Kelahiran Rasulullah SAW Suatu Rahmat : Pena Hijau

Kelahiran Rasulullah SAW Suatu Rahmat

20230920 hujan tanah ilmu penuntut ilmu
Ilmu, Penuntut Ilmu, Hujan dan Tanah
20 Sep 2023
20230922 nabi muhammad saw
Cinta Kepada Nabi SAW Asas Kecintaan Kepada Allah SWT
30 Sep 2023
20230920 hujan tanah ilmu penuntut ilmu
Ilmu, Penuntut Ilmu, Hujan dan Tanah
20 Sep 2023
20230922 nabi muhammad saw
Cinta Kepada Nabi SAW Asas Kecintaan Kepada Allah SWT
30 Sep 2023
20230922 nabi muhammad saw
icon follow us

Alhamdulillah, kita sudah memasuki bulan Rabiul Awal, bulan lahirnya insan agong yang membawa rahmat ke seluruh alam iaitu Baginda Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam. Kelahiran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam juga merupakan suatu nikmat yang amat besar dari Allah subhanahu wa ta’ala bagi seluruh umat manusia. Baginda membawa sinar cahaya yang menyinari bumi ini dengan cahaya tauhid dan memadamkan kegelapan syirik dan kekufuran.

Baginda telah berjaya membawa beberapa perubahan yang besar dalam sejarah kehidupan dan tamadun manusia, antaranya ialah :

Pertama : Dalam aspek akidah, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam telah berjaya mengangkat martabat dan kemuliaan manusia daripada kehidupan zaman jahiliah yang bertunjangkan hawa nafsu, kesesatan dan penyembahan berhala, kepada akidah suci yang mentauhidkan Allah, iaitu Tuhan yang Maha Esa. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah al Bayyinah ayat 5 :

وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلْقَيِّمَةِ ٥

Maksudnya : Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.

Kedua : Dalam aspek Syariah pula, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam membawa satu sistem kehidupan yang penuh bertamadun iaitu agama Islam yang lengkap dan sempurna. Kita menyaksikan bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam begitu bersungguh-sungguh menyampaikan risalah syariat Islam bermula dengan keluarga, sahabat, kaumnya dan sehinggalah Islam berjaya ditegakkan sebagai asas pentadbiran negara Islam Madinah. Syariat Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam merupakan suatu sistem yang terbaik untuk diamalkan dalam kehidupan manusia. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah al Ma-idah ayat 3 :

 ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا

Maksudnya : Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan kepada kamu nikmatKu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama kamu.

Ini bermakna syariat Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam merupakan satu sistem yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia bermula dari alam kelahiran hinggalah berakhirnya kehidupan seseorang manusia.

Ketiga : Adapun dari sudut akhlak, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam telah berjaya mendidik umat manusia daripada berakhlak buruk kepada insan yang berakhlak mulia, daripada zalim kepada adil dan daripada degil kepada bertimbang rasa. Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam menjadi teladan yang sempurna sepanjang zaman, mencakupi semua aspek kehidupan demi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di hari akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam surah al Ahzab, ayat 21 :

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ٢١

Maksudnya : Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

Marilah kita mencontohi akhlak Baginda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, dengan memaafkan orang lain, tidak berdendam, suka memberi bantuan kepada sesiapa yang memerlukan, tidak sombong, mengasihi dan membantu anak yatim, tidak menzalimi isteri dan anak-anak, memuliakan tetamu serta berbagai lagi akhlak dan pekerti mulia.

Baginda juga seorang yang amat penyayang sehingga manusia di sekeliling jatuh hati kerana ketinggian kasih sayang Baginda sesama manusia. Dalam hal ini, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.a pernah menyatakan bahawa “kasih sayang adalah kunci kepada hubungan silaturrahim”. Maka kasih sayang juga membawa kepada rasa tanggungjawab. Kasih sayang juga dapat memelihara jiwa dari hasad dengki dan dendam. Kasih sayang juga dapat memelihara lidah dari menuturkan perkara keji dan mungkar. Oleh sebab itu, marilah kita suburkan perasaan kasih sayang sesama kita dalam masyarakat kerana kesannya amat baik dalam mengeratkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara yang tercinta ini.

Justeru, kelahiran Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam merupakan nikmat dan rahmat yang tak terhingga untuk umat manusia di seluruh dunia. Maka Maulid Nabi yang kita sambut pada setiap tahun adalah salah satu cara menyuburkan kecintaan dan mensyukuri nikmat kelahiran agung Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam.

Sebagai kesimpulannya,

Pertama : Syukurilah nikmat Iman dan nikmat Islam yang kita perolehi hasil pengorbanan Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam.
Kedua : Buktikan kesyukuran itu pula dengan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam segenap sudut kehidupan kita.
Ketiga : Bermuamalahlah sesama manusia dengan penuh perasaan kasih dan sayang sepertimana diajar oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Kelahiran Rasulullah SAW Suatu Rahmat
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more