Lakukanlah Amalan Kebaikan Meskipun Kecil : Pena Hijau

Lakukanlah Amalan Kebaikan Meskipun Kecil

20250717 liberalisme
Liberalisme : Fahaman Bebas Tanpa Batasan Agama
17 Jul 2025
20250717 liberalisme
Liberalisme : Fahaman Bebas Tanpa Batasan Agama
17 Jul 2025
20250731 amalan kebaikan
icon follow us

Sebagai seorang hamba yang taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, kita dituntut untuk melakukan amal kebaikan. Sesungguhnya tujuan penciptaan kita di atas dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan menunaikan ibadah kepada-Nya. Setiap perbuatan yang dilakukan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan ikhlas serta mengikut petunjuk Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, maka semuanya dikira sebagai ibadah.

Menjadi kewajipan setiap umat Islam melaksanakan Ibadah yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji bagi yang berkemampuan. Ia perlu dilaksanakan dengan cara terbaik serta ikhlas, meliputi rukun dan syaratnya, agar mendapat ganjaran besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Pada masa yang sama, jangan pula kita meremehkan amalan-amalan yang kelihatan kecil kerana selagimana ia termasuk dalam kategori ibadah, maka kita digalakkan untuk melaksanakannya. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

“Janganlah kamu memandang rendah sedikitpun sesuatu kebaikan, walaupun sekadar kamu bertemu saudaramu dengan wajah penuh ceria”

(Hadis riwayat Muslim, Nom Hadis 2626)

Kita dituntut untuk mempamerkan wajah yang ceria tatkala bertemu dengan saudara sesama Muslim dan bukan Muslim. Inilah satu bentuk tuntutan yang dapat mengeratkan hubungan sesama manusia, serta menyerlahkan keindahan Islam dalam diri setiap Muslim.

Umat Islam juga dituntut untuk menyebarkan salam kepada sesama Muslim. Amalan baik ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan, namun terdapat sesetengah orang yang tidak mengambil peluang untuk menyebarkan salam. Ada juga yang hanya memberi salam kepada orang Islam yang dikenalinya sahaja. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana sesungguhnya amalan memberi dan menjawab salam boleh menyemai rasa kasih sayang sesama umat Islam.

Orang yang menerima salam pula mesti menjawab salam sepertimana dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah an-Nisa’, ayat 86 :

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍۢ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا ٨٦

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan suatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik daripadanya, atau balaslah dia. Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”

Berjabat tangan juga merupakan antara amalan mulia yang sepatutnya dilakukan oleh setiap Muslim. Berjabat tanganlah dengan sesama orang Islam yang sama jantina dan dengan mahram sendiri ketika bertemu. Diriwayatkan bahawa Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam tatkala bertemu dengan para sahabat, maka Baginda terlebih dahulu memberi salam dan menghulurkan tangan untuk bersalaman, kemudian Baginda mendoakan untuknya. Bahkan ketika Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersalaman, Baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang yang bersalaman dengan Baginda terlebih dahulu menarik tangan.

Begitulah mulianya akhlak Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dalam mengamalkan perkara baik meskipun nampak ia seperti perkara yang kecil. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

“Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan kecuali Allah akan memberi keampunan kepada keduanya sebelum mereka berpisah”

(Hadis riwayat Abu Dawud, Nom Hadis 5212)

Oleh itu, ambillah peluang bersalaman dengan sesama Muslim selepas selesai menunaikan solat berjemaah kerana ia menyerlahkan keakraban dan keharmonian dalam kehidupan umat Islam.

Merapat dan meluruskan saf ketika solat berjemaah juga merupakan amalan mulia yang nampak kecil tetapi memberi impak besar dalam kehidupan berjemaah bagi umat Islam. Setiap Muslim perlu mengambil perhatian dalam soal merapatkan saf dan meluruskannya sepertimana dituntut oleh Islam.

Meluruskan saf merupakan antara adab solat berjemaah yang perlu diberi perhatian oleh setiap jemaah. Disunatkan kepada imam untuk mengingatkan jemaahnya agar meluruskan saf sebelum solat berjemaah dimulakan. Begitu juga disunatkan untuk para jemaah yang hadir untuk mengingatkan jemaah lain yang berhampiran dengannya untuk merapat dan meluruskan saf sekiranya ada ruang kosong dalam saf atau saf tidak lurus.

Perbuatan ini sebenarnya sangat penting kerana kesempurnaan saf merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat berjemaah. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

 سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ ‏

“Luruskanlah saf-saf kalian kerana meluruskan saf itu termasuk dalam kesempurnaan solat”

(Hadis riwayat al-Bukhari, Nom Hadis 723)

Kesimpulannya, marilah kita berusaha untuk melakukan perkara-perkara baik yang termasuk dalam amalan ibadah, meskipun ia kelihatan kecil di mata kita. Sesungguhnya perbuatan bermanis muka ketika memandang orang lain, menyebarkan salam kepada sesama Muslim, berjabat tangan dan menyempurnakan saf solat berjemaah merupakan antara perkara yang membolehkan kita mendapat ganjaran pahala di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Semua perkara tersebut adalah amal ibadah yang mampu dilaksanakan oleh setiap Muslim kerana peluang melakukannya terbuka luas setiap hari dalam kehidupan. Semoga dengan peringatan ini, kita akan menjadi Muslim yang sentiasa merebut peluang untuk meraih ganjaran pahala daripada amal kebaikan sama ada yang besar mahupun yang kecil.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Lakukanlah Amalan Kebaikan Meskipun Kecil
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more