Ramadhan Bulan Yang Mulia
16 Mar 2023Ramadhan Menyucikan Jasmani Dan Rohani
31 Mar 2023Ramadan adalah madrasah pendidikan yang melatih keperibadian mulia, menjana modal insan yang berguna serta akhlak yang terunggul. Allah SWT memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya seseorang mukmin melalui akhlak yang mulia dapat mencapai darjat orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Ibadah puasa bukan sahaja membantu pembinaan akhlak dan peribadi umat, bahkan ia juga merupakan perisai bagi mencegah manusia daripada melakukan perbuatan yang buruk dan ditegah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Puasa itu ibarat perisai. Semasa berpuasa, janganlah kamu mengucapkan kata-kata kotor dan tidak enak didengar, dan jangan pula sibuk bertengkar. Jika ada di antara kamu yang memaki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah kamu katakan kepadanya : ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa. Sesungguhnya aku sedang berpuasa'”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda lagi yang bermaksud :
“Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang buruk, maka tidak ada erti bagi Allah perbuatan orang itu yang meninggalkan makanan dan minumannya (berpuasa).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Antara akhlak mulia yang menjadi keperibadian orang berpuasa adalah sebagaimana berikut :
Pertama : Ikhlas dan jujur. Allah berfirman dalam hadith qudsi
عن أبي هريرة رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. متفق عليه.
-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصوم، باب هل يقول إني صائم إذا ستم، حديث رقم 1904.
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah yang akan membalasnya.”
(Muttafaqun “Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, 1904, Muslim 1151)
Kedua : Sabar dan cekal. Puasa menyemai beberapa jenis sabar, iaitu sabar dalam melaksanakan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat, serta sabar dengan ujian. Allah berfirman dalam Surah al-Zumar ayat 10 :
إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍۢ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
Ketiga : Dermawan dan pemurah. Antara rahsia berlapar dalam ibadat puasa ini ialah untuk merasai dan menjiwai golongan yang kelaparan akibat kemiskinan. Justeru, seorang yang berpuasa mudah untuk membantu orang miskin yang kelaparan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Ramadan adalah bulan simpati dan bulan bertambahnya rezeki orang beriman. Sesiapa yang memberi makan (untuk berbuka) orang yang berpuasa maka baginya pengampunan atas dosa-dosanya dan dibebaskan daripada api neraka dan dia mendapatkan pahala yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa.”
(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)
Ibnu Abbas RA telah meriwayatkan yang bermaksud :
Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan Baginda menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Jibril AS bertemu dengan Nabi SAW pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk bertadarus Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada angin yang bertiup.
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Semoga dengan penghayatan Ramadan pada kali ini akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari dan akhlak yang terpuji. Mudah-mudahan kita dapat meraih redha Allah yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang muttaqin.