Hayatilah Erti Kemerdekaan : Pena Hijau

Hayatilah Erti Kemerdekaan

ANE 20230811 silaturrahim
Islam Memelihara Keamanan Dan Silaturrahim
11 Aug 2023
20230908 taubat istiqamah solat
Akhlak Mulia, Taubat Dan Istiqamah
7 Sep 2023
ANE 20230811 silaturrahim
Islam Memelihara Keamanan Dan Silaturrahim
11 Aug 2023
20230908 taubat istiqamah solat
Akhlak Mulia, Taubat Dan Istiqamah
7 Sep 2023
20230824 kemerdekaan
icon follow us

Setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, negara kita Malaysia akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan. Tahun 2023 ini merupakan sambutan kemerdekaan kali ke-66. Ini menandakan negara kita telah merdeka selama tempoh 66 tahun.

Jika disoroti, kemerdekaan negara yang dicapai pada tahun 1957 adalah sebuah perjuangan yang panjang dan penuh berliku. Generasi terdahulu telah mengorbankan jiwa dan raga mereka bagi mempertahankan tanah air daripada penjajahan kuasa asing.

Selain itu, perjuangan mereka juga bertujuan agar agama Islam terus terpelihara di Malaysia. Apa yang pasti, semangat perjuangan bagi mencapai kemerdekaan yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu ini dilihat selari dengan sirah Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa salam dan para Sahabat rodhiallahu ‘anhum.

Dalam Islam, pembukaan Mekah menjadi titik tolak kepada kemerdekaan yang sebenar. Merdeka bukan sahaja bebas tanahair daripada cengkaman penjajah, bahkan bebas daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya kebenaran. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Isra’, ayat 81:

وَقُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَزَهَقَ ٱلْبَـٰطِلُ ۚ إِنَّ ٱلْبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقًۭا ٨١

Maksudnya : Dan katakanlah: Telah datang kebenaran, dan hilanglah yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.

Dalam menjelaskan lagi maksud kemerdekaan atau pembebasan ini, seorang pahlawan Islam bernama Rib’i bin ‘Amir rodhiallahu ‘anhu, pernah ditanya oleh Rustum iaitu panglima Parsi, tentang tujuan umat Islam datang ke Parsi. Rib’i bin ‘Amir rodhiallahu ‘anhu menjawab : “Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah subhanhu wa ta’ala untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kekeliruan dan kesesatan agama lain kepada keadilan Islam“.

Sebagai individu Muslim, kemerdekaan dalam diri membawa maksud bebas daripada perkara yang dimurkai oleh Allah subhanahu wa ta’ala dan Rasul-Nya.

Namun realiti semasa menunjukkan bahawa sekalipun negara kita telah lama merdeka, malangnya sebahagian umat Islam hari ini dilihat masih terjajah dan terpengaruh dengan penyelewengan pemikiran kesan penjajahan bentuk baharu sehingga boleh merosakkan akidah.

Antara pemikiran menyeleweng tersebut ialah yang bertunjangkan logik akal fikiran semata-mata dengan mengenepikan al-Quran dan hadis, serta menolak dan meremehkan hukum-hakam Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh pihak dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai menghayati erti kemerdekaan dalam konteks hari ini, marilah sama-sama kita sebagai umat Islam menginsafi bahawa kemerdekaan negara yang kita perolehi adalah anugerah Allah subhanhu wa ta’ala yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh rakyat hasil dari kemerdekaan.

Antara nikmat terbesar kemerdekaan ialah Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat sehingga keamanan, keselamatan dan kemakmuran dapat dirasai oleh seluruh rakyat. Umat Islam pula dapat mengamalkan ajaran Islam dengan bebas.

Oleh itu, sebagai tanda kesyukuran, marilah kita bersama-sama berganding bahu memelihara dan seterusnya mempertahankan negara Malaysia yang tercinta ini daripada sebarang anasir dan usaha yang boleh menggugat kedaulatan dan keutuhan negara. Kepada golongan remaja, marilah sama-sama kita menyemai semangat kemerdekaan ini berpaksikan semangat cintakan negara dengan mengekalkan jati diri muslim sebagaimana generasi awal Islam yang terdidik di bawah tarbiah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam. Pada masa yang sama, kita juga perlu mengisi kemerdekaan dengan menguasai ilmu pengetahuan semasa agar umat Islam terus terpelihara daripada penjajahan versi baharu dalam bentuk pemikiran moden yang merosakkan pegangan akidah dan gaya hidup Islam.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Hayatilah Erti Kemerdekaan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more