Kelebihan Bulan Zulhijjah : Pena Hijau

Kelebihan Bulan Zulhijjah

20240604 perantau tinggalkan tempat kampung
Untaian Kata Hikmah – Tinggalkan Tempat Asalmu
7 Jun 2024
20240614 hari arafah
Kelebihan Hari Arafah
14 Jun 2024
20240604 perantau tinggalkan tempat kampung
Untaian Kata Hikmah – Tinggalkan Tempat Asalmu
7 Jun 2024
20240614 hari arafah
Kelebihan Hari Arafah
14 Jun 2024
20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
icon follow us

Kelebihan Bulan Zulhijjah | Zulhijjah merupakan bulan kedua belas dalam taqwim Hijrah umat Islam. Ia merupakan bulan penunaian ibadat haji di Tanah Suci Kota Makkah. Kelebihan bulan Zulhijjah itu telah dinyatakan dalam beberapa ayat Al-Quran dan hadith Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam yang menjadikannya sebagai waktu dan masa terpenting untuk kita memperbanyakkan amal soleh kepada Allah subhanahu wa ta’ala, khususnya pada sepuluh hari pertama bulan tersebut.

Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Tidak ada hari-hari (yang lebih utama) di mana amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tersebut lebih dicintai Allah berbanding hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama di bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah jihad di jalan Allah juga sedemikian?” Jawab Rasulullah : “Ya, demikian juga jihad di jalan Allah, kecuali orang tersebut berjihad dengan nyawa dan hartanya, lalu dia tidak kembali dengan membawa sesuatu apa pun (iaitu dia mati syahid dalam medan jihad itu)”.

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Maksud 10 hari pertama bulan Zulhijjah ialah awal bulan Zulhijjah sehinggalah hari-hari tasyriq yang kesemuanya berjumlah 13 hari.
Kelebihan atau fadilat melakukan amal soleh pada sepanjang hari-hari di bulan Zulhijjah tersebut merangkumi kesemua amalan yang dilaksanakan oleh seseorang Islam sama ada ibadat itu umum atau pun secara khusus.

Di antara amalan soleh yang dianjurkan supaya kita semua mengisi awal bulan Zulhijjah itu adalah :

Pertama : Bagi yang mampu (istita’ah) untuk mengerjakan haji fardu, bersegeralah melaksanakannya semasa sihat dan kuat. Ini kerana amalan haji dan umrah mempunyai fadilat yang besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus dosa yang dilakukan di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidaklah ada balasan baginya kecuali Syurga”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kedua : Berpuasa sunat bermula satu sehingga hari kesembilan Zulhijjah yang dikenali dengan hari Arafah.

Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud :

“Puasa di hari ‘Arafah, aku berharap dengannya Allah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang…”

(Riwayat Muslim)

Puasa di hari Arafah adalah bagi mereka yang tidak melaksanakan haji, manakala mereka yang sedang berhaji atau sedang berwuquf di Arafah, maka puasa sunat Arafah ini tidak digalakkan kepada mereka.

Ketiga : Dianjurkan kepada kita supaya memperbanyakkan zikir-zikir yang datang daripada Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam seperti ( لا اله الا الله ), ( الله اكبر ), ( الحمد لله ), ( سبحان الله ) dan selainnya.

Adapun hukum berkaitan takbir raya, para ulama membahagikannya kepada dua situasi iaitu :

  1. Takbir Mutlaq (bebas) : Ia dilakukan bermula pada malam 10 Zulhijjah sehingga imam takbir solat sunat hari raya. Ia disunatkan pada setiap waktu, keadaan dan tempat.
  2. Takbir Muqayyad (terikat) : Yang dilakukan setelah menunaikan setiap solat. Ia bermula selepas solat Subuh pada 9 Zulhijjah sehinggalah selepas solat Asar pada hari Tasyriq ketiga.

Keempat : Pelaksanaan ibadat korban (sembelihan haiwan ternakan) pada hari-hari 10 hingga 13 Zulhijjah.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-Kautsar, ayat 2 :

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢

“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam turut bersabda yang bermaksud :

“Seluruh hari tasyriq adalah hari menyembelih (untuk berkorban)”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan amal soleh pada bulan Zulhijjah.  Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan hamba Allah yang banyak melaksanakan amal soleh dan memperolehi ganjaran pahala daripadaNya serta mendapat kelebihannya.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Kelebihan Bulan Zulhijjah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more