Tazkirah Ramadhan 1444H
21 Apr 2023Pekerjaan Yang Paling Baik
1 May 2023Ramadhan merupakan bulan mendidik diri, agar kita lebih istiqamah melakukan kebaikan pada bulan-bulan yang lain. Amatlah diharapkan agar madrasah Ramadhan lalu, memberikan pengisian yang sangat bermakna untuk kita menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
Bulan Ramadhan juga menjadi medan tarbiyah untuk mencari sebuah erti kemerdekaan, iaitu memerdekakan diri daripada belenggu syaitan, kerakusan hawa nafsu dan adat kebiasaan yang buruk.
Justeru, marilah sama-sama kita mengislah diri agar kita dapat mencapai hikmat utama daripada ibadat puasa iaitu sifat ketaqwaan yang padu lagi kental.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 183 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Puasa telah melatih kita untuk mengawal keinginan diri dan berkata ‘tidak’ kepada sesetengah kehendak nafsu. Ramadhan juga menuntut kita berusaha menjaga pahala puasa agar ia tidak berkurangan.
Sabda Baginda sollallahu ‘alayhi wa salam yang bermaksud :
“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan batil bahkan terus membuatnya, Allah tidak memperdulikan usahanya yang meninggalkan makan dan minum (sepanjang berpuasa)”
(Hadis Riwayat al Bukhari)
Demikianlah, di sepanjang hidup, kita patut berusaha untuk mengelakkan dan mengekang diri daripada segala bentuk kehilangan pahala yang menyumbang kepada dosa dan murka Allah taala.
Kunjung-mengunjungi ke rumah terbuka adalah untuk mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan kasih sayang. Namun, tidak sepatutnya pertemuan itu juga menjadi medan untuk menambahkan dosa dengan umpat mengumpat, pergaulan bebas dan sebagainya.
Renungkanlah sabda Nabi sollallahu ‘alaihi wa salam ini menjadi peringatan buat kita yang bermaksud :
“Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia. Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka”
(Hadis Riwayat Muslim)
Pada bulan Ramadhan, rintihan dan pengaduan banyak dihubungkan terus dengan Allah. Allah lah yang dijadikan sandaran utama untuk kita mengadu dan bergantung harap kepada-Nya di saat bermunajat dan qiyamullail pada malam-malam Ramadhan. Ia merupakan latihan untuk kita bergantung hanyalah kepada Allah apabila pelbagai ujian dan mehnah berlaku dalam kehidupan ini. Itulah fitrah manusia yang memerlukan Allah sebagai tempat pergantungan.
Nilai-nilai kasih sayang dengan sifat prihatin dan menghulurkan bantuan perlu terus dipupuk agar bercambahlah sebuah masyarakat yang prihatin dan tidak mementingkan diri. Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal kita agar terbit rasa belas ehsan dan kebersamaan sesama insan. Kemeriahan lebaran perlu diisi dengan cara Islam yang diredhai Allah dan bukannya terikut-ikut dengan cara yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti. Itulah harapan tinggi di sebalik ‘Idil Fitri yang kita rayakan agar madrasah Ramadhan itu tidak berlalu dengan sia-sia.
Mudah-mudahan segala ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah ta’ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan daripadaNya. Amin Ya Rabal Alamin.