Peliharalah Akidahmu : Pena Hijau

Peliharalah Akidahmu

20231130 bencana musibah banjir
Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana, Tanggungjawab Bersama
30 Nov 2023
20231208 zakat
Zakat Dan Hikmahnya
8 Dec 2023
20231130 bencana musibah banjir
Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana, Tanggungjawab Bersama
30 Nov 2023
20231208 zakat
Zakat Dan Hikmahnya
8 Dec 2023
20231201 aqidah kaabah kiblat islam
icon follow us

Akidah merupakan satu perkara yang amat berharga dalam diri manusia. Ia merupakan syarat utama bagi menentukan kedudukan seseorang di hari akhirat kelak. Orang yang mempunyai iman dalam hatinya pasti akan menjadi ahli syurga, walaupun mungkin diseksa terlebih dahulu dalam neraka kerana dosa-dosanya. Manakala orang yang kufur, dia akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Justeru, iman adalah perkara yang teramat penting. Ia adalah sebab terselamat daripada kekal di dalam neraka.

Akidah yang boleh menyelamatkan seseorang daripada kecelakaan di hari akhirat kelak ialah akidah yang terbina di atas keyakinan yang teguh terhadap perkara-perkara keimanan yang berdasarkan dalil yang benar dan hujah yang yakin. Ini bermakna, keimanan itu hendaklah dibina atas asas dalil, bukannya taklid semata-mata agar keyakinan tersebut tidak goyah jika datang syubhat dan kekeliruan. Tidak memadai hanya sekadar ikutan dan taklid buta dalam perkara akidah, yang boleh tergugat apabila datangnya serangan pemikiran dan ideologi.

Umat Islam kini, diserang berkaitan akidah dari dalam dan luar. Serangan dari dalam adalah ancaman ajaran sesat yang menggunakan nama Islam dan dibawa oleh orang yang mengaku Islam. Manakala ancaman luar adalah serangan daripada musuh-musuh Islam yang tidak beriman dengan Allah dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Serangan-serangan ini pula datang dalam pelbagai bentuk, antaranya :

  1. Pembawaan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan prinsip Islam seperti “Liberalisme” (fahaman kebebasan secara mutlak), “Pluralisme” (fahaman yang mendakwa semua agama adalah sama) dan “Ateisme” (fahaman yang menolak kewujudan Tuhan).
  2. Syubhah dan kritikan yang disasarkan kepada prinsip akidah dan syariah seperti mempertikaikan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, menganjurkan pegangan tidak bermazhab dan mencela para sahabat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam.
  3. Mempertikai, mengkritik kredibiliti, bahkan menyesatkan para ulama yang muktabar dalam kalangan umat Islam.

Semua cabaran dan serangan ini, perlu ditangani oleh setiap muslim dengan melengkapkan diri dengan akidah yang sahih. Caranya ialah dengan menghadiri pengajian khusus berkaitan akidah, berpandukan kitab yang muktabar dan bimbingan guru yang mahir.

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, merupakan akidah yang dibawa oleh Baginda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat Baginda. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Dan akan berpecah umatku kepada tujuh puluh tiga golongan, kesemuanya dalam neraka kecuali satu golongan sahaja. Para sahabat bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: (Mereka yang mengikut) apa yang dijalani oleh aku dan sahabatku”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Dalam riwayat Abi Daud menyebut yang maksudnya :

“Hanya satu golongan di dalam syurga, iaitu Jamaah”

Persoalannya, bagaimanakah kita hendak mengenal ciri-ciri pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah? Kerana setiap kumpulan boleh mendakwa bahawa kumpulannya yang benar, dan kumpulan lain yang sesat. Jawabnya : ialah dengan berpandukan kitab-kitab yang muktabar. Antara kitab yang menjadi rujukan di dunia Islam ialah Qawa’id al-‘Aqaid, Akidah Nasafiah, Akidah Sanusiah, Jauharah Tauhid, Kharidah Bahiyyah dan Akidatul Awam. Di alam Melayu kita, kitab-kitab yang dijadikan pengajaran dalam akidah antaranya Faridatul Faraid, Akidatun Najin dan Bakurah Amani. Dengan berpandukan kitab-kitab muktabar dan bimbingan guru yang mahir dalam akidah, kita dapat memahami ilmu akidah mengikut acuan yang ditetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Berikut secara ringkas, ciri-ciri akidah dan iktikad yang dipegang oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah :

  1. Beriman bahawa Allah subhanahu wa ta’ala Zat Yang Maha Esa, Qadim (tiada permulaan bagi wujud-Nya), Kekal selama-lamanya tidak binasa, tiada sekutu dan tiada tandingan-Nya.
  2. Beriktikad bahawa Maha Suci Allah subhanahu wa ta’ala daripada menyerupai dengan makhluk-Nya sama ada pada zat-Nya, sifat-Nya dan juga perbuatan-Nya, serta Maha Suci Ia daripada segala makna kekurangan.
  3. Meyakini bahawa Allah subhanahu wa ta’ala Maha Berkuasa, Maha Berkehendak, Maha Mengetahui, Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha berkata-kata dan segala sifat kesempurnaan adalah milik-Nya.
  4. Beriktikad bahawa sebagaimana Allah subhanahu wa ta’ala sahaja yang mencipta semua alam ini, hanya Allah subhanahu wa ta’ala jua yang menciptakan segala perbuatan hamba. Hamba dikurniakan Allah memiliki usaha dan ikhtiar sahaja dalam perbuatan mereka.
  5. Beriman dengan Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam sebagai penutup para rasul, serta beriman dengan rasul-rasul sebelum baginda. Mereka bersifat dengan Siddiq, Amanah, Fathonah dan Tabligh, serta sifat-sifat manusia yang tidak mengurangkan darjat kerasulan mereka.
  6. Mempercayai segala yang dibawa oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam berkaitan malaikat, kitab-kitab, mukjizat, azab kubur, hari akhirat, syurga, neraka dan perkara-perkara berkaitan dengan kehidupan selepas mati.

Moga-moga sedikit perkongsian berkaitan akidah ini, dapat menyedarkan kita tentang kepentingan akidah. Hanya dengan akidah yang sahih dan berpandukan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja dapat menjamin kebahagian yang kekal di negeri akhirat. Maka, hadirkan diri kita dalam majlis ilmu dan datangi kelas-kelas pengajian akidah yang diajar oleh para ulama dan guru-guru yang mursyid. Semoga Allah memberi kepada kita iman dan akidah yang teguh, seterusnya dimatikan dalam iman. Amiin…

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Peliharalah Akidahmu
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more