Persediaan Menyambut Ramadhan : Pena Hijau

Persediaan Menyambut Ramadhan

20231027 taubat dosa doa
Keutamaan Zuhud Dalam Kehidupan
1 Mar 2024
20240314 ramadhan madrasah tarbiyah masjid keluarga puasa
Ramadhan : Madrasah Tarbawiyyah
14 Mar 2024
20231027 taubat dosa doa
Keutamaan Zuhud Dalam Kehidupan
1 Mar 2024
20240314 ramadhan madrasah tarbiyah masjid keluarga puasa
Ramadhan : Madrasah Tarbawiyyah
14 Mar 2024
20200515 munajat ramadhan
icon follow us

Persediaan Menyambut Ramadhan | Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah subhanahu wa ta’ala kerana kita diberi kesempatan untuk berada di bulan Sya’ban dan mendoakan agar kita semua sempat mengecapi kemuliaan bulan Ramadhan 1445H yang bakal menjelma. Ketibaan bulan Sya’ban merupakan gerbang untuk kita memasuki bulan Ramadhan. Sewajarnya bulan ini dijadikan tempoh untuk mempersiapkan diri agar kita dapat menghadapi bulan Ramadhan dengan sempurna. Ketahuilah bahawa kesempurnaan ibadat merupakan tanda pengabdian kepada Allah SWT dan menzahirkan keikhlasan dalam melaksanakan ibadat kepadaNya. Sesungguhnya kejadian kita di atas bumi Allah subhanahu wa ta’ala adalah untuk beribadat dan sujud patuh kepada segala suruhanNya. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah adh-Dhariyat ayat 56 :

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ٥٦

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”

Dalam bulan Sya’ban ini, ada segelintir daripada kita sibuk dengan persiapan menyambut Ramadhan. Namun persiapan tersebut hanya berkisar tentang persiapan untuk membuka bazar Ramadhan, merancang untuk berniaga walaupun tidak berniaga pada bulan yang lain, sibuk mencari bazar mana yang akan dikunjungi dan ada yang sudah bersedia dengan persiapan hari raya walaupun Ramadhan belum menjelma lagi. Bukanlah perkara ini salah, namun hal ini sedikit sebanyak akan mengalihkan fokus kita kepada persiapan sebenar yang harus kita lakukan sebelum menghadapi ibadat puasa dalam bulan Ramadhan.

Marilah kita semua melakukan persiapan sebelum memasuki bulan Ramadhan yang bakal tiba. Antara persiapan yang boleh kita lakukan adalah :

Pertama : Secara umumnya, kita disunatkan berpuasa pada bulan Sya’ban terutama pada hari nisfu Sya’ban. Namun, bagi mereka yang tidak biasa untuk puasa sunat, maka tidak diharuskan untuk berpuasa bermula 16 Sya’ban. Keutamaan berpuasa sunat Sya’ban diceritakan oleh Sayyidatina ‘Aisyah rodhiallahu anha (yang bermaksud) :

“Aku tidak melihat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan bulan Ramadhan dan Aku tidak melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya’ban.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedua : Segera menggantikan puasa bagi mereka yang meninggalkan puasa pada tahun lepas. Sebagaimana kewajiban solat lima waktu, puasa Ramadhan juga wajib dilunaskan. Malah, hukum sama turut terpakai kepada muslim mukallaf yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan perkara tertentu yang dibenarkan oleh syarak seperti keuzuran, sakit kritikal, bermusafir dan wanita mengandung atau menyusukan bayi. Jika mengabaikan kewajipan untuk menggantikan puasa hingga tibanya Ramadhan nanti, tindakan tersebut dianggap sebagai berdosa dan wajib membayar fidyah. Fidyah wajib dibayar mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan dan tidak diganti, iaitu dengan kadar harga secupak beras sehari. Kadar ini akan berganda dengan bertambahnya bilangan tahun.

Fidyah boleh ditunaikan melalui Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Gesaan untuk mengantikan puasa dan membayar fidyah ini dijelaskan Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 184 :

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌۭ طَعَامُ مِسْكِينٍۢ

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; makasesiapa di antarakamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu member makan orang miskin”

Ketiga : Mengulangkaji hukum-hukum berkaitan ibadah puasa dan amal kebajikan yang lain. Memandangkan Ramadhan hanya datang sekali setiap tahun, maka sayugialah dinasihatkan untuk menelaah kembali hukum-hukum berkaitan ibadah puasa. Ulangkajilah semula rukun puasa, syarat wajib puasa, syarat sah, perkara yang membatalkan, perkara yang makruh dan sunat ketika berpuasa. Ketahuilah juga bahawa Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa ini kepada tiga bahagian iaitu :

  1. Puasa umum iaitu hanya menahan perut dan syahwatnya daripada tuntutan nafsunya sahaja
  2. Puasa khusus pula ialah bagi golongan para solihin. Mereka yang berada pada darjat kedua ini akan menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh panca inderanya daripada melakukan kemaksiatan dan dosa
  3. Puasa khusus al-khusus iaitu puasa yang menjaga hatinya daripada mengingati hal keduniaan. Dan menumpukan sepenuh hatinya hanya kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan hari akhirat serta memikirkan dunia hanya untuk tuntutan agama sahaja. Puasa ini merupakan puasa para anbia’, siddiqin dan muqarrabin.

Di samping kita melakukan aktiviti bersama ahli keluarga, janganlah kita lalai akan kehadiran bulan Sya’ban yang kita lalui sekarang. Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam memperingatkan kita akan perkara ini, menerusi sabda Baginda yang bermaksud :

“Bulan Sya’ban itu ialah bulan yang ramai manusia lalai tentangnya antara bulan Rejab dan Ramadhan. Pada bulan Sya’ban diangkat amalan kepada Allah dan aku ingin amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa”

(Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaie)

Justeru pada waktu yang berbaki ini, marilah kita melakukan persiapan dengan menelaah kembali hukum berkaitan puasa di bulan Ramadhan. Kita juga seharusnya merancang aktiviti ibadah dan amalan yang bakal kita lakukan dalam bulan Ramadhan kerana bulan ini adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam, sahabat dan ahli ibadah.

Kita juga disarankan untuk berdoa agar kita dikurniakan keberkatan agar kita mampu untuk menempuhi Ramadhan dengan ibadah yang sempurna.

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

“Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Persediaan Menyambut Ramadhan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more