
Jauhi Diri Daripada Perbuatan Mujaharah
17 Apr 2025
Berusaha Mendapatkan Husnul Khatimah
8 May 2025

Cabaran Ahzab Moden | Di bulan syawal yang baru sahaja meninggalkan kita, terdapat satu peristiwa besar yang berlaku di zaman Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam pada tahun yang kelima hijrah iaitu peristiwa peperangan Ahzab atau peperangan Khandaq. Walaupun sirah ini berlaku pada zaman Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, namun ia adalah sebahagian daripada petunjuk Allah Subhanahu Wa Ta’ala selepas al-Quran al-Karim yang mesti diteliti dan disuluh oleh umat Islam di sepanjang zaman sehingga berlakunya kiamat.
Di zaman Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, tujuan bala tentera Ahzab adalah untuk menghancurkan Islam dan dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Mereka terdiri daripada gabungan beberapa kabilah arab, kaum yahudi dan musyrikin Mekah serta golongan munafiqin.
Gerakan Ahzab dahulu terus wujud dan diwarisi oleh golongan ahzab moden pada masa kini. Matlamat dan tujuan mereka adalah sama iaitu untuk menghancurkan Islam kerana mereka menganggap Islam ini mengancam hawa nafsu mereka yang rakus untuk menguasai dunia dan ekonomi. Mereka terdiri daripada gerakan zionis Yahudi, Orientalis, kuasa besar barat dan golongan munafiq yang bekerjasama dengan musuh-musuh Islam.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Saff ayat 8 :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَـٰفِرُونَ ٨
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”
Allah Subhanahu Wa Ta’ala memulakan firmanNya dalam ayat ini dengan menyebut lafaz يُرِيدُونَ yang memberi maksud perbuatan yang sedang berlaku dan akan berterusan berlaku, bukan sahaja di zaman Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bahkan sepanjang zaman.
Hari ini kita melihat bala tentera Ahzab Moden; mereka bukan sahaja merancang untuk menghancurkan Islam secara fizikal sebagaimana yang telah berlaku kepada kerajaan Islam Uthmaniah 100 tahun yang lalu, bahkan yang lebih mencabar apabila mereka menyerang umat Islam melalui ideologi dan pemikiran.
Mereka menjadikan media massa sebagai wahana untuk melebarkan dakyah-dakyah jahat dengan mencipta persepsi bahawa agama Islam sebagai agama yang ganas sehingga mencetuskan fenomena islamofobia. Mereka juga menyebarkan fahaman kapitalisme yang berdasarkan materialism dengan meletakkan kebendaan sebagai tuhan, matlamat menghalalkan cara tanpa mengira samaada halal ataupun haram. Dari sudut kemasyarakatan, mereka membawa fahaman kehidupan yang bebas, menghalalkan perkahwinan sejenis dan LGBT, hiburan tanpa had sehingga menjadi matlamat dalam kehidupan. Maka umat Islam yang lemah iman sudah tentu akan terpengaruh dengan ideologi sebegini.
Inilah dia gerakan Ahzab moden yang harus disedari oleh umat Islam. Walaupun perancangan musuh-musuh Islam begitu hebat, namun Islam tetap dipelihara oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Inilah janji Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang akan berlaku di sepanjang zaman. Tentera Ahzab yang tewas di zaman Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam melalui pertolongan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Begitulah juga tentera Ahzab di zaman moden ini pasti akan dihancurkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui doa-doa dan perpaduan dalam kalangan umat Islam. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk terus istiqamah di atas jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, petunjuk Islam yang berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam.