Keutamaan Zuhud Dalam Kehidupan : Pena Hijau

Keutamaan Zuhud Dalam Kehidupan

20240223 nisfu syaaban malam masjid bulan
Amalan Bulan Syaaban
23 Feb 2024
20200515 munajat ramadhan
Persediaan Menyambut Ramadhan
7 Mar 2024
20240223 nisfu syaaban malam masjid bulan
Amalan Bulan Syaaban
23 Feb 2024
20200515 munajat ramadhan
Persediaan Menyambut Ramadhan
7 Mar 2024
20231027 taubat dosa doa
icon follow us

Keutamaan Zuhud Dalam Kehidupan | Terdapat beberapa pandangan awam dalam memahami makna zuhud. Ada yang memahami bahawa zuhud bererti menolak dunia. Ada pula yang memahami zuhud mestilah hidup miskin dan tidak perlu berusaha untuk mendapat kesenangan hidup di dunia. Terdapat juga yang memahami zuhud dengan makna mengasingkan diri daripada orang lain dan tidak perlu memikirkan hal urusan dunia.

Sebenarnya zuhud tidak boleh difahami dengan pemahaman yang sempit. Zuhud adalah sifat yang perlu ada dalam diri setiap orang Islam dan bukan hanya dikaitkan dengan orang yang miskin, tidak terurus hidupnya, lemah, dan seumpamanya. Orang yang hidupnya miskin, sederhana, mahupun orang kaya perlu memiliki sifat zuhud kerana dengan demikian diri akan dikasihi oleh Allah subhanahu wa ta’ala dan juga manusia.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :

“Zuhudlah terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya mereka akan mencintaimu”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Terdapat banyak tafsiran zuhud yang boleh dijadikan panduan agar kita tidak salah memahami maksudnya. Saidina Ali bin Abi Talib rodhiallahu ‘anhu berkata : “Zuhud ialah jangan terlalu gembira apabila memperoleh kesenangan dan jangan pula terlalu bersedih apabila mendapat musibah atau ujian“. Ini bermakna orang yang zuhud dapat menerima ketentuan hidupnya dengan redha dan tidak sesekali menyalahkan takdir.

Orang yang memiliki sifat zuhud memahami bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara. Dunia ialah tempat untuk menerima ujian daripada Allah subhanahu wa ta’ala untuk kemudiannya diganjari dengan pahala. Ujian kehidupan bukan sahaja melibatkan kesusahan, tetapi manusia juga diuji dengan kesenangan dan kebahagiaan.

Seorang Tabi’ at-Tabi’in bernama Sufyan bin ‘Uyainah menjelaskan bahawa : “Seseorang yang zuhud ialah jika mendapat nikmat, maka dia bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Manakala jika ditimpa musibah, maka dia bersabar“. Inilah hakikat zuhud yang perlu difahami oleh setiap Muslim.

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam Surah al-Anbiya’ ayat 35 :

كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلْخَيْرِ فِتْنَةًۭ ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ ٣٥

“Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”

Orang yang kekal bersabar dan menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah subhanahu wa ta’ala juga memiliki sifat zuhud. Ini sepertimana disebut oleh seorang Tabi’in bernama Ibnu Shihab az-Zuhri ketika ditanya tentang zuhud.

Beliau berkata : “Zuhud ialah sifat pada diri seseorang yang membuatnya tidak hilang kesabaran ketika berdepan dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dan perkara-perkara yang halal pula tidak menghalangnya daripada bersyukur”.

Jelaslah bahawa zuhud bukan satu pilihan, sebaliknya ia sifat yang mesti ada dalam diri setiap orang Islam. Seseorang yang berusaha menahan diri daripada melakukan perkara haram yang dilarang oleh Allah subhanahu wa ta’ala membuktikan dirinya beriman dengan adanya Hari Pembalasan serta takut kepada azab seksaan-Nya di Akhirat nanti.

Imam an-Nawawi menyatakan bahawa zuhud ialah meninggalkan urusan dunia yang tidak ada keperluannya dalam diri sekalipun perkara itu halal serta berusaha mencukupkan diri dengan perkara yang perlu sahaja. Sifat zuhud mengajar manusia untuk memberi keutamaan terhadap perkara yang penting dan meninggalkan perkara yang tidak memberi faedah atau perkara sia-sia.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita mengambil pengajaran penting berkaitan zuhud, iaitu :

  1. Zuhud bukan bermaksud menolak kehidupan dunia, sebaliknya menjadikan dunia sebagai jambatan untuk mencapai kebahagiaan di Akhirat.
  2. Orang yang memiliki sifat zuhud akan dikasihi oleh Allah subhanahu wa ta’ala dan juga manusia lain.
  3. Bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala ketika memperoleh nikmat-Nya dan bersabar mendepani ujian kehidupan merupakan tanda wujudnya sifat zuhud dalam diri.
  4. Jauhkanlah diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh lagha lagi melalaikan dan carilah masa untuk banyak mengingati Allah subhanahu wa ta’ala.
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Keutamaan Zuhud Dalam Kehidupan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more