Ramadhan Menyucikan Jasmani Dan Rohani : Pena Hijau

Ramadhan Menyucikan Jasmani Dan Rohani

puasa
Sifat Orang Berpuasa
23 Mar 2023
al quran
Al-Quranul Karim Bukan Sekadar Untuk Dibaca
6 Apr 2023
puasa
Sifat Orang Berpuasa
23 Mar 2023
al quran
Al-Quranul Karim Bukan Sekadar Untuk Dibaca
6 Apr 2023
ANE 20230331 jasmani dan rohani
icon follow us

Ramadhan merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh kita semua yang mencari peluang dan ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan pelbagai ibadat dan amal kebajikan. Ada juga dalam kalangan kita yang menunggu Ramadhan bagi mendapatkan habuan dunia seperti laba keuntungan daripada perniagaan seperti jualan makanan di bazar Ramadhan. Terdapat pelbagai juadah dan hidangan yang tersedia, tidak kurang pula makanan yang hanya ada di bulan Ramadhan sahaja. Secara tidak langsung bulan ini memberi peluang kepada peniaga untuk menambah pendapatan mereka. Keadaan ini, tidaklah salah selagi mana tidak membawa kepada pembaziran dan pembuangan makanan yang tidak habis. Namun, sikap sebahagian pengunjung bazar membeli juadah berbuka tanpa melihat kepada keperluan, tetapi lebih kepada kehendak nafsu semata, menyebabkan berlaku pembaziran makanan yang melampau. Makanan yang tidak dimakan, dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Ingatlah kita semua bahawa nikmat-nikmat ini akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Takathur, ayat 8 :

ثُمَّ لَتُسْـَٔلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ

Sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Antara hikmah dan objektif ibadat puasa ialah membersihkan jasmani dan rohani. Pembersihan jasmani dapat dilihat daripada aspek menahan diri daripada makan dan minum. Secara umumnya kita mengetahui bahawa makanan dan minuman adalah antara punca penyakit dan masalah kesihatan. Pemakanan yang sihat merupakan amalan yang sangat membantu dalam proses menjaga kesihatan jasmani. Perut merupakan anggota penting yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tiadalah memenuhi anak adam satu bekas yang lebih teruk daripada perut. Cukuplah bagi anak adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika tidak mampu, maka hendaklah satu pertiga diperuntukkan untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk bernafas”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Perbuatan menghimpunkan hidangan pagi, tengah hari dan petang dalam juadah berbuka puasa adalah perbuatan yang tidak sihat. Perut yang sepanjang hari kosong tidak patut dipaksa bekerja keras untuk menghadam pelbagai juadah yang terhidang. Kita dianjurkan oleh sunnah untuk berbuka dengan air dan beberapa biji kurma terlebih dahulu untuk memberi masa kepada perut agar dapat berfungsi dengan baik.

Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang melaporkan, setiap tahun sekurang-kurangnya 10,000 ribu tan makanan dibuang oleh rakyat Malaysia setiap hari pada bulan Ramadhan. Pembaziran makanan bukan sekadar satu bentuk kufur nikmat, bahkan pembazir adalah sahabat kepada syaitan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’, ayat 27 :

إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا

Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Kenapa tidaknya! Orang yang membazir telah menggunakan nikmat makanan dan minuman pada perkara yang tidak diredhai Allah. Mereka tidak rasa bersalah langsung walhal masih ramai lagi saudara-saudara kita yang tidak memperolehi apa-apa untuk dimakan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Bukanlah seorang mukmin, orang yang kekenyangan dalam keadaan jiran di sebelahnya kelaparan”

(Hadis Sahih Riwayat al-Baihaqi)

Ramadhan juga mengajar kita membersihkan rohani daripada sifat cinta kepada dunia. Ibadat zakat yang difardukan pada tahun kedua hijrah pada bulan Syaaban merupakan bentuk pembersihan rohani daripada sifat kedekut, iri hati dan cintakan dunia. Zakat mengingatkan kita bahawa segala harta yang diperolehi di dunia ini hanya pinjaman dan segala harta yang diinfaqkan pada jalan Allah, itulah yang akan kekal dan dapat dituai hasilnya di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah Saba’, ayat 39 :

وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki

Imam a-lBukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW merupakan seorang yang sangat pemurah dan Baginda menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi ketika didatangi oleh Jibril AS.

Kesimpulannya, ayuhlah kita bersama-sama menanam niat dan membetulkan tingkah laku kita pada bulan yang mulia ini. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai permulaan kehidupan yang lebih baik dengan mengelakkan pembaziran dan menjadikan dunia sebagai ladang bercucuk tanam dengan berzakat dan berinfaq pada jalan Allah SWT. Semoga dengan menyucikan rohani dan jasmani, kita mendapat kedudukan muttaqin yang dijanjikan kepada orang-orang yang berpuasa. Akhir kalam hayatilah firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 31 :

۞ يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍۢ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ ٣١

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Ramadhan Menyucikan Jasmani Dan Rohani
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more