Takabbur Melenyapkan Keharmonian
22 Dec 2023Muhasabah Dan Azam Tahun Baharu
5 Jan 2024Pertahankan Maruah Umat Islam | Sesungguhnya perutusan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam merupakan batu tanda peralihan sejarah manusia dari era Jahiliah kepada era kesedaran Islam, ataupun dengan lain perkataan, perubahan hidup manusia daripada kegelapan hawa nafsu kepada cahaya petunjuk yang terang benderang. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 15-16 :
يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ قَدْ جَآءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًۭا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَيَعْفُوا۟ عَن كَثِيرٍۢ ۚ قَدْ جَآءَكُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌۭ وَكِتَـٰبٌۭ مُّبِينٌۭ ١٥ يَهْدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِهِۦ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٦
“Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami yang menerangkan kepada kamu banyak dari isi Kitab yang telah kamu sembunyikan, dan ia memaafkan kamu banyak perkara. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah Kitab yang jelas keterangannya. Dengan (Al-Qur’an) itu, Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita kepada cahaya yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”
Menerusi perutusan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam ini, umat Islam telah faham tentang kebenaran dan kebatilan, baik dan buruk, keadilan dan kezaliman. Mereka mengorak langkah membangun ketamadunan yang sebenar; membentuk kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat, berpandukan kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, sehinggalah petunjuk Islam melimpahkan rahmat ke seluruh alam.
Zaman kini ialah era yang digembar gemburkan sebagai era moden dan era kemajuan, namun pembelaan sebenar kepada kemanusiaan tidak lagi berlaku. Pembelaan kemanusiaan tidak pun dihulurkan secara bersungguh-sungguh kepada negara-negara mundur dan miskin, apatah lagi kepada negara umat Islam yang diceroboh. Umat Islam seolah-olah diikat kaki dan tangan, sedang musuh bebas sesuka hati menumpahkan darah mereka.
Begitu juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang kononnya ditubuhkan untuk membela umat manusia sejagat, tetapi realitinya hanya berkhidmat kepada kepentingan kuasa besar dan sekutunya sahaja. Kalaulah berdepan dengan kesilapan negara-negara umat Islam, PBB tangkas bertindak seperti harimau yang garang, sebaliknya apabila berhadapan dengan jenayah negara-negara berkepentingan seperti Amerika dan Zionis Yahudi, ia hanya mampu beraksi seperti harimau sarkas sahaja. Kuat mengaum, tapi terantai dalam sangkar. Sejarah hitam yang berlaku di Afghanistan dan Iraq, serta apa yang sedang berlaku di bumi Palestin pada hari ini jelas menunjukkan hakikat pahit ini.
Umat Islam hendaklah sedar dan insaf bahawa mereka perlu berdikari. Tidak perlulah mereka menggantung harapan penuh kepada umat yang lain. Allah subhanahu wa ta’ala mengingatkan kita dalam surah Ali Imran, ayat 118 dengan firman-Nya :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ بِطَانَةًۭ مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًۭا وَدُّوا۟ مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ ٱلْبَغْضَآءُ مِنْ أَفْوَٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِى صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ ١١٨
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu ambil orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi ‘orang dalam’ (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya”
Persoalannya, mengapa umat Islam pada satu ketika dahulu begitu hebat, tetapi kini bertukar menjadi lemah. Seorang ahli fikir Islam, Syaqiq Arsalan, telah mengupas fenomena ini. Menurut beliau, orang Islam kini menjadi mundur, antaranya adalah disebabkan oleh faktor-faktor berikut :
- Kurangnya penghayatan isi kandungan ajaran Islam. Umat Islam tidak lagi mengkaji khazanah dan mutiara-mutiara kehidupan yang terdapat di dalam al-Quran secara sebenar.
- Kebanyakan umat Islam sekarang kurang berkemahiran di dalam penguasaan ilmu pengetahuan.
- Kemerosotan akhlak. Akhlak umat Islam masa kini merosot dan pada tahap yang membimbangkan, seperti tidak amanah, mementingkan diri sendiri, bekerja sambil lewa dan sebagainya.
- Tidak berani membuat perubahan, bahkan lebih selesa mengikut telunjuk dan bergantung kepada pihak asing.
Justeru, insaflah bahawa perjuangan kita hari ini bukanlah dengan hanya sekadar kata-kata atau semangat sahaja. Sama ada umat, mahupun para pemimpin Islam, kita semua perlu bersiap sedia memperkemaskan diri ke arah mempertahankan kehormatan maruah ummah dan kedaulatan negara kita, seterusnya membela negara umat Islam yang lain dengan sehabis mampu yang boleh. Jauhilah dari bertelagah sesama sendiri, kukuhkan perpaduan dan kesatuan ummah dalam kalangan kita.
Ingatlah, tiada sesiapa yang akan mempertahankan umat Islam, sekiranya umat Islam sendiri tidak mempertahankan diri mereka. Namun, berdasarkan situasi kita hari ini, ternyata kita berada dalam keadaan yang lemah untuk mempertahankan diri sendiri. Kerana itulah, Islam menggesa umatnya supaya melengkapkan diri dengan segala bentuk kekuatan, bagi menghadapi sebarang ancaman musuh pada bila-bila masa. Hayatilah firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 60 :
وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ٦٠
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”