Kelebihan Hari Arafah
14 Jun 2024Menyemai Pengorbanan Dalam Diri
28 Jun 2024Ibrah (Pengajaran) Daripada Ibadah Haji | Setiap jamaah haji yang telah melaksanakan rukun Islam kelima di tanah suci, pastinya akan membawa pulang pelbagai kenangan dan pengajaran daripada ibadat yang memang memerlukan ketabahan diri dan pengorbanan harta. Ia bukan hanya sekadar pertukaran panggilan diri kepada gelaran haji atau hajjah tetapi yang lebih penting, ia membawa perubahan keperibadian dan budaya hidup harian kepada yang lebih soleh dan menjadi ikutan kepada masyarakat sekeliling.
Ibadat haji mengajarkan semua manusia adalah sama di sisi Allah. Semua berpakaian serba putih dan menjalankan ibadat pada waktu yang sekata. Tiada perbezaan ketara antara mereka, namun begitu Allah subhanahu wa ta’ala menjadikan ketaqwaan asas penilaian di sisiNya.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Hujurat ayat 13 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ ١٣
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”
Perkara itu dijelaskan lagi oleh Baginda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam ketika di musim haji yang bermaksud :
“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa tuhan kamu hanyalah satu, bapa asal keturunan kamu juga satu (Adam), tiada kelebihan antara arab dan bukan arab, berkulit merah atau hitam, kecuali dengan sifat taqwa”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Kita dapati kekuatan umat Islam ini terserlah dan menjadi hebat apabila kesatuan dan perpaduan sesama mereka terus menjadi wadah dalam kehidupan dengan dihayati sikap saling bantu membantu dan bekerjasama dalam semua aspek kebaikan.
Sabda Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :
“Perumpamaan orang beriman dalam kasih sayang dan perihatin sesama mereka seperti jasad yang sama, bila satu anggota badan mengadu sakit, semua tubuh akan merasakan perit, berjaga malam dan mengalami demam”
(Hadis Riwayat Muslim)
Ibadat haji mengajar kita menjunjung perintah Allah subhanahu wa ta’ala dengan penuh keimanan, rasa perhambaan dan menundukkan desakan nafsu syahwat.
Justeru, didapati kebanyakan amalan haji (seperti tawaf tujuh pusingan, saie sebanyak tujuh kali, berwukuf di Arafah, bermalam di Mina dan seumpamanya) berdasarkan kepatuhan diri dalam melaksanakanya walaupun tanpa mengetahui tujuan dan hikmahnya.
Kesemuanya ini merupakan penzahiran makna ubudiyah sebenar kepada Allah subhanahu wa ta’ala dalam kehidupan bersyariat agar mencapai matlamat reda Allah subhanahu wa ta’ala.
Sesungguhnya permusuhan antara manusia dengan syaitan adalah tradisi lama semenjak penciptaan Nabi Adam ‘alaihi wa sallam, moyang manusia sehinggalah ke hari kiamat.
Kita diarahkan agar sentiasa menjaga diri, menghindari perangkap syaitan dan tipu dayanya yang akibatnya mungkin membawa kepada penyeksaan api neraka. Itulah antara ibrah melontar tiga jamarat dalam ibadat haji tersebut.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Fathir ayat 6 :
إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ لَكُمْ عَدُوٌّۭ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُوا۟ حِزْبَهُۥ لِيَكُونُوا۟ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ ٦
“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”
Banyak lagi kesan positif dan pengajaran serta ibrah daripada ibadat haji yang difardukan oleh Allah subhanahu wa ta’ala ke atas muslimin yang melaksanakannya. Kesemuanya membawa kepada ketundukan hati dan diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala, melaksanakan pengorbanan diri dan harta kepada jalan Allah subhanahu wa ta’ala dengan ikhlas dan mengharapkan rahmat dan janjiNya memperolehi Syurga yang abadi di Akhirat kelak.