Bijaksana Dalam Menguruskan Perbezaan Pandangan

Bijaksana Dalam Menguruskan Perbezaan Pandangan

Masjid Muhammad Ahmadi Pintu Geng
Memakmurkan Masjid Tanda Keimanan Kepada Allah
27 Oct 2022
ANE 20221110 memakmurkan bumi
Fungsi Manusia Memakmurkan Bumi
10 Nov 2022
Masjid Muhammad Ahmadi Pintu Geng
Memakmurkan Masjid Tanda Keimanan Kepada Allah
27 Oct 2022
ANE 20221110 memakmurkan bumi
Fungsi Manusia Memakmurkan Bumi
10 Nov 2022
ANE 20221103 perbezaan pandangan
icon follow us

Perbezaan pandangan, pendapat, kecenderungan, keinginan, pilihan dan sudut pandang merupakan suatu lumrah dalam kehidupan manusia sejagat. Manusia tidak sentiasa berada pada satu garisan yang sama setiap masa. Perbezaan pendapat bukanlah sesuatu yang tercela kerana ia adalah sunnatullah dalam ciptaan-Nya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Hud ayat 118 :

وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ١١٨

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan (kerana itulah) mereka terus-menerus berselisihan.”

Khilaf atau perbezaan pendapat ini berlaku dalam urusan hukum-hakam, terutama dalam isu cabang dalam agama. Ini dapat kita lihat dalam perbezaan pendapat antara ulama dalam memahami pelbagai isu dan masalah. Dari perbezaan pendapat sebeginilah lahirnya mazhab-mazhab fiqh dan terkumpulnya khazanah harta intelek milik umat Islam. Perselisihan pandangan ini banyak memberi ruang kelegaan kepada umat manusia.

Khalifah Umar Abdul Aziz berkata: “Aku tidak suka jika para sahabat Rasulullah SAW tidak berselisih pandangan. Apabila mereka bersepakat pada satu pendapat, maka seseorang yang berbeza pendapat akan dihukum sesat. Adapun jika mereka berselisih, lalu ada yang mengambil pendapat ini dan yang lain mengambil pendapat berbeza, dalam perkara ini ada kelapangan.

Imam Malik pernah berkata kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid ketika mazhabnya hendak diwajibkan ke atas rakyat: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya perselisihan ulama adalah rahmat Allah ke atas umat ini. Semua orang berpandukan dalil yang sahih pada pandangan masing-masing. Semua orang berada di atas hidayah dan semua mereka mencari keredhaan Allah SWT.

Di zaman Rasulullah SAW berlaku perselisihan pandangan di kalangan sahabat radhia Allahu anhum. Rasulullah SAW menerima perbezaan pandangan ini sebagai satu proses kematangan membina kefahaman dan menyuburkan potensi serta keupayaan berijtihad. Sebagai contoh, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Janganlah seorang dari kamu bersolat Asar melainkan di perkampungan Bani Quraizhah.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para sahabat yang telah ditugaskan pergi ke perkampungan Bani Quraizhah, mereka berselisih pendapat mengenai hal ini. Ada yang mengambil penjelasan secara zahir dari perkataan Rasulullah SAW, iaitu perintah supaya dilaksanakan solat Asar hanya setelah sampai ke perkampungan tersebut walaupun terlewat dari waktu. Manakala ada kalangan sahabat yang menafsirkan semangat dari maksud arahan Nabi tersebut ialah supaya bersegera sampai ke destinasi yang diarahkan, lalu mereka bersolat Asar di awal waktu sebagaimana  keutamaannya walaupun belum tiba di destinasi. Baginda tidak menyalahkan mana-mana pihak dan memberi pengakuan terhadap perbezaan pandangan ini.

Para ulama telah menggariskan adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh seorang muslim apabila berbeza pandangan. Adab-adab ini adalah warisan akhlak mulia yang ditinggalkan oleh ulama terdahulu untuk diamalkan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Jika kita dapat menjaga adab-adab ini, insyaAllah segala isu khilaf ini dapat ditangani dengan baik dan harmoni.

Pertama : Berlapang dada

Berlapang dada telah menjadi amalan di kalangan para ulama Salaf ketika berhadapan dengan khilaf sesama mereka. Walaupun terdapat banyak percanggahan pandangan, namun mereka tetap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain dan tidak menyebabkan ikatan kasih sayang terlerai. Mereka mempunyai nilai akhlak dan adab yang tinggi selaras dengan satu prinsip yang dipegang iaitu : “Mazhab kami betul yang berkemungkinan ada salahnya. Mazhab selain kami salah yang kemungkinan ada betulnya.”

Kedua : Berprasangka Baik

Di antara akhlak asas yang penting di dalam pergaulan dan perhubungan sesama umat Islam ialah berprasangka baik kepada orang lain. Sebaliknya, prasangka buruk merupakan perangai jahat yang dikecam oleh al-Quran.

Ketiga : Berusaha Menyatukan Pendapat

Mencuba sedaya-upaya yang mungkin untuk menghindari permasalahan khilafiyyah yang boleh mendatangkan fitnah kepada golongan awam. Berpegang teguhlah dengan etika perbincangan dan hindarkan diri dari perdebatan dan perbalahan yang tidak menguntungkan Islam. Kita juga perlu berusaha untuk menyatukan pendapat yang pelbagai sekiranya ia boleh disatukan dengan didasari akhlak dan adab Islam. Ini kerana tugas menyatukan umat supaya tidak berlaku perpecahan adalah tanggungjawab bersama.

Kesimpulannya, perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ (cabangan) suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya perbalahan mengakibatkan permusuhan sesama sendiri dan hanya merosakkan kesatuan umat, mencacatkan keharmonian serta menempah kelemahan dan kekalahan kaum muslimin.

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Surah Al-Anfal : 46)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Bijaksana Dalam Menguruskan Perbezaan Pandangan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more