Rahsia Ibadah Dalam Islam : Pena Hijau

Rahsia Ibadah Dalam Islam

20250213 bahaya vape
Vape Memudaratkan Kesihatan Dan Kesejahteraan Hidup
13 Feb 2025
20210410 ramadhan yang mulia
Menuju Ke Gerbang Ramadhan
28 Feb 2025
20250213 bahaya vape
Vape Memudaratkan Kesihatan Dan Kesejahteraan Hidup
13 Feb 2025
20210410 ramadhan yang mulia
Menuju Ke Gerbang Ramadhan
28 Feb 2025
20230908 taubat istiqamah solat
icon follow us

Rahsia Ibadah Dalam Islam | Pengabdian diri kepada Allah, iaitu ibadat merupakan tanggungjawab setiap hamba kepada penciptanya dan ibadat itu adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja.

Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam pernah bertanya kepada Mu’az bin Jabal Rodhiallahu Anhu, maksudnya :

“Wahai Muaz, adakah engkau tahu apa hak Allah yang menjadi kewajipan para hambaNya?” Mu’az Rodhiallahu Anhu berkata, “Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda : “Hak Allah yang diwajibkan ke atas para hambaNya adalah ; mereka menyembahNya sahaja dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apapun.”

(Riwayat al-Bukhari)

Demikianlah juga perutusan utama para Nabi dan Rasul adalah untuk mengajak umat manusia supaya beribadah kepada Allah semata-mata tanpa menyekutukanNya. Allah berfirman dalam Surah Al-Anbiya ayat 25 :

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِىٓ إِلَيْهِ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدُونِ ٢٥

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum engkau (wahai Nabi Muhammad) melainkan Kami wahyukan kepadanya : ‘Bahawa tiada Tuhan selain Aku (Allah), maka sembahlah Aku (Allah)”

Ibadah yang kita laksanakan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah lambang kepatuhan kepada perintahNya dalam memenuhi tanggungjawab kita beribadah kepadaNya, sekalipun kita tidak dimaklumkan tentang rahsia ibadah tersebut. Namun begitu, terkadang hikmat dan rahsia ibadah yang kita lakukan itu terserlah ketika kita melaksanakannya.

Antara hikmatnya : Apabila kita menekuni ibadat solat, ia akan membentuk peribadi agar sentiasa berada dalam reda, keteguhan hati dan ketenangan jiwa. Solat mengajar seseorang itu untuk memberi manfaat kepada orang lain dengan tulus dan ketika diuji dengan kesusahan dia bersabar dan tidak berkeluh kesah.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ma’arij, 19-23 :

إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا ١٩ إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعًۭا ٢٠ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلْخَيْرُ مَنُوعًا ٢١ إِلَّا ٱلْمُصَلِّينَ ٢٢ ٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَآئِمُونَ ٢٣

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya”

Secara umumnya, dengan menjaga solat, seorang individu akan suci daripada perilaku yang dimurkai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, jiwanya bersih daripada sifat-sifat keji dan buruk, malahan peribadinya dihiasi dengan akhlak mulia.

Ibadat zakat yang seringkali digabungkan arahan pengamalannya dengan solat, mempunyai makna yang amat mendalam. Zakat – yang membawa maksud penyucian, kebersihan, pertumbuhan dan peningkatan – dapat menyucikan diri si pemberi zakat daripada penyakit kedekut dan bakhil di samping menggantikannya dengan jiwa yang sanggup berkongsi dan bermurah hati kepada orang lain.

Selain itu, golongan yang tidak mempunyai harta, dapat merasai perkongsian nikmat daripada si kaya yang menjadikan hati mereka berasa gembira, mengikis rasa tidak puas hati dan menerima dengan reda taqdir Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap mereka. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam surah AT-Taubah ayat 103 :

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka”

Dengan demikian, sifat syukur di atas keberkatan akan bertapak dalam sanubari setiap pihak dan kemakmuran hidup akan tercapai serta keburukan akan hilang dari jiwa dan harta mereka.

Ibadah puasa pula membawa natijah ketaqwaan dalam diri setiap yang menunaikannya dengan sempurna mengikut rukun dan syaratnya.
Puasa dapat membentuk sifat pengawasan diri, membangkitkan suara hati, serta melatih seseorang untuk bersabar dan bertahan. Dengan ini, seseorang mampu menghadapi cabaran hidup dengan tabh tanpa mudah menyerah atau goyah apabila berdepan dengan kesukaran dan mehnah yang menimpa. Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud :

“Puasa itu adalah perisai diri”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, puasa juga menyuburkan perasaan kasih sayang dan keprihatinan dalam hati umat ini. Dengan itu, kehidupan masyarakat dipenuhi dengan rasa ketenangan, kedamaian, dan ketenteraman.

Rukun terakhir dalam Islam adalah ibadah haji yang diwajibkan kepada setiap mereka yang mampu daripada segi kewangan dan kesihatan untuk ke tanah suci. Ibadat Haji ini memiliki pelbagai rahsia dan hikmatnya daripada aspek rohani, moral dan sosial.

Ia mendidik umat agar sentiasa memiliki akhlak mulia, termasuklah berbicara dengan perkataan yang baik sahaja. Terserlah dalam ibadah yang kelima ini kebersamaan, rasa kesatuan, kasih mengasih dan saling mengenali antara pelbagai etnik dan bangsa. Tiada perbezaan antara yang kaya dengan miskin, semuanya mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan metod dan amalan yang sama.

Kesimpulannya, marilah kita memantapkan ketaqwaaan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan sebenarnya dan ketahuilah bahawa rahsia di sebalik ibadah adalah untuk membawa diri dan jiwa seseorang ke jalan kebahagiaan hakiki yang diredhai Allah.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Rahsia Ibadah Dalam Islam
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more