Rasulullah SAW Pembawa Risalah Kedamaian : Pena Hijau

Rasulullah SAW Pembawa Risalah Kedamaian

nabi muhammad saw
Kelahiran Nabi SAW Pembawa Hidayah Dan Rahmat
6 Oct 2022
20221013 Q Berbuat Baik
Teruskan Berbuat Baik
14 Oct 2022
nabi muhammad saw
Kelahiran Nabi SAW Pembawa Hidayah Dan Rahmat
6 Oct 2022
20221013 Q Berbuat Baik
Teruskan Berbuat Baik
14 Oct 2022
ANE 20221013 kedamaian
icon follow us

Sebelum kedatangan Islam keadaan masyarakat pada masa itu hidup dalam suasana bermusuh-mushan, kezaliman, penindasan dan kekejaman, golongan yang lemah menjadi mangsa golongan yang kuat, kaum wanita dinafikan hak mereka, malah mereka hanya menjadi bahan untuk memuaskan nafsu serakah lelaki. Kanak-kanak perempuan pula menjadi mangsa keadaan kerana mereka dianggap sebagai pembawa sial atau kehinaan kepada keluarga, lalu dibunuh atau ditanam hidup-hidup.

Firman Allah dalam surah al Nahl ayat 58-59 :

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِٱلْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُۥ مُسْوَدًّۭا وَهُوَ كَظِيمٌۭ ٥٨
يَتَوَٰرَىٰ مِنَ ٱلْقَوْمِ مِن سُوٓءِ مَا بُشِّرَ بِهِۦٓ ۚ أَيُمْسِكُهُۥ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُۥ فِى ٱلتُّرَابِ ۗ أَلَا سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ ٥٩

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya, sedang ia sangat marah. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya; adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”

Setelah diutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang terakhir, suasana berubah ke arah yang lebih baik melalui risalah kedamaian bagi menyelamatkan mereka dari kekejaman dan mendamaikan mereka dari permusuhan.

Firman Allah dalam surah al Anfal ayat 1 :

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصْلِحُوا۟ ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ١

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara kamu, dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang yang beriman”

Malah pengutusan Baginda juga merupakan rahmat terbesar kepada umat manusia pada masa itu dan juga pada masa-masa seterusnya sampai Hari Kiamat.

Firman Allah dalam surah al Anbiya’ ayat 107 :

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ ١٠٧

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”

Sejarah Islam telah membuktikan bahawa semasa muda lagi Baginda Rasulullah SAW telah melibatkan diri dalam urusan mendamaikan manusia. Antaranya :

Pertama : Baginda mendamaikan antara Qabilah-Qabilah Arab yang bertelingkah ketika hendak mengembalikan Hajarul Aswad ke tempat asalnya setelah Ka’bah dibaik pulih dari kerosakan. Dengan penuh hikmah dan bijaksana, Baginda mencadangkan supaya dihamparkan kain dan Baginda akan mengangkat batu tersebut letak di atas kain berkenaan lalu semua wakil Qabilah akan memegang tepi kain dan mengangkatnya ke Ka’bah kemudian Baginda sendiri yang akan meletakkannya ke tempat asalnya, cadangan tersebut diterima oleh semua pihak dan selesailah krisis berkenaan yang pada mulanya hampir-hampir tercetus peperangan kerana hendak mempertahankan maruah Qabilah masing-masing.

Kedua : Baginda mempersaudarakan antara dua Qabilah terbesar di Madinah yang sekian lama bermusuh, iaitu qabilah Aus dan Khazraj. Persengketaan dan permusuhan mereka dapat ditamatkan dengan baik melalui persaudaraan Islam.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 103 :

وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ١٠٣

“Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”

Ketiga : Baginda menjalinkan hubungan baik dan harmoni antara orang Islam dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.  Sebagaimana yang telah berlaku kepada Asma binti Abu Bakar yang menerima kunjungan ibunya yang belum memeluk Islam dan dibenarkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah al Mumtahanah ayat 8 :

لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَـٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ ٨

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”

Keempat : Baginda mengadakan perjanjian damai antara orang Islam, Yahudi dan lain-lain kaum di Madinah melalui satu perjanjian yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Semua ini, dilaku bertujuan untuk menjamin keamanan, kedamaian dan kesejahteraan hidup. Malah Islam menetang keras segala bentuk provokasi yang boleh mencetuskan huru hara dan menghilangkan keharmonian dalam masyarakat, Islam sangat mementingkan kedamaian walaupun dengan musuh, apabila mereka ingin berdamai.

Fiman Allah dalam surah al Anfal ayat 61 :

۞ وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلْمِ فَٱجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ٦١

“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”

Sempena dengan bulan maulidur Rasul yang mulia ini, marilah kita sama-sama melahirkan kecintaan kita kepada Rasullah SAW dengan menghayati risalah yang dibawa oleh Baginda, iaitu hidup dengan aman damai dan harmoni, eratkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam, hindarkanlah diri dari berpecah belah sesama Islam, mudah mudahan kita akan menjadi umat yang kuat, disegani dan dihormati oleh umat-umat yang lain Insya Allah.

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”

(Surah al Anfal ayat: 46)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Rasulullah SAW Pembawa Risalah Kedamaian
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more