Keamanan Negara Nikmat Yang Perlu Dipelihara : Pena Hijau

Keamanan Negara Nikmat Yang Perlu Dipelihara

20230908 taubat istiqamah solat
Akhlak Mulia, Taubat Dan Istiqamah
7 Sep 2023
20230920 hujan tanah ilmu penuntut ilmu
Ilmu, Penuntut Ilmu, Hujan dan Tanah
20 Sep 2023
20230908 taubat istiqamah solat
Akhlak Mulia, Taubat Dan Istiqamah
7 Sep 2023
20230920 hujan tanah ilmu penuntut ilmu
Ilmu, Penuntut Ilmu, Hujan dan Tanah
20 Sep 2023
20230915 hari malaysia
icon follow us

Keamanan yang dirasai pada hari ini adalah antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala. Dia berkuasa mengurniakan keamanan dan berkuasa juga menghilangkan nikmat tersebut dengan sekelip mata. Apabila nikmat keamanan sudah hilang, kehidupan akan bertukar kepada kebimbangan dan ketakutan.

Imam ar-Razi dalam Tafsir al-Kabir menjelaskan bahawa nikmat keamanan adalah lebih besar daripada nikmat kesihatan badan. Ini kerana perasaan takut dan tidak aman boleh membawa kebinasaan. Menurut Imam ar-Razi lagi, seandainya seekor kambing patah kakinya, maka ia akan sembuh beberapa hari selepas itu. Tetapi seandainya kambing itu diikat di satu tempat yang dekat dengan kumpulan serigala, maka pastinya kambing tersebut tidak akan makan, lantaran takut sampai ia mati. Begitulah gambaran bahayanya ketakutan berbanding kesakitan pada badan.

Nabi Ibrahim pernah berdoa kepada Allah subhanahu wa ta’ala agar Mekah menjadi bumi yang dilimpahi nikmat keamanan. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 126 :

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًۭا وَٱرْزُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ

“Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata : Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Mekah ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”

Agama Islam akan dapat terus berada pada kedudukan yang tertinggi sekiranya negara ini kekal berada dalam keamanan. Setiap umat Islam akan dapat melaksanakan ibadah serta meninggikan syiar agama dengan kurniaan nikmat keamanan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Justeru, nikmat keamanan yang dinikmati pada hari ini perlu terus dipelihara sebaiknya. Terima kasih kepada pasukan keselamatan seperti polis, tentera dan agensi-agensi berkaitan yang terus menggalas tugas bagi memastikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Di peringkat individu pula, jadilah warganegara yang sentiasa inginkan Malaysia berada dalam keadaan aman dan damai. Setiap individu dalam negara ini berperanan untuk memastikan tidak ada perbuatan yang dilakukannya menyebabkan orang lain berasa tidak selamat ataupun dalam keadaan ketakutan. Berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan insiden orang dicederakan, malah hingga sanggup dibunuh tanpa peri kemanusiaan. Perkara sebegini pastinya memberi kesan terhadap tahap keamanan dalam kehidupan.

Umat Islam mestilah mengikut nasihat dan seruan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam agar memastikan tindakan yang dilakukan tidak sama sekali membahayakan orang lain. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa salam yang bermaksud :

“Seorang Muslim yang sempurna Islamnya ialah apabila orang Muslimin lain selamat daripada keburukan lidahnya dan tangannya”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Negara akan berada dalam keadaan aman jika setiap orang berkelakuan baik dan tidak memudaratkan orang lain. Sebaiknya setiap orang mesti menanamkan rasa kasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain agar kehidupan menjadi lebih bahagia.

Selain peranan individu, institusi keluarga berperanan besar bagi memastikan negara tempat kita berteduh ini terus berada dalam keadaan aman. Ketua keluarga perlu memainkan peranan yang besar dalam mendidik ahli keluarga untuk menjadi insan yang berguna dan dapat memberi manfaat kepada orang lain, bukannya memberi mudarat.

Masyarakat juga adalah pihak yang sangat penting dalam menjadikan Malaysia berada dalam keadaan aman. Setiap kelompok masyarakat perlu meletakkan kepentingan negara melebihi yang lain-lain. Dalam kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan warna kulit, masyarakat perlu bersatu hati dan saling hormat-menghormati dalam perkara-perkara melibatkan kepentingan negara.

Justeru, sempena dengan Hari Malaysia yang disambut pada hari esok 16 September 2023, marilah kita sama-sama berusaha menjaga keamanan negara yang telah dinikmati hasil daripada semangat kebersamaan dan permuafakatan antara kita.

Sesungguhnya keberkatan daripada Ilahi hanya akan dapat dicapai sekiranya sesebuah negara didiami oleh orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah subhanahu wa ta’ala, dan tidak sekali-kali mengingkari perintah dan suruhan-Nya.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Keamanan Negara Nikmat Yang Perlu Dipelihara
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more