Beruntungnya Menjadi Umat Nabi Muhammad SAW : Pena Hijau

Beruntungnya Menjadi Umat Nabi Muhammad SAW

20240412 kembara taqwa
Meneruskan Kembara Taqwa
12 Apr 2024
20240509 murabbi insani generasi madani guru pendidik pensyarah anak murid pelajar
Murabbi Insani, Generasi Madani
10 May 2024
20240412 kembara taqwa
Meneruskan Kembara Taqwa
12 Apr 2024
20240509 murabbi insani generasi madani guru pendidik pensyarah anak murid pelajar
Murabbi Insani, Generasi Madani
10 May 2024
20230922 nabi muhammad saw
icon follow us

Beruntungnya Menjadi Umat Nabi Muhammad SAW | Kita sangat beruntung kerana dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda ialah rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah subhanahu wa ta’ala untuk seluruh manusia. Kedudukan baginda sebagai penghulu sekalian para nabi dan rasul menjadikan umatnya turut beruntung kerana mendapat kelebihan berbanding umat-umat sebelumnya.

Allah subhanahu wa ta’ala mengiktiraf kedudukan umat Nabi Muhammd shollallahu ‘alaihi wa sallam sebagai sebaik-baik umat seperti mana dinyatakan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 110 :

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ

“Kamu wahai umat Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman”

Kita sebagai umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam sangat beruntung kerana dianugerahkan keistimewaan yang tidak dikurniakan kepada umat-umat terdahulu. Antara keistimewaan tersebut ialah umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam dikurniakan sebuah kitab suci al-Quran, kandungannya kekal terpelihara sehingga ke hari Kiamat. Perkara ini tidak berlaku kepada umat terdahulu kerana ada dalam kalangan mereka yang telah mengubah kandungan kitab suci mereka.

Oleh kerana al-Quran masih ada sehingga ke hari ini, maka umat Islam terus berada pada jalan yang lurus seperti mana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wa ta’ala. Al-Quran dipelihara oleh Allah subhanahu wa ta’ala sehingga membuatkan umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam terus mendapat rahmat dan petunjuk daripada-Nya.

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam Surah al-Hijr, ayat 9 :

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ ٩

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”

Umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam beruntung kerana dikurniakan pelbagai jenis pahala kebajikan yang berlipat kali ganda. Amalan yang sedikit boleh mendatangkan pahala yang berganda. Ini menggambarkan keluasan rahmat Allah subhanahu wa ta’ala yang mengasihi para hamba-Nya daripada kalangan umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam.

Contohnya malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadan yang kemunculannya berlaku setiap tahun tanpa henti. Pahala beribadah pada malam Lailatul Qadar dinyatakan lebih baik daripada pahala beribadah selama seribu bulan.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari, Lailatul Qadar khusus untuk umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam sahaja dan tidak ada pada umat-umat sebelumnya. Umat terdahulu dikurniakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dengan usia yang panjang untuk mereka beribadah. Manakala umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam dikurniakan dengan kelebihan amalan yang digandakan pahalanya.

Begitu juga ibadah puasa enam hari dalam bulan Syawal yang disunatkan setelah umat Islam selesai menunaikan puasa sebulan Ramadan. Ganjaran pahalanya dikurniakan seperti pahala berpuasa setahun, sebagaimana hadis Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam :

مَنْ صَامَ رَمَضانَ ثُمَّ أَتَبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كانَ كصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti puasa setahun”

(Hadis riwayat Muslim)

Begitulah luasnya rahmat Allah subhanahu wa ta’ala untuk sekalian umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam.

Umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam juga beruntung kerana diberi peluang untuk kembali bertaubat kepada Allah  subhanahu wa ta’ala setelah melakukan dosa. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud :

“Wahai anak Adam, jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian kamu menemui-Ku dengan tidak menyekutukan Aku sedikit pun, maka akan Aku temui kamu dengan sepenuh itu pula keampunan-Ku”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Keampunan yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam menandakan kasih sayang-Nya terhadap umat ini. Bayangkan dosa dilakukan oleh umat terdahulu, mereka ditimpa dengan azab yang cukup mengerikan lantaran menolak agama yang dibawa oleh rasul masing-masing. Azab seksa yang diturunkan ke atas umat-umat terdahulu dirakamkan dalam al-Quran supaya umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam mengambil pengajaran daripadanya.

Umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam turut diberi keistimewaan di akhirat nanti. Antaranya ialah umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam merupakan kalangan manusia yang akan mula-mula dinilai amalan mereka oleh Allah subhanahu wa ta’ala. Ini berdasarkan penjelasan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Kami adalah umat yang terakhir hidup di dunia ini dan yang pertama pada hari kebangkitan akan dinilai amalan sebelum manusia lainnya”

(Hadis riwayat Muslim)

Betapa beruntungnya kita sebagai umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam yang mendapat keistimewaan bukan sahaja ketika berada di dunia, malah berlanjutan sehingga di dalam syurga. Umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam juga diberi keistimewaan apabila menjadi kelompok manusia yang akan mula-mula memasuki syurga dan yang paling ramai menjadi penghuni syurga.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang mafhumnya :

“Ahli syurga terdiri daripada 120 barisan, 80 daripada barisan itu adalah daripada kalangan umat ini (umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam) dan 40 barisan lagi daripada kalangan sekalian umat lain”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sesungguhnya kita amat beruntung menjadi umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam. Oleh itu, sewajarnya kita cinta kasih kepada Baginda dan menuruti setiap ajaran yang dibawa olehnya dan menolak sebarang bentuk fahaman yang bersalahan dengan ajaran Islam. Berpegang teguhlah terhadap ajaran Islam kerana inilah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah subhanahu wa ta’ala. Beruntungnya menjadi umat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam juga perlu disyukuri dengan memperbanyakkan selawat kepada baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam. Semoga kita akan dapat bertemu Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam di dalam syurga nanti, amin ya Rabbal ‘alamin.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Beruntungnya Menjadi Umat Nabi Muhammad SAW
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more