Takabbur Melenyapkan Keharmonian : Pena Hijau

Takabbur Melenyapkan Keharmonian

20231215 kepincangan hidup manusia coldplay
Kepincangan Hidup Manusia
15 Dec 2023
20231020 palestin free palestine
Pertahankan Maruah Umat Islam
29 Dec 2023
20231215 kepincangan hidup manusia coldplay
Kepincangan Hidup Manusia
15 Dec 2023
20231020 palestin free palestine
Pertahankan Maruah Umat Islam
29 Dec 2023
20231222 manusia sombong takabbur
icon follow us

Takabbur Melenyapkan Keharmonian | Di antara faktor yang boleh melemah, malah melenyapkan keharmonian masyarakat ialah sikap sombong, takabbur, angkuh atau meninggi diri. Takabbur adalah di antara sifat negatif dan keji yang telah mendapat celaan berat daripada Allah dan Rasul-Nya. Inilah sifat keji yang terawal di kalangan makhluk yang bernama Iblis yang enggan patuh kepada perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam ‘alaihi salam. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 34 :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٣٤

“Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat : Tunduklah kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat kecuali Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir”

Sikap takabbur iblis itu telah membawa kepada padah yang dahsyat di mana ia dihalau, direjam, dilaknat atau dijauhi daripada rahmat Allah. Firman Allah dalam surah Sad ayat 77 dan 78 :

قَالَ فَٱخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌۭ ٧٧ وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلدِّينِ ٧٨

“Allah berfirman : Kalau demikian, keluarlah engkau daripada syurga, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat-Ku terus menerus hingga ke hari kiamat!”

Amaran keras juga diberikan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dengan sabdanya yang bermaksud :

“Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang ada dalam hatinya perasaan takabbur walaupun seberat zarrah”

(Hadis riwayat Muslim)

Dari segi istilah, takabbur ialah; keistimewaan yang dirasai oleh seseorang pada dirinya, membuatkan ia mengkagumi diri dan merasa lebih daripada orang lain. Maksud takabbur yang paling tepat ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dengan sabdanya yang bermaksud :

“Takabbur itu menolak kebenaran dan memandang rendah kepada orang lain”

(Hadis riwayat Muslim)

Dalam ertikata lain, takabbur ialah keegoan pada diri, kedudukan dan pandangan sendiri, yang menyebabkan seseorang itu sukar menerima kenyataan, apatah lagi jika ia dirasa merugikan dan merendahkan martabatnya.

Lihatlah Iblis, oleh kerana ego dengan asal kejadiannya dan memandang rendah kepada Nabi Adam ‘alaihi salam, ia sanggup menentang kebenaran yang datang daripada Allah dan rela disingkir. Seterusnya, lantaran hasad dan dendamnya, Iblis bersumpah untuk memusuhi Adam ‘alaihi salam dan zuriatnya. Takabbur Iblis inilah yang menggugat keharmonian dan kebahagiaan Adam dan isterinya Hawa.

Demikianlah, jika kita terperangkap dengan tipu muslihat Iblis dan memiliki sifat kejinya ini, maka keharmonian dan kesejahteraan hidup kita akan berkecai.

Untuk menghindari takabbur, kita perlu menangani faktor-faktornya dan berusaha menjauhinya. Para ulama’ telah menghuraikan sebab-sebab kepada takabbur, antaranya ialah :

  1. Tidak sudi tunduk kepada orang lain kerana merasa diri lebih.
  2. Tidak mahu menyerlahkan kekurangan diri, sikap dan akhlak negatifnya.
  3. Sanjungan berlebihan yang diperolehi.
  4. Penilaian yang tidak tepat tentang kelebihan. Contohnya; percaya kelebihan ada pada pangkat atau harta.
  5. Mengagumi kelebihan diri sendiri, seperti kelebihan ilmu, amal ibadat, harta, kekuatan, para pengikut yang ramai dan sebagainya, serta lupa kepada Pengurnianya iaitu Allah subhanahu wa ta’ala

Kesemua faktor atau sebab takabbur tadi, jika dibiarkan membarah, ia akan melemahkan, malahan menghapuskan keharmonian, kesejahteraan dan perpaduan ummah.

Justeru, marilah kita menjauhi sifat sombong dan takabbur dengan :

  1. Menginsafi bahaya dan akibat buruk sifat takabbur, seperti dimurkai dan dilaknat oleh Allah, dibenci orang, kekal dalam kesalahan, gagal membaiki diri dan sebagainya lagi.
  2. Mengenali siapa diri, membina Ma’rifatu Allah, sentiasa bersyukur dan mengembalikan sanjungan kepada limpah kurnia Allah..
  3. Memahami dan merawat dengan baik faktor-faktor yang boleh mendorong rasa takabbur.
  4. Sentiasa tawadhu’ iaitu merendah diri di samping mendidik diri belas kasih kepada orang lain, termasuk mereka yang tidak bernasib baik, lemah dan kekurangan dalam ilmu, harta, kedudukan dan sebagainya.
  5. Sedia mendengar, menghormati seterusnya menerima pandangan, idea, teguran dan lain-lain yang benar lagi syar’ie, tanpa mengira sumbernya.
  6. Sering berdoa dan memohon pertolongan Allah supaya dihindari sifat takabbur dan menyombong diri.

Kesimpulannya, marilah kita merenungi akan hakikat kejadian diri kita yang serba kekurangan dan lemah. Insafilah tentang kedudukan diri kita sebagai hamba Allah subhanahu wa ta’ala. Oleh itu, hiaskan diri dengan sifat tawadhu’, sama ada di hadapan-Nya, mahupun sesama para hamba-Nya.

Ingatlah, jika Allah mengurniakan kelebihan atau keistimewaan kepada kita, maka pergunakanlah ianya bagi membantu dan menolong mereka yang memerlukan. Perbanyakkan syukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala atas kurniaan-Nya tersebut.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Takabbur Melenyapkan Keharmonian
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more