Kesempurnaan Syahadah Dalam Islam
11 Mar 2023Sifat Orang Berpuasa
23 Mar 2023Ramadhan berkunjung lagi sebagai tetamu yang dinanti-nantikan oleh sekalian kaum muslimin. Penghulu segala bulan ini merupakan anugerah istimewa dan kurniaan yang sangat besar bagi umat Nabi Muhammad SAW.
Ramadhan bermaksud bersangatan panas. Ini kerana masyarakat Arab tatkala mula-mula meletakkan nama bagi bulan ke-9, cuaca pada bulan tersebut bersangatan panas.
Ramadhan juga dikaitkan sebagai bulan penghapus dosa-dosa, sesuai dengan makna Ramadhan yang membawa maksud panas membakar. Terdapat banyak fadhilat dan keistimewaan pada bulan mulia ini, antaranya :
Pertama : Bulan Penuh Keberkatan
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Di dalamnya Allah mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Pada bulan ini pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan yang degil dibelenggu. Terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak memperoleh kebaikan maka dia terhalang mendapat kebaikan yang besar”
(HR Ahmad dan An-Nasaie)
Kedua : Bulan Keampunan
Tetamu mulia ini datang menjanjikan pembersihan diri manusia dari dosa agar mereka kembali kepada kemuliaan fitrah sebagaimana asal ciptaan. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana beriman kepada Allah dan hanya mengharapkan redha Allah SWT, maka akan diampuni semua dosa yang telah dilakukannya”
(HR Al-Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Bulan Pembebasan Dari Neraka
Mafhum daripada sabda Rasulullah SAW :
“Apabila tiba malam pertama Ramadhan, malaikat akan berseru ‘Wahai orang yang ingin berbuat kebajikan, teruskan berbuat kebajikan. Wahai orang yang ingin berbuat kejahatan, hentikanlah daripada berbuat maksiat. Allah SWT memberi kurnia dengan membebaskan ramai manusia daripada neraka. Itu berlaku pada setiap malam sepanjang Ramadhan'”
(HR At-Tirmizi)
Keempat : Turunnya Al-Quranul Karim
Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 185 :
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ
Maksudnya : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil)”
Menurut Imam Ibnu Kathir, Allah Taala memuliakan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain kerana bulan ini telah dipilih oleh Allah untuk diturunkan Al-Quran (Baca Anugerah Agung Allah di Bulan Ramadhan), termasuklah kitab Zabur, Taurat dan Injil kepada para Anbiya AS.
Kelima : Pahala Berganda Di Bulan Ramadhan
Antara keistimewaan Ramadhan, Allah SWT menggandakan pahala setiap amalan yang dikerjakan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan satu kebajikan, pahalanya seperti menunaikan satu kefardhuan dalam bulan selainnya (iaitu di luar Ramadhan). Sesiapa yang menunaikan satu kefardhuan dalamnya, pahalanya seperti menunaikan 70 kefardhuan dalam bulan selainnya”
(HR Ibnu Khuzaimah dan Al-Baihaqi)
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud :
“Satu umrah di bulan Ramadhan menyamai pahala sekali haji, atau haji bersamaku”
(HR Al-Bukhari dan Muslim)
Marilah kita bersama-sama istiqamah dalam melaksanakan ibadah dengan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan segala amal ibadah dan amal soleh yang ikhlas itu membuahkan ketakwaan yang menjadi bekal dan saham amal kita di akhirat nanti. Ramadhan hanya bertamu sekali dalam setahun. Justeru itu, jangan lepaskan peluang meraih ganjaran yang menanti kita.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Rugilah seseorang yang apabila Ramadhan datang kepadanya, kemudian Ramadhan berlalu tanpa dia mendapatkan keampunan”
(HR Muslim)
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ١٣٣ ۞
Maksudnya : “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa”