
Muhasabah Akhir Tahun, Antara Kejayaan Atau Kegagalan
26 Dec 2025
2025 baru sahaja melabuhkan tirainya, kini tahun 2026 hadir untuk kita menginsafi diri sebagai hamba Allah yang sejati. Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, siapakah kita? Apakah tanggungjawab kita? Dan ke mana hala tuju hidup kita?
Seringkali kita mengejar habuan, kedudukan dan ganjaran dunia, tetapi kita lupa tentang hakikat penciptaan kita. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah azZariyat, ayat 56 :
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ٥٦
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku”
Ayat ini adalah satu perisytiharan Allah bahawa kita dicipta sebagai “hambaNya”. Ketahuilah, darjat hamba Allah ini bukan suatu kehinaan, tetapi kemuliaan yang tertinggi. Manusia tidak akan mencapai kemuliaan sebenar melainkan apabila dia menjadi hamba Allah yang tunduk hanya kepada Allah dan bukan kepada hawa nafsu, manusia, mahupun dunia.
Kehambaan yang sebenar ialah tunduk sepenuhnya meliputi hati, akal dan seluruh anggota seseorang manusia kepada Allah, dengan rasa gerun terhadap keagungan-Nya dan berharap kepada rahmat-Nya. Ini sesuai dengan roh ibadah iaitu : “Cinta yang sempurna berserta kerendahan diri sepenuhnya”.
Ibadah dalam Islam bukan terbatas kepada solat, puasa, zakat dan haji, tetapi ianya merangkumi seluruh aspek kehidupan atas nama ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Justeru, mencari rezeki, bekerja, belajar hatta bersukan dan lain-lain lagi, semuanya adalah ibadah.
Firman Allah dalam Surah al-An’am, ayat 162 :
قُلْ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ١٦٢
“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam”
Kepada Majikan dan Pekerja : Laksanakan tugas dengan tekun, integriti dan jujur untuk mencari rezeki halal, serta menjaga kualiti dan tidak menzalimi orang lain, itu adalah ibadah yang mulia.
Kepada Para Peniaga dan Pengusaha : Berjual belilah dengan jujur, elakkan riba, dan tunaikan zakat, itu adalah ibadah yang penuh berkat.
Kepada Para Ibu Bapa dan Pendidik : Didiklah anak dengan kasih sayang dan nilai-nilai tauhid. Bimbinglah generasi muda agar mengenal Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Rasul Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam, patuh kepada agama dan berbakti kepada masyarakat, itu adalah ibadah yang berpanjangan dan pahala jariah yang berterusan.
Kepada anak muda : Timbalah ilmu berteraskan iman dan tingkatkanlah kepakaran. Tanpa ilmu dan iman, kita jadi hamba kejahilan dan mudah diperkuda syaitan. Justeru, teruskan belajar tanpa mengabaikan kewajipan Allah yang lain. Mudah-mudahan dengan kesungguhan dan keikhlasan, kita tergolong dalam kalangan pemuda yang mendapat teduhan Allah di mahsyar nanti; “pemuda yang membesar dalam beribadah kepada Allah”.
Marilah kita meneliti diri :
- Adakah solat kita melahirkan rasa malu untuk tidak berbuat dosa ketika di luar solat?
- Adakah puasa kita menjadi perisai daripada maksiat dan membantu kita mengawal gejolak hawa nafsu?
- Apakah zakat yang kita keluarkan, telah membebaskan kita daripada menjadi hamba harta dan sikap bakhil?
- Adakah haji yang kita tunaikan, menjadikan kita sentiasa menyahut setiap lambaian Allah dan Allah menjadi paksi segala aktiviti kehidupan kita?
- Adakah kita sudah menjadikan hidup kita tunduk sepenuhnya kepada Allah?
- Adakah cinta kita kepada Allah benar-benar diterjemahkan dengan kepatuhan kita dalam mengurus diri, keluarga dan harta?
Ayuh, sedarlah daripada kelalaian. Jangan biarkan dunia dan nafsu memperhambakan kita. Kembalilah menjadi hamba Allah yang sejati. Jadikanlah setiap detik kehidupan kita sebagai ibadah kepada-Nya. Marilah kita berusaha menjadi hamba Allah yang sejati dengan memperelokkan setiap amalan kita serta mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala.





