
Tekanan Hidup Kekeluargaan Dan Penyelesaiannya
6 Nov 2025
Ihsan merupakan satu perkara penting dalam Islam yang berkaitan dengan kualiti atau tindakan yang baik, terpuji, dan sempurna. Dengan kata mudah, ihsan membawa pengertian kebaikan, keindahan, ketertiban dan juga kesempurnaan. Ihsan juga tidak boleh dipisahkan dengan Iman dan Islam kerana ketiga-tiga perkara ini adalah dasar bagi agama Islam.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala memerintahkan kita supaya berlaku adil dan ihsan menerusi firmanNya dalam Surah an-Nahl, ayat 90 :
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَـٰنِ
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan”
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam pula menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala memerintahkan manusia agar berbuat ihsan dalam semua perkara. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam :
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ
“Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam semua perkara”
(Hadis riwayat Muslim, Nom 1955)
Ihsan terbahagi kepada dua perkara, iaitu :
Pertama : Ihsan melibatkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Setiap umat Islam mesti melaksanakan ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan keyakinan bahawa Allah pasti melihat setiap perlakuan hamba-Nya termasuk dalam pelaksanaan ibadah. Maksudnya seseorang Muslim perlu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan berusaha memastikan kualiti ibadahnya menepati ketetapan syarak.
Kedua: Ihsan melibatkan hubungan dengan sesama makhluk. Ini merujuk kepada perintah berbuat baik kepada sesama manusia dan makhluk lain. Setiap Muslim perlu berusaha mencurahkan segala manfaat dan kebaikan kepada semua makhluk Allah, tidak sesekali menzaliminya ataupun memudaratkannya.
Untuk menjadi hamba Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang memiliki sifat ihsan atau digelar sebagai “muhsin“, kita mestilah melaksanakan setiap ibadah dengan penuh kesungguhan. Perhatikanlah amal ibadah yang dilakukan seharian seperti solat fardu. Adakah kita telah menunaikan solat dengan penuh ihsan? Menunaikan solat dengan tertib, pada awal waktu, serta secara berjemaah merupakan antara perbuatan orang yang memiliki sifat ihsan dalam ibadah. Orang yang memiliki sifat ihsan juga sentiasa berusaha meningkatkan kualiti
ibadahnya. Justeru, umat Islam diseru agar terus menambah ilmu pengetahuan berkaitan pelaksanaan amal ibadah supaya sentiasa memperoleh rahmat Ilahi.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 56 :
إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ
“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang berbuat baik”
Ihsan kepada sesama manusia dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada banyak firman-Nya dalam al-Quran. Antaranya kewajipan berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa. Berbuat ihsanlah kepada kedua ibu bapa dengan melakukan kebaikan untuk keduanya. Sayangilah mereka, ikuti nasihatnya dan bertuturlah dengan perkataan yang baik dan sopan. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu bapa, doakanlah keampunan buat mereka di alam sana. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 23 :
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa”
Bersifat ihsan sesama manusia juga melibatkan hubungan baik dengan sesama sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, umat Islam seluruhnya serta kalangan bukan Islam. Orang yang memiliki sifat ihsan tidak akan tergamak untuk menzalimi orang lain, apatah lagi sesama umat Islam.
Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ
“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslimnya yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak mendedahkannya kepada kebinasaan”
(Hadis riwayat al-Bukhari, Nom 2442)
Kita juga diwajibkan berbuat ihsan kepada semua makhluk termasuk haiwan dengan tidak menzaliminya. Lihatlah bagaimana Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam menjelaskan perihal seorang perempuan yang tidak berlaku ihsan terhadap kucing.
Sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam :
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
“Seorang perempuan diazab kerana seekor kucing yang dia kurung sehingga mati kelaparan, maka dia masuk neraka kerananya”
(Hadis riwayat al-Bukhari, Nom 2365)
Begitu juga kewajipan berbuat ihsan terhadap alam sekitar. Kita diwajibkan menjaga kelestarian alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang bentuk pencemaran. Alam sekitar mestilah dipelihara, jangan cemari alam sekitar dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab sehingga memudaratkan orang lain.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :
“ اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ ” . قَالُوا وَمَا اللَّعَّانَانِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ” الَّذِي يَتَخَلَّى فِي طَرِيقِ النَّاسِ أَوْ فِي ظِلِّهِمْ ”
“Takutlah kamu sekalian akan dua orang yang terlaknat” Para sahabat bertanya : “Siapakah dua orang yang terlaknat itu, wahai Rasulullah?” Sabda Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam : “Orang yang buang air di tengah jalan manusia atau di bawah tempat berteduh mereka”
(Hadis riwayat Muslim, Nom 269)
Kesimpulannya, marilah kita berusaha untuk melakukan perkara ketaatan dengan ihsan. Tunaikanlah amal ibadah dengan bersungguh-sungguh, menepati rukun dan syaratnya serta dilakukan dengan tertib berdasarkan ilmu. Ihsan terhadap sekalian makhluk juga merupakan satu tuntutan yang perlu diberi perhatian, agar kita tergolong dalam kalangan “al-muhsinin” iaitu orang yang sentiasa memperbaiki amalannya dan melakukan kebaikan untuk mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.





