Galakan Berinfaq Dalam Bulan Ramadhan : Pena Hijau

Galakan Berinfaq Dalam Bulan Ramadhan

20210410 ramadhan yang mulia
Ibadah Menjana Ketakwaan Di Bulan Ramadhan
19 Feb 2026
20210410 ramadhan yang mulia
Ibadah Menjana Ketakwaan Di Bulan Ramadhan
19 Feb 2026
20231208 zakat
icon follow us

Galakan Berinfaq Dalam Bulan Ramadhan | Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan ia merupakan bulan melatih jiwa untuk memiliki sifat pemurah, belas kasihan dan prihatin terhadap kesusahan orang lain. Infaq memiliki maksud yang luas merangkumi zakat wajib dan sedekah sunat. Oleh itu, infaq dalam Islam merangkumi pemberian harta, makanan, tenaga, masa dan apa sahaja kebaikan yang dilakukan dengan niat kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Anjuran agar umat Islam menginfaqkan harta ke jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dijelaskan dalam Surah at-Taghabun, ayat 16 :

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًۭا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ ١٦

“Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (dijalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya”

Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam menunjukkan contoh terbaik berinfaq dalam bulan Ramadhan. Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sememangnya dikenali sebagai seorang yang dermawan dan sifat terpuji ini lebih menyerlah pada bulan Ramadhan. Baginda  Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sentiasa mendahulukan keperluan orang lain, memberi makan kepada orang yang berpuasa, membantu fakir miskin dan menyantuni golongan yang memerlukan.

Usaha memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka merupakan amalan yang sangat terpuji. Islam menggalakkan umatnya agar menyantuni sesama orang Islam dengan menghulurkan infaq serta bantuan untuk berbuka puasa. Amalan baik ini mencerminkan kekuatan hubungan ukhuwah sesama umat Islam yang bertolong bantu dalam urusan ibadah.

Ganjaran besar menanti orang yang menginfaqkan hartanya untuk tujuan memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa khususnya pada bulan Ramadhan. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi : 807)

Bulan Ramadhan ini juga tidak boleh dibiarkan berlalu pergi tanpa usaha menggandakan amalan berinfaq dan bersedekah. Umat Islam sewajarnya merebut peluang untuk berinfaq lebih-lebih lagi melibatkan keperluan agama seperti bertujuan pembinaan dan pengurusan masjid, mengurus golongan anak yatim, pembangunan institusi tahfiz dan madrasah dan sebagainya.

Hulurkanlah juga bantuan dengan berinfaq ke dalam tabung-tabung yang disediakan dalam masjid agar aktiviti masjid dapat diteruskan bagi mengimarahkan rumah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sesungguhnya ganjaran besar bagi orang yang bersedekah sepertimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah al-Hadid, ayat 18 :

إِنَّ ٱلْمُصَّدِّقِينَ وَٱلْمُصَّدِّقَـٰتِ وَأَقْرَضُوا۟ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا يُضَـٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌۭ كَرِيمٌۭ ١٨

“Sesungguhnya orang lelaki dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, akan digandakan balasannya, dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia”

Zakat yang diwajibkan ke atas setiap Muslim dalam bulan Ramadhan ini ialah zakat fitrah. Ketahuilah, salah satu pengajaran penting dalam bulan Ramadhan ialah menyemai dalam jiwa kita rasa insaf dan kasih sayang terhadap nasib golongan fakir miskin, golongan yang ditimpa kesusahan serta prihatin terhadap kesengsaraan mereka. Ini dilakukan dengan mengeluarkan zakat fitrah dengan syarat-syarat tertentu.

Selain zakat fitrah, terdapat zakat harta yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memiliki harta dan kekayaan. Ini termasuklah zakat emas dan perak, wang simpanan, barangan perniagaan, binatang ternakan, hasil pertanian, zakat pendapatan dan saham, zakat galian yang  kesemuanya dikategorikan oleh para ulama sebagai zakat harta.

Dalam konteks urusan zakat, marilah kita bersegeralah menunaikan ibadah zakat melalui saluran yang sah.

Negeri Portal / Pautan Pembayaran
Johor https://epayment.maij.gov.my
Kedah https://jom.zakatkedah.com.my
Kelantan https://www.e-maik.my
Melaka https://www.izakat.com/ui.php
Negeri Sembilan https://mains.gov.my/online/utama.php
Pahang https://ezakat.muip.gov.my
Perak https://ezakat.maiamp.gov.my
Perlis https://www.maips.gov.my
Pulau Pinang https://zakatpenang2u.com
Sabah https://appszakat.sabah.gov.my
Sarawak https://pelanggan.tbs.org.my
Selangor https://fpx.zakatselangor.com.my
Terengganu https://ezakat.maidam.gov.my
Wilayah Persekutuan (KL, Putrajaya, Labuan) https://www.zakat.com.my

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengambil peluang dalam bulan Ramadhan ini untuk berinfaq dan bersedekah serta menggandakan usaha murni ini. Selain mengeluarkan sebahagian harta untuk menjamu orang berbuka puasa dan bersedekah, jangan kita lupa tanggungjawab sebagai umat Islam untuk menunaikan ibadat zakat. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang meyakini bahawa amalan berinfaq, bersedekah dan berzakat dapat menggandakan pahala kita untuk kebahagiaan hidup yang abadi di akhirat nanti.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊

Comments are closed.

Galakan Berinfaq Dalam Bulan Ramadhan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more