Perbuatan Buli Racun Keharmonian : Pena Hijau

Perbuatan Buli Racun Keharmonian

20250731 amalan kebaikan
Lakukanlah Amalan Kebaikan Meskipun Kecil
31 Jul 2025
20250814 ummah solat berjemaah
Mengembalikan Kegemilangan Khaira Ummah
15 Aug 2025
20250731 amalan kebaikan
Lakukanlah Amalan Kebaikan Meskipun Kecil
31 Jul 2025
20250814 ummah solat berjemaah
Mengembalikan Kegemilangan Khaira Ummah
15 Aug 2025
20250730 buli
icon follow us

Statistik buli pelajar sekolah dilaporkan meningkat saban tahun. Fenomena ini sangat membimbangkan jika tiada tindakan sewajarnya  diambil. Jenayah buli juga pernah menggemparkan negara sehingga berakhir dengan kes kematian yang menyayat hati. Walhal, memelihara nyawa merupakan salah satu daripada tuntutan Maqasid Syariah yang lima iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Perbuatan buli dilakukan oleh orang yang melepaskan kehendaknya dengan melakukan perkara-perkara yang boleh membuatkan mangsa buli tertekan dan sengsara. Tidak ada lagi sifat-sifat baik dalam diri pembuli seperti kasih sayang, hormat menghormati, toleransi, simpati dan sebagainya kerana sanggup melakukan tindakan yang merbahaya terhadap orang lain. Pemahaman membuli termasuk mempermain-mainkan orang lain, dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan, memalukan dan seumpamanya. Banyak kesan negatif disebabkan perbuatan membuli orang lain. Perbuatan buli boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di sekolah, asrama, malah juga di tempat kerja. Perbuatan buli hanya menampakkan kelemahan mangsa buli dan menyerlahkan kerakusan tindakan si pembuli yang tidak mempunyai hati dan perasaan.

Orang yang beriman tidak akan sesekali terlibat dengan perbuatan buli kerana golongan beriman kepada Allah akan disayangi orang ramai dan mereka juga menyayangi orang lain. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam surah Maryam, ayat 96 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وُدًّۭا ٩٦

“Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang akan melimpahkan rahmat-Nya bagi mereka dengan perasaan kasih sayang”

Sering kali perbuatan buli dilaporkan berlaku di institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti. Ini bermakna generasi muda sering dikaitkan dengan perbuatan buli. Sepatutnya mereka didedahkan dengan nilai-nilai murni disebabkan keadaan mereka yang hampir dengan ilmu. Mereka sedang dalam proses menimba ilmu dan sepatutnya budaya buli tidak berlaku dalam kalangan mereka.

Dalam hal ini peranan golongan dewasa termasuk ibu bapa, guru dan pensyarah perlu digembleng agar generasi muda di negara ini terpelihara daripada sebarang bentuk anasir buruk. Masyarakat juga perlu berperanan dalam menangani penularan budaya buli orang lain terutama melibatkan anak-anak muda. Mereka perlu bimbingan dan pengawasan berterusan daripada orang yang lebih berpengalaman.

Golongan muda juga perlu sentiasa diingatkan dengan nasihat-nasihat yang baik dari semasa ke semasa. Mereka perlu diingatkan tentang keperluan berbuat baik dan mengasihi orang lain kerana ia menjadi sebab mereka akan sentiasa disayangi dan dihormati orang lain. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ

“Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi”

( Hadis riwayat al-Bukhari (5997) dan Muslim (2318) )

Sebenarnya perbuatan membuli tidak hanya berlaku di sekolah atau universiti melibatkan golongan muda sahaja. Perkara yang sama juga boleh terjadi dalam kalangan orang dewasa di tempat kerja. Ada dalam kalangan manusia yang tergamak membuli rakan sekerja sendiri. Bebanan tugas diberikan tanpa belas ihsan sehingga melampaui kemampuan diri orang yang melaksanakannya. Inilah antara punca berlakunya tekanan perasaan di tempat kerja.

Begitu juga sekarang ada istilah “buli siber”. Istilah ini merujuk kepada penggunaan teknologi digital untuk mengganggu, menakut-nakutkan, memberi ancaman, menjadi bahan jenaka secara terbuka, menceroboh maklumat peribadi, dan merosakkan nama baik seseorang.  Ini boleh berlaku melalui pelbagai cara melibatkan media sosial, telefon, dan internet. Kesan buli siber bukan perkara kecil kerana ia boleh menyebabkan tekanan perasaan sehingga boleh mendorong mangsa buli membunuh diri.

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada perbuatan buli kerana ia racun yang merosakkan kehidupan harmoni
sesama insan. Sentiasalah cakna terhadap keadaan orang lain yang mungkin menjadi mangsa buli, lindungi mereka dan keluarkanlah mereka daripada terus menjadi mangsa buli. Katakan tidak kepada perbuatan membuli orang lain kerana ia boleh memudaratkan mangsa buli sehingga boleh menyebabkan diri berasa tertekan, dan mungkin boleh menyebabkan kematian. Semoga kita semua dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemudaratan.

#justiceforzara #justiceforfaris

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Perbuatan Buli Racun Keharmonian
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more