Zakat Dan Hikmahnya : Pena Hijau

Zakat Dan Hikmahnya

20231201 aqidah kaabah kiblat islam
Peliharalah Akidahmu
1 Dec 2023
20231215 kepincangan hidup manusia coldplay
Kepincangan Hidup Manusia
15 Dec 2023
20231201 aqidah kaabah kiblat islam
Peliharalah Akidahmu
1 Dec 2023
20231215 kepincangan hidup manusia coldplay
Kepincangan Hidup Manusia
15 Dec 2023
20231208 zakat
icon follow us

Zakat Dan Hikmahnya | Menjadi suatu lumrah kebiasaan para Sahabat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam untuk saling berpesan di antara satu sama lain supaya mengerjakan amalan-amalan yang soleh dan bersegera menunaikan kewajipan, termasuklah kewajipan mengeluarkan zakat. Apatah lagi kita sebagai umat Islam akhir zaman ini, amat memerlukan kepada pesanan dan ingatan sebegini. Ini adalah kerana dalam pengeluaran zakat mengandungi hikmahnya untuk membersihkan jiwa yang beriman dan menggembirakan hati fakir miskin, di samping membuahkan ketenteraman dan keberkatan dalam masyarakat Islam. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah at-Taubah, ayat 103 :

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ١٠٣

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”

Allah Ta’ala tidak mewajibkan zakat kerana sesuatu hajatNya sendiri, malahan zakat itu difardukan ke atas orang Islam supaya faedah dan manfaatnya kembali kepada masyarakat Islam, mempereratkan ikatan kasih mesra dan menimbulkan perasaan saling bertimbang rasa sesama mereka.

Umat Islam kita pada hari ini berada dalam keadaan lemah dan terkebelakang kerana mereka gagal menyempurnakan dengan sewajarnya rukun-rukun Islam. Maka, jika kegemilangan umat Islam yang dahulu ingin kita miliki semula dan kita ingin melihat masyarakat kita sejahtera dan teguh, maka jalan yang utama sekali ialah dengan menunaikan segala rukun Islam dengan sebaik-baiknya.

Kita sekalian telah maklum bahawa, zakat itu ialah salah satu daripada rukun-rukun Islam yang lima. Sebagaimana kita wajib mendirikan sembahyang dan berpuasa, maka sedemikianlah juga kita wajib menunaikan zakat. Zakat merupakan satu aturan atau sistem ekonomi yang membolehkan umat Islam bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain dalam pekerjaan dunia, di samping berbakti dan mendekati diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Agama Islam telah menerangkan dengan jelas jenis-jenis harta yang diwajibkan padanya zakat, seperti zakat emas dan perak, zakat perniagaan, zakat binatang ternakan, zakat hasil pertanian dan lain-lain. Al-Quran yang mulia pula telah menerangkan kepada siapakah, zakat itu mesti dibelanjakan. Allah subhanahu wa ta’ala telah berfirman dalam surah at-Taubah, ayat 60 :

۞ إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ٦٠

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya , dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

Oleh yang demikian, tunaikanlah setiap kewajipan yang diperintahkan ke atas kita. Janganlah kita mengerjakan satu rukun Islam, tetapi meninggalkan yang lain dalam keadaan kita berkuasa mengerjakannya. Padahal tiap-tiap rukun Islam itu sama sahaja pentingnya. Setiap satunya mengandungi hikmah-hikmah yang tertentu dan merupakan kewajipan hamba terhadap Tuhannya.

Kita sayugia mengetahui bahawa harta benda yang ada di tangan kita adalah amanah Allah Ta’ala kepada kita. Kita diperintahkan supaya membelanjakannya menurut cara-cara yang diaturkan oleh Allah Ta’ala. Kalau tidak, jadilah harta benda itu bala yang mengancam kita. Barangsiapa yang enggan atau engkar menunaikan zakat yang diwajibkan ke atasnya, maka hartanya itu lambat laun akan ditimpa kemerosotan dan kebinasaan. Pada hari Kiamat kelak, dia akan menerima balasan azab siksa yang pedih, sebagaimana firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat 34 :

وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ

“Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”

Kita wajib bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala kerana pihak Ulul Amri di setiap negeri dalam Malaysia ini, menerusi majlis-majlis agama Islam setiap negeri telah menyusun dan mengatur urusan zakat ini dengan cermat dan teliti pembahagiannya, menurut apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Justeru itu, bersegeralah menunaikan zakat apabila memenuhi syarat-syaratnya melalui saluran yang telah disediakan.

Semoga kita semua dikurniakan taufiq dan dorongan untuk menunaikan fardu zakat. Mudah-mudahan Allah Ta’ala menerima amalan kita dengan kelimpahan dan kemurahanNya.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Zakat Dan Hikmahnya
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more