
Amalan Wakaf Fi Sabilillah
23 Oct 2025
Dalam dunia hari ini, jenayah kewangan atau scam menjadi ancaman yang kian membimbangkan. Jenayah ini tidak mengenal siapa pun sebagai mangsa. Oleh itu, kewaspadaan dan penilaian yang bijaksana amatlah penting.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 36 :
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا ٣٦
“Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan”
Ayat ini mengajak kita untuk berhati-hati, bijaksana, bertanggungjawab dalam menerima dan menyebarkan informasi, serta memastikan kebenarannya untuk menghindari mudarat bagi diri sendiri dan orang lain.
Keinginan untuk cepat kaya sering kali mengaburi kewarasan kita. Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), negara telah mencatatkan lebih 35,000 kes penipuan yang melibatkan jenayah kewangan pada tahun 2024 dan mengakibatkan kerugian sehingga RM1.6 billion. Hal ini sangat membimbangkan terutama dengan peningkatan jumlah kes dan kerugian terus meningkat dari tahun ke tahun.
Pada zaman yang serba moden ini, kemajuan teknologi digital dilihat banyak memberikan manfaat jika digunakan dengan baik dan betul, tetapi ia juga membuka ruang kepada jenayah penipuan siber yang dijalankan oleh scammer. Mereka menggunakan teknologi canggih seperti Artificial Intelligence (AI) untuk menyamar sebagai pihak berkuasa atau individu berpengaruh termasuk tokoh ilmuan dan agama, bertujuan menipu mangsa agar percaya dan akhirnya terjerumus sehingga sanggup memberikan maklumat peribadi dan data perbankan secara sedar atau tanpa sedar.
Modus operandi ini sering berubah-ubah bagi tujuan mengelak daripada dihidu oleh pihak penguatkuasa undang-undang. Faktor masyarakat yang terdesak atau ingin mencari pendapatan lebih juga menjadikan mereka sasaran penjenayah siber ini.
Untuk ingatan bersama, kita perlu mengambil langkah berikut sebagai pedoman dalam kehidupan seharian :
Pertama : Teladani sifat fatanah Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam.
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bukan sahaja cerdas dalam ilmu, tetapi juga bijak dalam bertindak, berhati-hati dalam menerima maklumat dan tidak mudah diperdaya. Baginda mengajarkan kita untuk tidak terburu-buru dalam membuat keputusan, lebih-lebih lagi dalam situasi yang boleh memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain. Janganlah kita mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak terlalu baik untuk menjadi kenyataan. Sebaliknya, kita harus memastikan kesahihan setiap maklumat sebelum bertindak.
Kedua : Sentiasa bertindak secara rasional
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
“Sifat berhati-hati itu daripada Allah, dan sifat gopoh itu daripada syaitan”
(Hadis Riwayat al-Baihaqi, No 6766)
Hadis ini mengingatkan kita tentang pentingnya bersabar dan berfikir dengan teliti sebelum melakukan sebarang tindakan. Scammer masa kini menggunakan pelbagai medium seperti panggilan telefon, emel, promosi di laman media sosial dan aplikasi perbankan untuk mengelirukan mangsa. Keadaan ini sering menyebabkan mangsa cepat panik dan takut, membuatkan kita mudah terpedaya dan menyerahkan maklumat perbankan atau memindahkan wang tanpa berfikir panjang.
Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan diri kita dari membuat keputusan secara tergesa-gesa, terutamanya jika melibatkan maklumat perbankan peribadi atau pemindahan wang. Bagi pengguna telefon pintar, elakkan menekan sebarang pautan yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali atau memuat turun aplikasi yang meragukan.
Ketiga : Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran
Dalam konteks kehidupan kita di era digital ini, nasihat sangatlah penting, lebih-lebih lagi dengan adanya ancaman penipuan siber yang semakin berleluasa. Sebagai anggota komuniti, kita mempunyai tanggungjawab untuk saling mengingatkan dan melindungi antara satu sama lain daripada bahaya penipuan siber. Anak-anak juga perlu aktif memberikan bimbingan dan penjelasan yang jelas agar dapat membantu orang tua kita mengelakkan diri daripada terjebak dalam situasi yang merugikan.
Bagi membantu orang awam yang menjadi mangsa penipuan kewangan, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 yang beroperasi dari jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam berfungsi sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.
Sebagai penutup, marilah kita sentiasa memohon kepada Allah agar diberi perlindungan daripada segala tipu daya dunia, diberikan kekuatan untuk menolak godaan untuk cepat kaya dengan jalan yang salah dan tidak diberkati, serta diberikan petunjuk untuk selalu berhati-hati dan bersifat amanah dalam setiap tindakan kita.
Janganlah juga kita terlibat dengan aktiviti scammer sama ada sebagai promoter, keldai akaun dan sebagainya. Ini kerana pekerjaan sedemikian tidak berkat dan memberi mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya.





