Murabbi Insani, Generasi Madani : Pena Hijau

Murabbi Insani, Generasi Madani

20230922 nabi muhammad saw
Beruntungnya Menjadi Umat Nabi Muhammad SAW
19 Apr 2024
20240515 hari belia negara pembangunan ummah
Belia Aset Pembangunan Ummah
16 May 2024
20230922 nabi muhammad saw
Beruntungnya Menjadi Umat Nabi Muhammad SAW
19 Apr 2024
20240515 hari belia negara pembangunan ummah
Belia Aset Pembangunan Ummah
16 May 2024
20240509 murabbi insani generasi madani guru pendidik pensyarah anak murid pelajar
icon follow us

Murabbi Insani, Generasi Madani | Tanggal 16 Mei setiap tahun telah ditetapkan sebagai tarikh Sambutan Hari Guru di seluruh negara. Ia bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan guru sebagai murabbi ummah, sekali gus pewaris tugas para rasul. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 151 :

كَمَآ أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًۭا مِّنكُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا۟ تَعْلَمُونَ ١٥١

“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui”

Kerjaya sebagai seorang guru, pendidik atau pensyarah bukanlah mudah kerana golongan ini memikul tanggungjawab besar untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Mereka mempunyai jiwa untuk menyalurkan ilmu kepada anak muridnya yang terdiri daripada pelbagai ragam dan latar belakang. Kasih seorang guru terhadap anak muridnya ibarat kasih ibu bapa kepada anak-anak.

Dalam konteks pendidikan negara kita yang tercinta, Sasterawan Negara Almarhum Dato’ Usman Awang pernah mengungkap bait-bait kalimat melalui sajak beliau yang menyanjung tinggi budi mulia dan khidmat bakti para guru.

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya, mengajar tulis baca

Medan pendidikan semakin teruji dengan perkembangan teknologi yang bersifat dinamik, terutamanya apabila melibatkan media sosial yang sukar dikawal. Implikasi media sosial ini jika tidak diurus dengan bijaksana akan cenderung kepada perbuatan yang negatif dalam kalangan penggunanya. Oleh itu, guru perlu bersedia dan membimbing murid untuk menggunakan teknologi agar seiring dengan nilai akhlak. Guru membentuk jiwa, memugar potensi anak bangsa. Kasih sayang seorang guru, memberi bimbingan secara berterusan kepada murid tidak dapat diganti dengan teknologi.

Sebenarnya, ruang lingkup sistem pendidikan tidak hanya terhad di sekolah sahaja. Namun ia meliputi pelbagai fungsi dan peranan. Sekolah ialah tempat untuk anak-anak menuntut ilmu dan pengalaman yang bermakna, seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, sokongan ibu bapa, penjaga dan masyarakat kepada guru sangatlah diharapkan bagi memastikan hasil pembelajaran tersebut dapat membentuk ke arah anak yang baik lagi cerdik.

Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :

“Muliakanlah anak-anakmu, dan perelokkanlah adab mereka”

(Riwayat Ibnu Majah)

Antara adab yang boleh diterapkan dalam diri anak-anak kita ialah mengajar mereka memberi salam apabila bertemu, menjaga adab semasa bergaul dan membantu orang dalam kesusahan. Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak menghormati guru sebagaimana mereka mengharapkan anak-anak menghormati mereka.

Bagi merealisasikan hasrat kita bersama, sokongan dan dokongan daripada anggota masyarakat terhadap guru menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu bangsa dan tamadun. Jatuh bangun sesebuah tamadun itu berpaksikan kepada nilai ilmu pengetahuan dan adab yang ada pada diri insan. Apabila setiap anggota masyarakat mengambil peduli hal ehwal pendidikan anak-anak, maka perkara yang positif jugalah yang akan terhasil.

Ini bertepatan dengan firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Maidah, ayat 2 :

ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٢

“Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya”

Justeru, bagi menghasilkan pendidikan yang berkualiti tinggi, semua pihak seperti Persatuan Alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB), Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS), institusi masjid, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat perlu menjalinkan kerjasama yang erat dengan institusi pendidikan serta memberikan sokongan yang padu kepada para guru. Seterusnya, mengangkat martabat guru dengan mengamalkan apa yang diajar, memberi kepercayaan yang jitu serta mendoakan kesejahteraan mereka agar keberkatan dan rahmat daripada Allah sentiasa memayungi hidup kita di dunia dan akhirat.

Secara kesimpulannya, kita boleh hayati beberapa pengajaran berikut :

  1. Guru mempunyai peranan yang besar dalam menyampaikan ilmu bagi membentuk murid yang berakhlak mulia, seterusnya menyumbang kepada masyarakat yang bertamadun, beriman dan bertakwa kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
  2. Ibu bapa perlu memastikan kesinambungan ilmu yang diajar di sekolah dipraktikkan di rumah atau di mana sahaja bagi memberi nilai tambah kepada proses pembentukan akhlak dan jiwa anak-anak.
  3. Masyarakat hendaklah bersedia menyokong dan berganding bahu dengan guru bagi mewujudkan murid yang berpengetahuan, berketerampilan, berdikari dan berupaya menjadi pelapis kepimpinan negara.
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Murabbi Insani, Generasi Madani
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more