Muallaf Adalah Saudara Kita
7 Nov 2024Musibah Banjir dan Kesabaran Dalam Menghadapinya
29 Nov 2024Wakaf Sebagai Amalan Jariah | Agama Islam menganjurkan semangat bantu membantu dan mengambil cakna terhadap sesama ahli masyarakatnya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Maidah, ayat 2 :
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Maksudnya : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Sifat tolong menolong sudah tentu akan mewujudkan perpaduan sosial yang menguatkan lagi pertalian dan persaudaraan islamiah yang dianjurkan oleh Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Sabda Rasulullah yang bermaksud :
“Seorang yang beriman dengan saudaranya yang lain seumpama satu binaan yang kukuh, saling menguatkan satu sama lain”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Islam menganjurkan umatnya berwakaf sebagai amalan yang memberi pahala berterusan kepada pewakafnya bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Wakaf dalam mafhumnya yang luas merangkumi semua bentuk infaq harta yang memberikan manfaat kepada umat sepanjang masa seperti
mewakafkan tanah untuk masjid dan madrasah, sumbangan kewangan bagi pembinaan keduanya, membina perpustakaan, rumah anak yatim, bantuan kepada orang berkeperluan khas dan seumpamanya.
Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud :
“Tujuh perkara : seseorang akan diberikan ganjaran amalannya secara berterusan selepas kematiannya : ilmu yang diajarkan, sungai yang diairinya, telaga yang digali, pokok yang ditanam, pembinaan masjid, mewakaf mushaf Quran, anak yang mendoakan pengampunan selepas kematiannya”
(Hadis Riwayat Ibn Majah dan alBaihaqi)
Sejarah telah mengabadikan senarai para dermawan seperti Saidina Umar bin Al-Khattab Rodhiallahu ‘Anhu yang telah mewakafkan tanahnya di Khaibar untuk keperluan kaum miskin di Madinah. Saidina Usman bin Affan Rodhiallahu ‘Anhu pula mewakafkan sebuah perigi yang dikenali “Bi’ru Rumah” untuk minuman penduduk Madinah. Masyarakat Madinah juga turut berganding bahu bagi menyumbang pembinaan Masjid Quba dan Masjid Nabawi.
Selain itu, seorang sahabat Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dikenali sebagai Abu Talhah tatkala mendengar ayat al-Quran berkenaan galakan menginfak harta yang paling disayangi, maka beliau segera mewakafkan harta yang paling disayanginya iaitu kebun Bairuha’. Kebun ini yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi telah diwakafkan untuk manfaat umat Islam.
Kata Abu Talhah kepada Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang bermaksud : “Sesungguhnya Tuhan kita meminta untuk kita mengeluarkan infak daripada harta kita, maka aku bersaksikan kamu wahai Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, bahawa aku menjadikan tanah ini milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala (untuk diwakafkan)“.
Demikianlah juga Saidatina Asmaa’ binti Abu Bakar Rodhiallahu ‘Anha yang telah mewakafkan rumahnya untuk maslahat kaum muslimin dan Ummul Mukminin Ummu Habibah Rodhiallahu ‘Anha yang telah mewakafkan sekeping tanahnya buat kegunaan masyarakat Madinah.
Banyak lagi contoh yang dipaparkan dalam sejarah Islam untuk menjadi ikutan kita dalam memberikan sumbangan hartanah, kewangan, idea dan tenaga untuk kemaslahatan masyarakat Islam dan negara kita.
Oleh itu, marilah sama-sama kita teruskan berwakaf demi ganjaran pahala yang bakal dituai di akhirat kelak sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 261 :
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”