Akhlak Mulia, Taubat Dan Istiqamah : Pena Hijau

Akhlak Mulia, Taubat Dan Istiqamah

20230824 kemerdekaan
Hayatilah Erti Kemerdekaan
24 Aug 2023
20230915 hari malaysia
Keamanan Negara Nikmat Yang Perlu Dipelihara
15 Sep 2023
20230824 kemerdekaan
Hayatilah Erti Kemerdekaan
24 Aug 2023
20230915 hari malaysia
Keamanan Negara Nikmat Yang Perlu Dipelihara
15 Sep 2023
20230908 taubat istiqamah solat
icon follow us

Rasullulah shollallahu ‘alaihi wa salam yang berkeperibadian luhur dan berakhlak mulia lagi tinggi, menganjurkan dan memuji pekerti luhur dan adab peribadi yang indah. Ia adalah prasyarat pembentukan masyarakat yang cemerlang, mempunyai keutuhan peribadi, juga dihormati oleh kawan dan lawan.

Akhlak mulia bukan sekadar perhiasan lahiriah, malahan ia meliputi seluruh bidang kehidupan individu, dalam pelbagai aspek sosial, ekonomi, politik dan sebagainya yang berpaksikan iman kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan hari akhirat.

Berakhlak mulia menjadi satu faktor terpenting berhasilnya dakwah Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam yang mendorong masyarakat Arab pada ketika itu tertarik untuk memeluk agama Islam.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam bersabda yang bermaksud :

“Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, lakukanlah kebaikan setelah terbuat kesilapan, ia pasti menghapuskan kesalahan itu dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik”

(Hadis riwayat Ahmad dan al Tarmizi)

Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam juga menganjurkan agar umatnya segera bertaubat apabila berbuat dosa atau perkara munkar kerana Allah subhanahu wa ta’ala sentiasa akan menerima taubat hambaNya dan mengampuninya.

Sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud :

“Wahai manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah dan mohonlah keampunanNya. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dan mohon keampunanNya pada setiap hari sebanyak 100 kali”

(Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah at-Tahrim ayat 8 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ تُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ تَوْبَةًۭ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ يَوْمَ لَا يُخْزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya”

Anjuran dan gesaan tersebut selari dengan hakikat diri manusia yang dibekalkan dengan unsur akal dan hawa nafsu yang saling berlawanan. Akal mengarah kepada taqwa dan kebajikan, manakala hawa nafsu pula sering mendorong kepada perbuatan dosa dan maksiat. Justeru, taubat akan meletakkan manusia atas landasan sebenar yang dianjurkan oleh Islam.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam juga menekankan agar setiap individu muslim dan muslimah supaya mengamalkan ajaran Islam dengan penuh istiqamah (konsisten) sepanjang kehidupan dunia ini.

Seorang sahabat, Sufian bin Abdillah al Thaqafi rodhiallahu ‘anhu pernah memohon Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam agar menasihatinya, sabdanya yang bermaksud :

“Katakanlah ‘aku beriman kepada Allah’, kemudian hendaklah kamu beristiqamah”

(Riwayat Muslim)

Istiqamah dalam pegangan Islam dan ajarannya adalah suatu perkara yang memerlukan kesabaran yang jitu dan ketabahan hati yang mantap. Sifat istiqamah bakal mengawal diri seseorang dan memandunya dalam mengharungi sebarang pancaroba dan mehnah yang sukar untuk terus berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud :

“Wahai manusia, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Jika kamu berpegang dengan keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya; iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Nabinya”

(Hadis riwayat al Hakim)

Justeru, marilah kita bersama-sama terus mengamalkan ajaran-ajaran yang diwariskan oleh Baginda shollallahu ‘alaihi wa salam seperti bertaubat, istiqamah, berakhlaq mulia dan seumpamanya dalam kehidupan kita, mudah-mudahan kita sentiasa dirahmati oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Akhlak Mulia, Taubat Dan Istiqamah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more