Ibadah Menjana Ketakwaan Di Bulan Ramadhan : Pena Hijau

Ibadah Menjana Ketakwaan Di Bulan Ramadhan

20250814 ummah solat berjemaah
Menjadi Hamba Allah Yang Sejati
2 Jan 2026
20250814 ummah solat berjemaah
Menjadi Hamba Allah Yang Sejati
2 Jan 2026
20210410 ramadhan yang mulia
icon follow us

Pertamanya, marilah kita mengucapkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas nikmat yang melimpah ruah, dipanjangkan umur serta kesihatan,  sehingga kita dapat berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah pada tahun ini. Menemui Ramadhan adalah satu anugerah yang amat bermakna, meningkatkan amal ibadah di dalamnya adalah satu peluang yang mesti disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Inilah salah satu peluang untuk kita semua menyucikan jiwa daripada kekotoran maksiat di samping sentiasa memohon keampunan-Nya. Jangan kita alpa daripada matlamat utama bulan Ramadhan iaitu untuk meraih ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Salah satu amalan utama di bulan Ramadhan bagi mencapai darjat takwa ialah puasa. Puasa merupakan satu proses penyucian jiwa (tazkiyatun nafs) bagi orang yang berpuasa. Kewajipan ini dinyatakan dengan jelas dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

Takwa merupakan satu darjat kemuliaan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mencakupi kesedaran hati untuk sentiasa melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menjauhi segala larangan-Nya.

Menurut Saidina Ali Rodhiallahu ‘anhu, takwa mencakupi empat sifat iaitu :

Pertama : الخوف من الجليل (Al-Khaufu minal-Jalil)

Berasa takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mempunyai sifat keagungan. Seseorang yang jelas keimanannya pasti akan sentiasa berasa takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di sebalik apa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepadanya. Seseorang yang benar-benar takut kepada Allah akan  menggunakan setiap nikmat yang ada untuk mentaati perintah Allah sepenuhnya. Semakin takut seseorang hamba kepada Allah maka semakin bertambah amal solehnya dan semakin menjaga dirinya daripada perlakuan dosa.

Kedua : العمل بالتنزيل (Al-‘Amalu bi At-Tanzil)

Beramal dengan apa yang diwahyukan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Seseorang perlu mencuba sehabis baik bagi menunaikan amal ibadah, sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi Al-Quran ataupun As-Sunnah.

Ketiga : القناعة او الرضى بالقليل (Al-Qona’atu awir-Ridha bil-Qalil)

Berasa cukup dan redha dengan pemberian Allah Subhanahu Wa Ta’ala meskipun ia sedikit. Orang mukmin akan sentiasa bersangka baik kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak akan mengeluh walaupun mendapati nikmat yang sedikit.

Keempat : الاستعداد ليوم الرحيل (Al-Isti`dadu li Yaumir-Rahil)

Sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi hari kematian dengan membawa bekalan sebanyak-banyaknya sebelum dijemput pulang menghadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini juga, kita berpeluang meraih pahala dan meningkatkan ketakwaan melalui amalan Solat Sunat Tarawih yang hanya terdapat di bulan Ramadhan. Ianya menjadi pelengkap kepada kesucian puasa bagi setiap mukmin.

Melengkapkan lagi amalan bagi meraih takwa di bulan yang mulia ini ialah dengan amalan bersahur. Amalan bersahur merupakan sunnah Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang amat dituntut bagi memberikan kekuatan fizikal dan keberkatan rohani sepanjang kita menjalani ibadah puasa. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud :

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

“Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada keberkatan”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari, Nom hadis 1923)

Terdapat beberapa lagi amalan yang sepatutnya kita lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh di bulan yang mulia ini bagi meraih nilai takwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, antaranya dengan melazimi amalan tadarus Al-Quran, memperbanyakkan amalan bersedekah dan memberi makan orang berbuka serta beriktikaf di masjid.

Di samping itu, jagalah lidah kita daripada kata-kata yang tidak baik, mengumpat, mengeji orang lain serta kawallah peribadi kita daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan pahala amalan puasa kita.

Kesimpulannya, beberapa saranan penting supaya kita dapat memaksimumkan manfaat di bulan yang mulia ini ;

  1. Sentiasa menjaga kesihatan fizikal. Pastikan pengambilan air mencukupi semasa sahur dan berbuka serta amalkan pemakanan seimbang agar tubuh kekal cergas melaksanakan ibadah sepanjang hari.
  2. Bijak mengurus masa. Rancang jadual harian kita dengan bijak supaya tanggungjawab kerjaya tidak terabai sambil memastikan ada ruang khusus untuk kita melaksanakan tadarus Al-Quran, solat Tarawih dan lain-lain amalan mulia.
  3. Memelihara adab beribadah. Sentiasa menjaga ketenteraman di masjid serta memelihara lisan daripada perkara sia-sia agar kualiti puasa dan ketakwaan diri meningkat dengan sempurna.

Mudah-mudahan bulan Ramadhan yang kita sedang lalui ini akan menjadikan kita insan yang bertakwa sepenuhnya kepada Allah.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊

Comments are closed.

Ibadah Menjana Ketakwaan Di Bulan Ramadhan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more