Belia Aset Pembangunan Ummah : Pena Hijau

Belia Aset Pembangunan Ummah

20240509 murabbi insani generasi madani guru pendidik pensyarah anak murid pelajar
Murabbi Insani, Generasi Madani
10 May 2024
20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
Ibadat Haji Kewajipan Dalam Islam
30 May 2024
20240509 murabbi insani generasi madani guru pendidik pensyarah anak murid pelajar
Murabbi Insani, Generasi Madani
10 May 2024
20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
Ibadat Haji Kewajipan Dalam Islam
30 May 2024
20240515 hari belia negara pembangunan ummah
icon follow us

Belia Aset Pembangunan Ummah | Al-Quran telah merakamkan kisah bagaimana tingginya keyakinan satu golongan kecil daripada generasi muda yang beriman dengan Allah subhanahu wa ta’ala walaupun diancam oleh pemerintah yang zalim. Mereka adalah Ashabul Kahfi. Ashabul Kahfi merupakan tujuh orang anak muda yang menjadikan masa muda mereka mencari kebenaran dan berjuang menegakkan tauhid. Namun mereka terpaksa bersembunyi dalam gua setelah diburu oleh pemerintah demi menyelamatkan agama dan nyawa mereka. Kisah mereka diabadikan dalam al-Quran, firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Kahfi ayat 13 :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى ١٣

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk”

Di samping itu, golongan pemuda yang bertakwa turut dijanjikan mendapat naungan Arasy Allah pada hari akhirat nanti disebabkan mujahadah dan kesungguhan mereka dalam usia yang kebanyakannya lebih suka mencari keseronokan dan hiburan. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam menyatakan salah satu daripada tujuh golongan yang dinaungi Arasy ialah :

“pemuda yang membesar dalam beribadat kepada Tuhannya”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa keyakinan dan keimanan kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan Rasul-Nya terpahat dalam kalangan anak muda seperti Ali bin Abi Talib, Jaafar bin Abi Talib dan Anas bin Malik. Mereka bukan sahaja di antara sahabat-sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang mula-mula beriman, malah turut diberi kepercayaan sebagai barisan hadapan dalam menjulang panji-panji Islam. Ramai lagi dalam kalangan sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang menyumbang pada kegemilangan Islam seperti Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Usamah bin Zaid dan lain-lain.

Ketokohan para sahabat dalam usia belia dengan berkeyakinan dan berpegang teguh pada keimanan telah membawa kepada kegemilangan Islam. Ini disebabkan didikan yang diberi oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam secara langsung kepada mereka. Peranan terbesar dalam pembentukan belia yang cemerlang ialah pembimbing, rakan dan persekitaran. Jika kita soroti sirah Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, kita dapati bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam sangat mengambil berat hal ehwal para pemuda. Baginda cuba membina persekitaran yang baik serta menekankan aspek pemilihan teman.

Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, percikan apinya akan membakar bajumu atau kamu mendapatkan bau yang busuk”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Belia merupakan aset berharga kepada sesebuah negara yang perlu disuntik nilai tambah, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya modal budayanya. Pembangunan modal insan belia yang baik perlu seimbang antara duniawi dan ukhrawi. Antara asas pembangunan modal insan adalah ilmu dan akhlak. Generasi muda harus tekun menuntut dan mendalami ilmu dan kemahiran daripada pelbagai bidang. Generasi muda juga perlu memahami tanggungjawab mereka dalam memelihara nilai-nilai agama, moral dan etika serta amanah dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan.

Di Malaysia, tarikh 15 Mei setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Belia Negara yang mengiktiraf golongan belia di atas sumbangan dan peranan mereka dalam pembangunan negara. Dengan tema “Yakin Boleh”, Hari Belia Negara 2024 terus memperkasakan peranan belia dalam semua bidang dalam membentuk visi serta masa depan negara.

Setiap anak muda ada potensi yang pasti boleh diserlahkan untuk kebaikkan ummah dan negara. Sebagai pemimpin masa depan, generasi muda perlu memupuk nilai-nilai murni seperti kesederhanaan, kejujuran dan keadilan. Mereka perlu memahami bahawa kejayaan sejati bukan hanya dilihat daripada segi kekayaan material tetapi juga daripada segi kebahagiaan, keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.

Sebagai masyarakat pula, marilah kita bersama-sama mendukung, membimbing dan memberikan peluang kepada generasi muda untuk berkembang dan berjaya. Kita sebagai masyarakat perlu membina persekitaran yang kondusif bagi perkembangan mereka, memberi peluang untuk bersuara serta memberikan sokongan moral dan mental. Sentiasalah mendoakan kebaikan kepada para belia dan rapatkan mereka dengan masjid dan majlis ilmu semoga mereka dapat membina negara dengan lebih baik.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Belia Aset Pembangunan Ummah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more