Sila imbas kod QR menggunakan aplikasi Touch n Go eWallet
Masjid Muhammad Ahmadi Pintu Geng
Masjid merupakan tempat suci umat Islam dan lambang syiar Islam. Hakikat ini digambarkan oleh tindakan Rasulullah SAW yang mendirikan masjid pertama “Masjid Quba’” dalam peristiwa hijrah, sebagai langkah pertama dalam penyebaran Islam dan membangunkan masyarakat di Madinah.
Dr Ahmad Shalabi menyatakan bahawa :
Di masjid, Rasulullah SAW menjelaskan wahyu yang diterimanya dari Allah SWT, menjawab segala pertanyaan para Sahabat, memberi fatwa, mengajar agama, mengadakan mesyuarat dan bersilaturrahim sesama muslim.
Di masjid itulah juga Rasulullah SAW menyusun strategi peperangan, menyelesaikan sebarang perselisihan di kalangan anggota masyarakatnya dan juga sebagai tempat menerima perutusan-perutusan yang datang dari luar.
Dari masjid juga, Rasulullah SAW melatih sendiri para Sahabat melalui pendidikan secara khusus hingga lahir keperibadian muslim sejati dan terbilang. Baginda membentuk para Sahabatnya menjadi pewaris perjuangan Islam dan berjaya meneruskan dakwah islamiyyah ke segenap penjuru alam.
Tidak hairanlah ahli sejarah Islam menyebut generasi Rasulullah SAW dan generasi para Sahabat selepasnya itu sebagai “generasi masjid”.
Profesor Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Bouti pula pernah berkata : “Tidak hairanlah, jika masjid merupakan tonggak utama dan terpenting yang menjadi asas pembentukan sebuah masyarakat Islam yang unggul, kerana masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi, kecuali dengan kesungguhan mereka terhadap ajaran Islam.”
Islam menganjurkan umatnya supaya memakmurkan masjid. Ia merupakan tanda keimanan seseorang dan amanah Allah SWT ke atas diri setiap muslim. Jelas sepertimana firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 18:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ ١٨
“Hanya sanya, yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
Oleh yang demikian, masjid hendaklah digerakkan melalui pelbagai aktiviti lapangan hidup, antaranya :
Dari keterangan dan penjelasan tadi, jelas bahawa fungsi masjid amat luas. Ia menyentuh setiap sendi kehidupan umat Islam. Bukan sekadar tempat memperteguhkan keimanan, malahan sebagai tempat menggilap kecemerlangan umat Islam.
Kerana itu, marilah kita sama-sama tingkatkan keazaman untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan menghadiri sembahyang berjemaah, mengikuti kuliah-kuliah pengajaran dan segala aktiviti yang tersedia disusun atur oleh pihak masjid. Janganlah dijadikan kesibukan urusan harian sebagai penghalang untuk mengejar keuntungan saham akhirat.
Dalam menyahut seruan ini, seharusnya kita mengajak anak isteri kita, jiran, sahabat dan rakan taulan agar mereka turut serta bersama menghayati dan mengimarahkan masjid. Mudah-mudahan kita semua digolongkan oleh Allah sebagai hamba-hamba yang terikat hati dan sentiasa merindui dengan rumah-rumah Allah. Ingatlah, salah satu daripada golongan yang bakal mendapat perlindungan Ilahi pada hari kiamat kelak ialah golongan mukmin yang hatinya sentiasa teringat dan rindukan kepada masjid.
وَأَنَّ ٱلْمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدًۭا ١٨
“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah”