Haji Adalah Rehlah Keimanan
1 Jun 2023Adab Mengimarahkan Rumah Allah
15 Jun 2023Menjaga Haiwan – Hak Dan Tanggungjawab | Islam adalah agama yang syumul, memberi panduan dalam semua aspek kehidupan manusia. Al-Quran perlu dijadikan perlembagaan kepada manusia dalam menguruskan kehidupan dan ekosistem yang ada di muka bumi ini. Penciptaan manusia bukan sahaja untuk kesinambungan kehidupan manusia, tetapi manusia dilantik oleh Allah sebagai khalifah untuk mentadbir bumi dengan adil dan saksama. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 30:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةًۭ ۖ قَالُوٓا۟ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ٣٠
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Menurut Imam al-Suyuti, ketika Allah hendak menjadikan manusia sebagai khalifah, malaikat menyatakan kebimbangan tentang sikap manusia yang akan membuat kerosakan kepada bumi. Namun, Allah subhanahu wa ta’ala telah menciptakan manusia dengan dipandu oleh rasul dan kitab yang suci sebagai pedoman sepanjang masa. Manusia dilantik oleh Allah subhanahu wa ta’ala sebagai khalifah yang bertanggungjawab ke atas segala ekosistem yang ada di bumi ini. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang diciptakan Allah subhanahu wa ta’ala bukan sahaja untuk memenuhi keperluan manusia, tetapi kedua-duanya juga memerlukan manusia untuk mengurus kebajikan dan kelestarian ekosistem alam.
Haiwan adalah makhluk Allah yang mempunyai hubungan rapat dengan manusia. Manusia bukan sahaja memerlukan haiwan sebagai sumber makanan, tetapi kepentingan haiwan juga termasuk dalam menjana sumber ekonomi. Haiwan-haiwan seperti kerbau, gajah dan kuda telah digunakan sebagai pengangkutan untuk aktiviti manusia. Di samping itu, haiwan seperti anjing juga digunakan dalam aspek keselamatan, penjagaan harta benda dan membantu dalam kes jenayah. Manakala haiwan peliharaan seperti kucing boleh memberi kesan positif dalam aspek emosi kepada manusia. Melihat peranan haiwan yang hebat kepada manusia, maka aspek hak dan kebajikan haiwan harus dilihat dan diberi perhatian. Hak asasi haiwan dalam Islam telah jelas disebut oleh Allah subhanahu wa ta’ala dalam al-Quran Surah al-An’am ayat: 38 :
وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا طَـٰٓئِرٍۢ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّآ أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَـٰبِ مِن شَىْءٍۢ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ ٣٨
Maksudnya: Dan tidak seekor pun haiwan yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
Menurut Ibnu Kathir, Allah telah memberi peringatan kepada kita untuk menjaga hak semua jenis haiwan. Maksud “Umat-umat seperti kamu” merujuk kepada hak haiwan sama seperti hak manusia diciptakan, diberi nyawa, rezeki dan hidup dengan baik di bumi. Allah juga mengiktiraf dan menghormati semua makhluk hidup dan memerintahkan kita untuk melakukan perkara yang sama. Bahkan Islam turut memberi amaran kepada manusia yang mencederakan haiwan sebagaimana yang terkandung dalam mafhum hadis Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam :
“Seorang wanita telah dimasukkan ke dalam neraka disebabkan kucing yang dikurungnya di dalam rumah tanpa diberi makanan dan tidak pula dilepaskan, agar bebas mencari makanan sendiri”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Islam sangat prihatin terhadap etika dan kebajikan haiwan. Antara kebajikan yang perlu dilakukan ialah seperti memberi air, memberi makanan yang betul, menyediakan tempat tinggal, menjaga keselamatan, tidak menyeksa dan melakukan perkara yang boleh menyakiti mereka. Tanggungjawab manusia yang menjaga haiwan peliharaan sangat besar, ini kerana haiwan peliharaan seperti kucing tergolong dalam makhluk lemah Allah dan perlu dilindungi.
Kebajikan haiwan yang menjadi sumber makanan kepada manusia seperti lembu, kambing, biri-biri dan haiwan lain yang halal juga perlu dijaga. Justeru, semua haiwan ternakan harus diletakkan di dalam kandang yang tertutup dan tidak dilepaskan. Ini kerana, perbuatan melepaskan haiwan ternakan kerap kali membawa kepada kemalangan di lebuhraya dan jalan-jalan kampung, sehingga membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa manusia. Ibnu Abbas pernah meriwayatkan bahawa Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam telah bersabda yang bermaksud:
“Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat”
(Riwayat Ibn Majah )
Antara hak dan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan ialah tidak membiarkan haiwan berkeliaran, buang najis merata-rata, merosakkan tanaman dan harta benda orang lain, terutamanya jiran tetangga. Hal ini membawa kepada salah faham, pertikaian dan tidak harmoni dalam masyarakat.
Sebagai kesimpulannya, kita perlu menginsafi bahawa Allah menciptakan manusia sebagai khalifah adalah untuk mengurus alam ini termasuk menjaga hak haiwan dengan penuh ihsan, rahmah dan amanah. Penganiayaan dan pengabaian haiwan adalah menjadi kesalahan di sisi undang-undang. Kita juga perlu menjaga kebajikan haiwan peliharaan dan ternakan sebaiknya. Jangan membiarkan binatang peliharaan menjadi punca kesusahan dan memberi kemudharatan kepada pihak lain.