Kepincangan Hidup Manusia : Pena Hijau

Kepincangan Hidup Manusia

20231208 zakat
Zakat Dan Hikmahnya
8 Dec 2023
20231222 manusia sombong takabbur
Takabbur Melenyapkan Keharmonian
22 Dec 2023
20231208 zakat
Zakat Dan Hikmahnya
8 Dec 2023
20231222 manusia sombong takabbur
Takabbur Melenyapkan Keharmonian
22 Dec 2023
20231215 kepincangan hidup manusia coldplay
icon follow us

Kepincangan Hidup Manusia | Kita kini telah berada di penghujung tahun. Untuk itu, marilah kita meneliti peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada diri dan masyarakat di sekeliling kita. Mudah-mudahan ia mampu mendorong untuk kita memperbaiki dan meningkatkan kualiti amalan dan kehidupan. Ianya adalah bersesuaian dengan pesanan Sayyidina Umar al-Khattab rodhiallahu ‘anhu :

“Hisab dan periksalah (dengan mendalam serta serius) terhadap (kecuaian dan kealpaan) yang dilakukan oleh kamu sebelum kamu dihisab dan diperiksa (oleh Allah pada hari Qiamat)”

(Riwayat Ahmad)

Hari ini, masyarakat sibuk bercakap berkenaan kemelesetan ekonomi, kekurangan bekalan keperluan harian dan kenaikan harga barang. Bahkan, dari hari ke sehari, berbagai macam masalah yang baharu telah timbul.

Dalam pada itu, mereka mungkin terlupa atau tidak sedar bahawa terdapat perkara yang lebih merbahaya daripada kemelesetan ekonomi tersebut iaitu kemelesetan iman dan keyakinan kepada Allah serta kurangnya penghayatan agama dalam kehidupan. Bermula daripada keruntuhan iman dan pegangan agama ini, maka berlakulah keruntuhan akhlak dan selanjutnya keruntuhan dalam pelbagai bidang kehidupan, baik ekonomi, kekeluargaan, kemasyarakatan mahupun kenegaraan.

Antara perkara mendukacitakan ialah akidah kalangan umat Islam pada hari ini adalah sangat rapuh sehingga menyebabkan sebahagian mereka mudah sekali menggadaikan agama demi mengejar kepentingan dunia. Mereka memandang ringan terhadap perintah dan larangan Allah subhanahu wa ta’ala. Persoalan agama yang sepatutnya menjadi rukun pertama dalam kehidupan manusia, kini sudah menjadi perkara terakhir yang diambil kira di dalam kehidupan mereka. Tempat pertama di dalam kehidupan manusia telah diambil alih oleh kepentingan mencari keseronokan dunia. Kedudukan pangkat dan harta benda pula menjadi medan perlumbaan utama.

Kalangan mereka, agama hanya menjadi kegiatan bermusim. Diamalkan pada waktu-waktu tertentu seperti pada dua hari raya, majlis Maulud, majlis sambutan Ma’al Hijrah, ketika mengadakan majlis akad nikah, ketika berlaku kematian dan seumpamanya. Lebih dahsyat lagi, pada segelintir individu, Islam bukan lagi satu kepercayaan yang terpahat kukuh di dalam hati sanubari. Ada yang sanggup menukar agamanya dan membuat permohonan rasmi melalui pihak berkuasa. Ada juga yang berani mempermain dan mempersendakan sebahagian ajaran Islam, sama ada dalam bentuk perbuatan, perkataan, tulisan mahu pun lain-lain.

Pada masa yang sama, ada umat Islam yang terjebak dalam perkara munkar dan negatif seperti berjudi, minum arak, berkhalwat, terlibat dalam hubungan luar nikah dan lain-lain lagi. Begitu juga, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita turut berlaku secara berleluasa. Para pemuda dan pemudi berarak ke hulu dan ke hilir dengan motorsikal dan kereta, tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Pusat-pusat hiburan, pusat membeli belah dan tempat awam pula telah menjadi tempat menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah, baik kepada agama, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Begitulah juga, saat azan maghrib telah lama berkumandang, masih kelihatan kalangan kita asyik membeli belah di pasaraya atau enak menjamu selera di kedai-kedai makan. Ini tidak termasuk lagi, saudara-saudara kita yang sedang menonton tv, mendengar muzik, melepak dan berbual-bual kosong atau asyik menghisap rokok di beranda rumah. Kita tidak menuduh mereka meninggalkan solat maghrib, namun besar kemungkinan mereka gagal solat berjamaah di masjid.

Senario yang diperkatakan tadi boleh menggambarkan betapa dhaifnya sebahagian umat Islam dalam menghayati agama. Semuanya itu adalah sebahagian contoh kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita, dan ia amat membimbangkan. Justeru itu, semua pihak sama ada pihak berkuasa, para pemimpin masyarakat, ibu bapa penjaga mahupun orang perseorangan, mereka semua bertanggungjawab membaiki kepincangan ini. Janganlah dijadikan kesibukan urusan hidup sebagai halangan untuk menunaikan tanggungjawab ini.

Marilah sama-sama kita bertekad untuk memperteguhkan iman, meningkatkan ketaatan dan memperkasakan syiar Islam dengan menghayati keagungan Allah, menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada-Nya, memakmurkan rumah-rumah-Nya (masjid dan surau), menambah kefahaman agama menerusi kuliah-kuliah ilmu, membanyakkan amal kebajikan pada sepanjang masa, segera memohon taubat kepada Allah subhanahu wa ta’ala di atas kealpaan dan keingkaran mentaati perintah-Nya, di samping melakukan kewajipan amar makruf nahi mungkar kepada masyarakat.

Ingatlah bahawa tanggungjawab mencegah kemungkaran dan menganjurkan kebaikan merupakan perintah Allah subhanahu wa ta’ala yang menjadi kewajipan bersama. Mengabaikannya boleh mengundang malapetaka dan kemurkaan Allah Ta’ala. Nanti kita sendiri yang kerugian dan menangggung penyesalan yang tidak berkesudahan.

Sebagai penutup, hayatilah firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 25 :

وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٢٥

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Kepincangan Hidup Manusia
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more