Awasi Tutur Kata Dan Kejahatan Lidah : Pena Hijau

Awasi Tutur Kata Dan Kejahatan Lidah

20221013 Q Berbuat Baik
Teruskan Berbuat Baik
14 Oct 2022
Masjid Muhammad Ahmadi Pintu Geng
Memakmurkan Masjid Tanda Keimanan Kepada Allah
27 Oct 2022
20221013 Q Berbuat Baik
Teruskan Berbuat Baik
14 Oct 2022
Masjid Muhammad Ahmadi Pintu Geng
Memakmurkan Masjid Tanda Keimanan Kepada Allah
27 Oct 2022
ANE 20221020 kejahatan lidah
icon follow us

Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan. Allah SWT juga memuliakan manusia berbanding ciptaan lain, sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran dalam Surah At-Tin , ayat 4 :

لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍۢ ٤

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”

Kejadian manusia dilengkapi sempurna dengan anggota tubuh badan yang mempunyai tugas masing-masing.

Salah satu anggota yang dikurniakan Allah SWT yang patut kita syukuri dan mesti dipelihara nikmatnya itu adalah lidah. Lidah adalah satu organ lembut dan tidak bertulang, peranan dan kesannya sangat besar dalam kehidupan kerana ia sebagai pintu gerbang kepada setiap insan dalam berbuat kebaikan atau kejahatan. Diibaratkan seperti pedang tajam yang amat berguna dan bermanfaat jika digunakan di jalan yang benar. Namun kadang-kadang ia digunakan dengan tujuan yang salah, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah yang tidak bersalah dan mendatangkan huru-hara dan serba salah serta menimbulkan kerosakan yang tidak terlintas.

Kerana itu, diam adalah jalan selamat jika tidak dapat mengawal dan mengawasi percakapan. Ditanya Imam Bakar al-Muzani : “Kenapa engkau banyak berdiam?” Dia menjawab: “Lidah aku ini umpama binatang buas. Jika aku lepaskannya, dimakannya diriku”.

Imam Ibnu Ayyash pula berkata : “Sekurang-kurang manfaat diam adalah selamat. Cukuplah ia sebagai afiat. Sekurang-kurang mudarat bercakap pula ialah kemasyhuran. Cukuplah ia sebagai musibah”.

Banyak bercakap adalah punca tenat dan penatnya kebanyakan manusia. Sebaliknya ketenangan dan kerehatan datang dari kurang bercakap. Kata-kata hikmat ada menyebut : Rehat tubuh pada kurang makan. Rehat roh pada kurang dosa. Rehat hati pada kurang fikirkan dunia. Rehat lidah pula pada kurang bercakap.

Menurut pengamatan al-Imam al-Syafie RHM, rahsia hati bercahaya dan terbuka pintu hidayat taufik adalah pada menjaga lidah dan percakapan. Kata beliau sebagaimana dinukilkan di dalam kitab Manaqibnya : “Sesiapa yang inginkan dibuka pintu hatinya serta mencahayainya, maka dia hendaklah meninggalkan percakapan yang tidak berfaedah dan tidak berkaitan, menjauhi maksiat dan dosa, serta menyimpan amalan rahsia antara diri dan Allah sahaja.”

Abu Dawud berkata : “Aku tidak pernah melihat manusia seperti Imam Ahmad. Dia tidak minat bercakap dalam perkara yang menjadi perbualan orang ramai dalam urusan dunia. Apabila berkait ilmu, barulah dia bercakap.”

Jika dapat laksanakan perkara ini, Allah bukakan untuknya banyak ilmu yang menyibukkan diri dari melayan perkara yang tidak berkaitan dengan ilmu.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan lidah itu untuk tujuan yang betul umpama membaca al-Qur’an, berzikir, berdoa, nasihat-menasihati, berkata benar, menyampaikan ilmu, menyeru manusia pada mentaati segala perintah Allah SWT dan mencegah segala kemungkaran. Oleh itu, kita hendaklah memelihara lidah dari tujuan yang salah dan perkara buruk atau munkar seperti berkata bohong, mengumpat, berkata keji, kata-kata kesat, maki hamun, mengadu domba, mengapikan permusuhan dan pelbagai kejahatan lidah yang lain. Ingatlah, bahawa setiap perkataan yang kita ucapkan tetap dicatat malaikat dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah Qaaf ayat 18:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ ١٨

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia menerima dan menulisnya.”

Di zaman era teknologi maklumat ini juga telah menyebar luaskan lagi peranan dan pengaruh lidah, iaitu melalui kata-kata yang telah disebarkan atau ditularkan melalui media massa dan media baru. Sering kali kita melihat dalam media sosial orang mencaci, menghina dan menfitnah tanpa asas seolah-olah tiada rasa takut bahawa semua itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak. Allah SWT memberi ancaman keras kepada sesiapa yang menyakiti orang lain dengan kata-kata palsu dan tuduhan liar yang tidak berasas.

وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَـٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا ٥٨

“Dan orang yang menyakiti lelaki dan perempuan yang beriman dengan perbuatan yang tidak mereka lakukan maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

(Surah al-Ahzab : 58)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Awasi Tutur Kata Dan Kejahatan Lidah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more