Kelahiran Rasulullah SAW Suatu Rahmat
22 Sep 2023Beramal Dengan Sunnah Tanda Ketaatan Dan Kepatuhan
6 Oct 2023Cinta Kepada Nabi SAW Asas Kecintaan Kepada Allah SWT | Kedatangan bulan Rabiu’ Awal pada saban tahun hijrah, membawa makna cintakan seorang yang sangat bernilai dalam kehidupan seluruh umat Islam. Kehadiran bulan Rabiu’ Awal pada tahun 1445 hijrah ini, mengingatkan kita kepada suatu peristiwa agung yang bersejarah, iaitu kelahiran Baginda Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam yang diutuskan Allah sebagai rahmat seluruh alam. Cintakan Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam adalah asas kepada kasihkan Allah subhanahu wa ta’ala.
Pintu utama untuk sampai kepada kasihkan Allah subhanahu wa ta’ala, adalah mengasihi Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, kerana Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam merupakan hamba Allah yang paling dikasihiNya. Apabila kita sebagai umat Islam mengasihi Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, sudah pasti kita terdorong untuk melaksanakan serta mengikuti apa sahaja suruhan dan larangan daripada Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam dengan penuh rela hati. Mengikuti semua jejak langkah Baginda dengan rela hati itulah sebenarnya, terjemahan makna mengasihi Allah subhanahu wa ta’ala, kerana semua yang dilakukan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, tidak lain dan tidak bukan adalah suruhan yang diredai oleh Allah subhanahu wa ta’ala semata-mata.
Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam pernah menyebut dalam satu hadis tentang keutamaan mencintai Baginda yang maksudnya :
“Tidak sempurna iman seorang kamu, sehingga aku menjadi orang yang paling dikasihinya, lebih daripada ibubapa dan anaknya serta manusia keseluruhannya”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis tersebut antara lain memberi faham kepada kita bahawa, walau bagaimanapun cinta kita terhadap kedua ibubapa, anak pinak, sahabat handai dan sanak saudara, kemuncak cinta yang perlu kita bina dalam kehidupan kita adalah mencintai Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Perasaan cinta yang utuh dalam hati itulah, akan menjadi penggerak utama menyebabkan kita reda dan rela mengikuti apa sahaja yang disarankan oleh Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam.
Natijahnya, kita akan dikurniakan Allah nikmat kemanisan iman sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud :
“Akan mengecapi makna kemanisan iman, barangsiapa yang berasa reda Allah menjadi Tuhannya, reda Islam menjadi agamanya dan reda Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam menjadi rasul”
(Hadis riwayat Muslim)
Persoalan yang mungkin timbul berlegar dalam fikiran kita sekarang, bagaimanakah rasa cinta tersebut boleh tumbuh segar dalam hati kita? Perlu kita sedari bahawa, melahirkan rasa cinta Rasul yang kental dalam hati tidak mudah dicapai tanpa mengenali Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam dengan lebih dekat. Bagi mengenali Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, marilah sama-sama kita mempelajari serta mengenali diri Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam pelbagai aspek kehidupan, terutamanya keperibadian mulia yang ditonjolkan dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Baginda adalah contoh terbaik dalam hubungan dengan Allah, dengan sesama muslim dan bukan muslim, malahan hubungan dengan makhluk yang tidak berakal sekalipun.
Selain itu, jangan lupa untuk kita mendampingi dan menyayangi orang-orang yang mengasihi Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam kalangan para ulama, para guru dan juga ahli keluarga keturunan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam yang sentiasa mengungkapkan rasa cinta kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam menerusi percakapan dan perbuatan mereka. Semoga limpahan rasa cintakan Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang telah dikurniakan Allah kepada mereka, turut dikurniakan Allah melimpah masuk ke dalam hati sanubari kita. Sebagaimana sabda Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Kamu berserta dengan orang yang kamu kasihi”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Kita juga diseru untuk memperbanyakkan selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang menjadi obor pencetus rasa ingat berkekalan kepada Baginda. Sesungguhnya kedudukan orang yang sentiasa memperbanyakkan selawat dan salam telah disifatkan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Orang yang paling utama darjat kedudukannya di sisiku pada hari kiamat kelak, adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Marilah sama-sama kita memperbaharui azam sempena kedatangan bulan Rabi’u Awal pada tahun 1445 hijrah ini, untuk membina dan meningkatkan rasa cinta kita kepada junjungan besar Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, dengan memupuk rasa dekat hubungan kita dengan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam, menerusi melaksanakan setiap amal ibadat dianjurkan oleh Baginda, sehingga terasa di hati seolah-olah Baginda sentiasa berada dalam kalangan kita.
Hayatilah firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Ali Imran ayat 31 :
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٣١
“Katakanlah (wahai Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”