakin bahawa kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah menjadi rahmat dan hidayah buat sekelian alam.
- Umat Islam hendaklah membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW melalui permuniaan akidah iman, kefahaman dan penghayatan syariat, diterjemahkan melalui kesopanan akhlak yang terpuji.
- Umat Islam mestilah bertekad untuk melakukan perubahan dan anjakan kepada situasi yang lebih baik dalam setiap amalan seharian.
مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ ۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu. Apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya”.
Tajuk : Muhammad SAW Rahmat Bagi Sekalian Alam
ISBN : 9789674393540
Penerbit : Al-Hidayah
Penulis : Dr. H. Briliantono M. Soenarwo/KH. Muhammad Rusli Amin
Tahun Terbitan : 2020
[ BELI SEKARANG ]