Adab Mengimarahkan Rumah Allah : Pena Hijau

Adab Mengimarahkan Rumah Allah

ANE 20230608 menjaga haiwan
Menjaga Haiwan – Hak Dan Tanggungjawab
8 Jun 2023
ANE 20230622 zulhijjah arafah haji kaabah
Kelebihan Zulhijjah Dan Keistimewaan Arafah
22 Jun 2023
ANE 20230608 menjaga haiwan
Menjaga Haiwan – Hak Dan Tanggungjawab
8 Jun 2023
ANE 20230622 zulhijjah arafah haji kaabah
Kelebihan Zulhijjah Dan Keistimewaan Arafah
22 Jun 2023
tazkirah ramadhan masjid muhammad ahmadi
icon follow us

Adab Mengimarahkan Rumah Allah | Masjid merupakan satu tempat yang perlu diimarahkan dan dihormati sesuai dengan kemuliaannya sebagai rumah Allah. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud :

Tempat yang paling dikasihi Allah ialah masjid-masjid, dan tempat yang paling dimurkai Allah ialah pasar-pasar.

(Hadis riwayat Muslim)

Sejarah menyaksikan bahawa masjid pertama yang dibina di muka bumi ini ialah Masjidil Haram, dan masjid kedua ialah Baitulmaqdis, dan tempoh antara keduanya ialah 40 tahun, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Istilah masjid merujuk kepada setiap tempat yang didirikan solat berjamaah dan diniatkan sebagai masjid, walaupun dengan nama surau atau sebagainya. Sebagai orang yang beriman, pengimarahan masjid merupakan tanda keimanan seseorang. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Taubah ayat 18:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ ١٨

Maksudnya: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Pengimarahan masjid tidak dapat berlaku dengan sempurna tanpa penglibatan kedua-dua pihak: pengurusan masjid dan ahli jemaah. Setiap daripada mereka mempunyai peranan yang penting dan adab-adab yang perlu diikuti bagi memelihara kesucian rumah Allah ini. Antara beberapa adab yang boleh diambil perhatian oleh kita semua:

Pertama: Menjaga keutamaan saf solat.

Ahli jemaah lelaki yang dewasa amat digalakkan untuk berada di saf awal, iaitu saf yang paling hadapan di belakang imam. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam telah membayangkan keutamaan saf awal ini melalui sabda Baginda yang bermaksud:

“Kalaulah manusia mengetahui pahala yang ada pada azan dan saf awal, kemudian mereka tidak memperolehinya melainkan dengan mengadakan undian, nescaya mereka sanggup mengadakan undian tersebut”

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kitab Dalil al-Falihin telah menghuraikan sebab keutamaan saf awal ini iaitu kedudukan makmum yang hampir dengan imam, pendengaran mereka terhadap bacaan beliau, penyaksian mereka akan hal ehwalnya serta mereka mendapat selawat Allah dan para malaikat. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas mereka yang berada di saf-saf awal.”

(Hadits riwayat Abu Dawud)

Untuk itu, jangan lepaskan peluang. Marilah sama-sama kita mengejar kelebihan berada di saf awal yang amat besar ini. Penuhilah sof di hadapan terlebih dahulu sebelum sof-sof yang seterusnya. Ketahulah mereka yang menyambung atau memenuhkan saf sembahyang yang terputus atau terpisah juga, akan turut menerima selawat Allah dan malaikatNya serta diangkat kedudukannya satu darjat. Kelebihan ini adalah sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam dalam hadits riwayat Ahmad.

Dalam masa yang sama, susunan saf juga patut diambil berat oleh ahli jemaah. Saf yang awal hendaklah dipenuhi oleh lelaki dewasa, kemudian saf kanak-kanak lelaki dan barulah saf wanita. Namun jika saf hadapan masih kosong lalu diisi oleh kanak-kanak, haram bagi orang lain membatalkan solat kanak-kanak tersebut dan menariknya ke belakang.

Kedua: Menjaga anak-anak kecil yang dibawa ke masjid.

Mendidik anak-anak ke masjid semenjak usia mumayyiz adalah satu langkah yang baik. Namun sepatutnya anak-anak hendaklah diajar terlebih dahulu adab-adab masjid sebelum dibawa bersama ke masjid. Ibu bapa pula tidak patut membiarkan anak-anak bermain dan membuat bising ketika solat atau majlis ilmu sedang berlangsung.

