Sila imbas kod QR menggunakan aplikasi Touch n Go eWallet
Esok 08 November 2022, kita akan berpeluang menyaksikan peristiwa gerhana bulan penuh yang kali terakhir dapat disaksikan di Malaysia pada 26 Mei 2021 yang lalu. Gerhana bulan itu nanti akan bermula dari jam 04:02 petang sehingga jam 09:56 malam.
Fasa-Fasa Gerhana
Keseluruhan fasa gerhana Bulan kali ini iaitu ketika Bulan mula memasuki bayangan Penumbra Bumi sehingga ia keluar dari bayangan tersebut berlangsung selama 05 jam 54 minit.
Di dalam tempoh tersebut, Bulan mengambil masa selama 03 jam 40 minit untuk melintasi bayangan Umbra Bumi manakala keseluruhan fasa gerhana penuh iaitu ketika Bulan sepenuhnya memasuki bayangan Umbra Bumi berlangsung sekitar 01 jam 25 minit sahaja.
Di Malaysia, kita kurang bernasib baik kerana tidak dapat menyaksikan keseluruhan fasa gerhana Bulan disebabkan ketika fasa awal gerhana, Bulan belum terbit di langit Malaysia.
Keseluruhan Sabah dan sebahagian besar Sarawak hanya boleh menyaksikan gerhana ketika Bulan sudah memasuki fasa gerhana separa yang menghampiri fasa gerhana penuh manakala penduduk di Semenanjung hanya boleh menyaksikan gerhana ketika Bulan sudah pun memasuki fasa gerhana penuh.
Kita semua boleh menyaksikan gerhana Bulan tersebut di lokasi masing-masing ketika Bulan terbit di ufuk timur langit bemula sekitar waktu Maghrib.
Q & A
Tiga ‘ramuan’ utama untuk gerhana Bulan penuh boleh berlaku.
Gerhana Bulan penuh hanya boleh berlaku ketika fasa Purnama dan hanya apabila Bulan, Bumi dan Matahari berada di dalam kedudukan satu garis lurus sempurna sehingga menyebabkan keseluruhan jasad Bulan memasuki bayangan Umbra bumi.
Semasa cahaya Matahari menerangi Bumi, pada masa yang sama akan muncul bayangan Bumi yang mengunjur ke angkasa. Terdapat dua jenis bayang iaitu
Jika keseluruhan jasad Bulan memasuki bayangan Umbra, maka gerhana Bulan penuh akan berlaku. Sekiranya hanya sebahagian jasad Bulan memasuki bayangan umbra, maka gerhana Bulan separa yang akan berlaku. Seterusnya, jika jasad Bulan hanya memasuki bayangan Penumbra sahaja, maka gerhana Bulan Penumbra yang akan berlaku.
Ia disebabkan orbit Bulan condong sekitar 5 darjah berbanding dengan satah orbit Bumi semasa mengelilingi Matahari. Ini bermakna Bulan purnama tidak semestinya berlaku tepat pada satu garis lurus sempurna yang membolehkan berlakunya fenomena gerhana bulan Penuh.
Kita akan dapat menyaksikan jasad Bulan yang terang benderang beransur-ansur menjadi gelap dan di pertengahan fasa gerhana ia berubah menjadi warna kemerah-merahan akibat pembiasan cahaya Matahari yang melalui atmosfera Bumi lalu terkena pada permukaan Bulan.
Jika tiada alat bantuan optik, gerhana Bulan penuh tetap boleh disaksikan walau dengan menggunakan mata kasar sahaja. Jadi, tiada alasan untuk melepaskan peluang menyaksikan peristiwa tersebut 😊.
Peta lokasi yang dapat menyaksikan gerhana bulan
Simulasi gerhana Bulan penuh 08 November 2022