
Manfaatkan Cuti Sekolah Dengan Perkara Berfaedah
16 Jan 2025

Solat Menjamin Ketenangan Hidup | Kita masih lagi berada dalam bulan Rejab yang berlaku padanya peristiwa Israk Mi’raj. Sebagaimana dimaklumi bersama, solat telah difardukan sebanyak lima waktu pada malam Mikraj Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sebelum penghijrahan Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam ke kota Madinah.
Ibadat solat adalah penghubung antara hamba dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang merupakan cara terbaik bagi mendapatkan ketenangan hidup, kedamaian dan ketenteraman jiwa.
Kerana itu, solat yang ditunaikan oleh seseorang muslim, hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, khusyuk dan memahami kaedah dan bacaannya, agar kemanisan iman kepada Allah yang tulus dapat dimantapkan dalam diri. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-An’am ayat 82 :
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَـٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ ٨٢
“Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk”
Apabila direnungkan pengajaran daripada ibadah solat sama ada yang wajib ataupun yang sunat, kita akan dapat menyelami pelbagai hikmah Ilahi; antaranya waktu-waktu solat yang berbeza, bilangan rakaat yang berlainan, jenis solat yang berlainan mengikut situasi, seperti solat lima waktu, solat Jumaat, solat musafir, solat mohon hujan, solat ketika peperangan dan sebagainya.
Hikmah di sebalik kesemuanya itu adalah untuk menguatkan hubungan hamba dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam semua keadaan pada setiap waktu, mendekatkan diri dengan nilai-nilai yang luhur, dihiasi dengan akhlak yang mulia sesama insan, dan menjauhkan diri daripada segala keburukan. Dengan erti kata lain, solat dapat membina nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dalam kehidupan.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Ankabut, ayat 45 :
ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ ٤٥
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Qur’an, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”
Orang yang mengerjakan solat dengan khusyuk akan dapat menjiwai sifat sabar, mendidik dirinya dalam menghadapi sebarang kesulitan dan ujian hidup. Dia memandang kehidupan dengan penuh harapan, diserapi rasa kasih sayang dan kemuliaan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 45 :
وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ ٤٥
“Dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali orang yang khusyuk”
Ketika seorang hamba berdiri menunaikan solat, dimulakan dengan ucapan “Allahu Akbar” ; yang merupakan terjemahan kepada pengakuan kebesaran Maha Berkuasa, dirasai keagungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengatasi dirinya dan seluruh alam semesta. Tiada sesuatu pun yang lebih hebat dan agung selain daripada Allah Yang Maha Perkasa.
Dengan mengakui kesempurnaan dan kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala, hati menjadi tenang. Sikap diri juga akan berubah mengakui kehambaan kepada Pencipta yang mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung. Inilah solat yang berupaya memadamkan segala penyakit hati, menghilangkan segala kesedihan dan kebencian, di samping berharap kepada Yang Maha Berkuasa agar diri menjadi hamba yang bertakwa.
Umat Islam diperintahkan untuk menjaga solat lima waktu dengan penuh keimanan kerana ia bakal mensucikan jiwa, membersihkan kekotoran dosa dan menyempurnakan akhlak mereka.
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud :
“Andai kata di depan pintu rumah seseorang di antara kamu ada sebuah sungai dan dia mandi di situ sebanyak lima kali dalam sehari, apakah masih ada kekotoran yang masih tertinggal pada badannya?” Para sahabat menjawab: “Tidak ada kekotoran sedikit pun yang tertinggal pada badannya.” Baginda bersabda: “Demikianlah bandingan solat lima waktu, dengan mengerjakan semua itu Allah akan menghapuskan semua dosa dan kesalahannya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kita sedar bahawa solat merupakan rahmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada para hamba-Nya yang beriman.
Justeru, pelajarilah cara-cara mencapai kesempurnaan solat, agar hati menjadi tenang dan jiwa yang tenteram. Mohonlah daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar dikurniakan masa yang barakah, dapat diisi dengan munajat kepada-Nya, dikurniakan jiwa yang khusyuk dan doa-doa kita dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.