Beramal Dengan Sunnah Tanda Ketaatan Dan Kepatuhan : Pena Hijau

Beramal Dengan Sunnah Tanda Ketaatan Dan Kepatuhan

20230922 nabi muhammad saw
Cinta Kepada Nabi SAW Asas Kecintaan Kepada Allah SWT
30 Sep 2023
20230922 nabi muhammad saw
Mahabbah Kepada Rasulullah SAW
13 Oct 2023
20230922 nabi muhammad saw
Cinta Kepada Nabi SAW Asas Kecintaan Kepada Allah SWT
30 Sep 2023
20230922 nabi muhammad saw
Mahabbah Kepada Rasulullah SAW
13 Oct 2023
20230922 nabi muhammad saw
icon follow us

Beramal Dengan Sunnah Tanda Ketaatan Dan Kepatuhan | Saban tahun bulan Rabi’ul Awal merupakan bulan untuk kita lebih memperingati peristiwa keputeraan Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam, insan teragung, kekasih Allah yang membawa rahmat ke sekalian alam. Dalam kita memperingati peristiwa ini, janganlah lupa bahawa kita juga mempunyai kewajipan dalam menzahirkan ketaatan kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam, sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Ali-Imran, ayat 31 :

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٣١

Katakanlah : “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Cinta yang hakiki terbina dengan mencintai Allah dan Rasul. Ayat ini menjelaskan bagaimana mendapatkan cinta Allah iaitu dengan mentaati perintah-Nya dan mengikuti sunnah Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam. Kecintaan kepada Allah subhanahu wa ta’ala seharusnya dizahirkan dengan mengikuti segala perintah dan sunnah Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam. Bukti utama tanda kita beriman adalah dengan اِتِّبَاع (ittiba’) yakni mengikuti jejak langkah dan perintah Nabi secara menyeluruh dan tidak memilih-milih apa yang disukai dan mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Allah subhanahu wa ta’ala telah merakamkan dalam surah al-Nisa’ ayat 80 :

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًۭا ٨٠

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).

Kita tidak dikira beriman sekadar mengaku mentaati perintah Allah namun enggan ittiba’ dengan ajaran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Sebagai contoh, kita diwajibkan untuk mendirikan solat lima waktu berdasarkan perintah Allah dalam al-Quran. Namun perincian dan tatacara melaksanakan ibadat solat hanya ditunjukkan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam berdasarkan hadis baginda. Begitu juga dengan ibadat dan semua cara hidup yang lain diperinci dan ditunjukkan dengan ketauladanan Nabi yang diriwayatkan melalui sunnah Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam.

Apakah makna sunnah yang sebenar? Secara umumnya sunnah merupakan perkara yang disandarkan kepada Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam daripada perkataan, perbuatan dan taqrir (perakuan) baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam. Terdapat sebahagian daripada kita yang hanya memahami sunnah pada aspek hukum tertentu sahaja, sehingga gagal menghayati sunnah sebagai panduan utama dalam kehidupan.

Antara tiga perkara bagaimana untuk kita menghayati Sunnah dalam kehidupan adalah :

Pertama : Sunnah sebagai cerminan akhlak yang mulia. 

Ketauladanan Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dilihat pada akhlak Baginda yang memberi cerminan kepada ketinggian akhlak Islam. Perilaku Baginda juga memberi jawapan kepada persoalan akhlak dan moral yang berlaku dalam masyarakat, justeru ia perlu diamalkan dalam kehidupan. Firman Allah dalam surah al-Qalam ayat 4 :

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍۢ ٤

Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Nabi) mempunyai akhlak yang amat mulia.

Antara kemuliaan akhlak Baginda ialah sifat merendah diri. Baginda sentiasa memberikan kesempatan kepada sesiapa sahaja yang ingin berjumpa dengan Baginda tanpa mengira latar belakang, status dan kedudukan. Sesungguhnya sifat kerendahan diri baginda tidak pernah merendahkan kedudukannya. Bahkan sifat dan akhlak budi pekerti mulia baginda sentiasa mengangkat dan memartabat baginda sebagai ikon dan idola sepanjang zaman.

Kedua : Sunnah dalam ketinggian budi bahasa.

Jika kita menyoroti hadis Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, setiap ungkapan Baginda penuh hikmah, lembut bahasanya, tidak mencerca walaupun terhadap pihak lawan. Baginda menonjolkan ketinggian budi bahasa walau dalam apa jua keadaan dan masa. Dalam berkomunikasi, Baginda menggunakan kata-kata yang sesuai dengan tahap dan situasi pendengar, serta menjauhi kata-kata yang buruk dan negatif seperti maksud hadis baginda :

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, janganlah ia mengganggu jirannya, barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia berkata baik atau diam”

(HR. Bukhari)

Ketiga : Sunnah mendidik hati sanubari.

Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam merupakan suri teladan dalam kesopanan akhlak dan hati budi yang mulia. Sifat kerendahan hati baginda amat terserlah walaupun beliau merupakan utusan dan kekasih Allah. Apabila mendengar sesuatu perkara yang kurang baik dalam satu majlis, Baginda menegur secara umum bagi menjaga kehormatan individu. Baginda tidak suka mendengar perihal negatif tentang seseorang, agar Baginda dapat berinteraksi dengan semua orang tanpa buruk sangka. Bahkan Baginda berpesan agar kita menjauhi sifat buruk sangka melalui hadis yang bermaksud :

“Jauhilah prasangka sebab prasangka adalah ucapan yang paling dusta”

(Muttafaq Alaih)

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mencontohi sunnah Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam segenap aspek kehidupan, dengan menjadikan keperibadian Baginda sebagai contoh teladan sepanjang zaman sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Al-Ahzab ayat 21 :

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ٢١

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Beramal Dengan Sunnah Tanda Ketaatan Dan Kepatuhan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more