Ketiga: Menjaga adab dalam majlis ilmu serta beriktikaf.

Masjid merupakan tempat yang paling sesuai diimarahkan dengan majlis ilmu dan kelas-kelas pengajian. Di samping berada dalam majlis ilmu yang disifatkan sebagai taman syurga, kita turut berpeluang beriktikaf sepanjang berada di dalam masjid. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud:

“Para malaikat mendoakan kamu selama kamu berada di tempat solat, selagi tidak berhadas seraya berkata: Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah, rahmatilah dia. Kamu sentiasa dikira berada di dalam solat dan mendapat pahalanya selama kamu menahan diri kamu di tempat solat untuk menunaikan solat seterusnya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Antara maksud “berhadas” ialah batal wuduk. Ada juga ulama yang mentafsirkan dengan makna menyakiti dan mengganggu orang lain. Justeru perbuatan sebahagian ahli jemaah yang berbual dan bersembang ketika majlis ilmu adalah tidak beradab. Di samping mengganggu majlis ilmu, ia juga dapat menyinggung perasaan guru serta menghilangkan keberkatan ilmu.

Keempat: Menjaga kebersihan kawasan masjid

Kebersihan dan keceriaan masjid adalah perkara yang perlu diutamakan. Tempat yang paling patut dijaga kebersihannya ialah rumah Allah subhanahu wa ta’ala. Perkara ini sebenarnya bukan sekadar menjadi tanggungjawab AJK, siak dan staf kebersihan, bahkan setiap ahli jemaah perlu sama-sama mengekalkan kebersihan kawasan masjid dan tandas. Tindakan sebahagian jemaah membuang sampah walaupun kecil di dalam ruang solat adalah tidak patut. Perbuatan ini adalah tidak beradab kerana mengotorkan kawasan solat. Begitu juga sisa sampah yang dibuang di kawasan masjid, pastikan diletakkan dengan baik dalam tong sampah yang disediakan.

Kelima: Berhemah menggunakan alatan dan kemudahan masjid

Masjid merupakan tempat umum yang menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan ibadat dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Di samping itu, masjid juga menyediakan kemudahan seperti tandas dan tempat mandi. Sebahagian masjid yang aktif turut mengadakan tempat penginapan yang dapat disewa dengan harga berpatutan. Sebagai pengguna, janganlah kita membazir atau menyalahgunakan kemudahan ini untuk tujuan lain. Tindakan menggunakan peralatan masjid untuk kegunaan yang menyalahi uruf setempat adalah haram dan dilarang seperti mengambil air masjid untuk tujuan gerai peniagaan, menggunakan sejadah masjid untuk di bawa ke rumah dan lain-lain lagi. Ini kerana harta tersebut diwakafkan hanya untuk tujuan masjid, maka tidak boleh digunakan bagi tujuan yang menyalahi niat asal wakaf.

Keenam: Mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan menghadiri majlis ilmu.

Tujuan utama masjid ialah sebagai pusat berhimpunnya umat Islam sesuatu tempat untuk solat berjemaah sebagai tuntutan fardu kifayah. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud:

“Tidak ada berkumpul tiga orang sama ada di kampung atau di pedalaman yang tidak didirikan solat berjemaah, kecuali akan dikuasai oleh syaitan. Hendaklah kamu dirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang bersendirian.”

(Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Nasa’ie)

Kita juga patut meramaikan majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid. Pihak pengurusan masjid patut menyusun jadual pengajian yang meliputi semua tuntutan ilmu fardu ain bagi masyarakat setempat. Pastikan kuliah berkaitan akidah, feqah dan tasawuf diisi oleh pengkuliah yang diiktiraf ilmunya dan mendapat tauliah oleh majlis agama Islam. Ketiga-tiga ilmu ini perlu diutamakan daripada ceramah dan kuliah umum yang sekadar menjadi halwa telinga.

Kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa mencari peluang untuk datang ke masjid dan memakmurkan rumah Allah. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi salah satu golongan yang mendapat naungan arasy Allah pada hari yang tiada sebarang naungan dan perlindungan melainkan daripada Allah, iaitu orang Islam yang hatinya terikat dengan masjid.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Adab Mengimarahkan Rumah Allah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more