Tekanan Hidup Kekeluargaan Dan Penyelesaiannya : Pena Hijau

Tekanan Hidup Kekeluargaan Dan Penyelesaiannya

20241101 scammer tabayyun penipuan
Hati-Hati Dengan Bahaya Scammer
30 Oct 2025
20241101 scammer tabayyun penipuan
Hati-Hati Dengan Bahaya Scammer
30 Oct 2025
20240314 ramadhan madrasah tarbiyah masjid keluarga puasa
icon follow us

Ikatan perkahwinan yang menyatukan hubungan antara suami dan isteri, menggariskan pelbagai hak dan tanggungjawab yang wajib  ditunaikan oleh kedua mereka dengan baik dan penuh tolak ansur. Secara umumnya, Islam telah menetapkan panduan tertentu agar keperluan masing-masing terus dihormati, perasaan kasih sayang dan cinta ditunaikan serta kepuasan fizikal diraikan.

Hubungan tersebut amat bergantung kepada kerjasama dan sikap saling membantu dalam mewujudkan kebahagiaan rumahtangga dan pembinaan keluarga, mendidik anak-anak, dan menghadapi cabaran kehidupan semasa.

Kehidupan dalam rumahtangga tidak terlepas daripada masalah dan tekanan yang mungkin berpunca daripada pelbagai aspek dalaman atau luaran. Terkadang berlaku pertelingkahan antara suami isteri atas sebab-sebab yang amat kecil dan remeh, suami mengadu isteri tidak patuh terhadap permintaannya, isteri pula mendakwa suami tidak melakukan tanggungjawabnya dengan cara yang betul. Terdapat juga campur tangan luar daripada pihak kedua ibu bapa, mertua dan pihak ketiga yang membawa kepada keretakan rumah tangga yang sepatutnya kukuh dan bahagia.

Demikianlah antara keluhan pelbagai peringkat masyarakat yang dilaporkan kepada pihak-pihak berkaitan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 19 :

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَيَجْعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا ١٩

“Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”

Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam :

لاَ يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً، إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا، رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ

“Janganlah seorang lelaki (suami) beriman itu membenci seorang wanita beriman (isteri), jika dia tidak menyukai daripadanya sesuatu perlakuan, pasti ada perlakuan lain yang dia sukainya”

(Hadis Riwayat Muslim, Nom Hadis 1469)

Rasa tertekan dalam kehidupan adalah sifat lumrah bagi setiap insan sama ada di dalam kehidupan rumah tangganya, kerjaya, pergaulan dan hal ehwal harian. Bak kata pepatah : “Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan“.

Oleh kerana itu, hampir setiap keluarga menghadapi tekanan atau “stress” bahkan ia juga berlaku di pusat pengajian, sekolah, kedai dan pejabat. Amatlah penting untuk diketahui sebab musabbab timbulnya tekanan berkenaan dan cara penyelesaianya yang terbaik.

Jika dikaji dan diteliti, kemunculan tekanan mungkin berpunca daripada kejahilan diri dalam mendidik anak-anak, kedangkalan ilmu dalam pengurusan rumah tangga, kurangnya pengetahuan dalam mengendalikan sesuatu tugasan, rutin harian yang amat membosankan, kewangan yang amat terhad, tidak menghormati sesama sendiri dan sikap tidak peduli daripada pasangan, sedangkan telah banyak resolusi dan pandangan dikemukakan untuk menyelesaikan permasalahan diri dan tekanan hidup yang dihadapi oleh semua peringkat usia manusia. Rujuklah dan dampingilah rakan-rakan atau ahli keluarga yang boleh membantu menangani tekanan yang dihadapi.

Kesemua kita disarankan untuk menghadapi sebarang permasalahan dengan penuh kesabaran, berhikmah serta mendapat kerjasama baik antara semua yang berkaitan. Keterbukaan hati dalam menerima sebarang teguran dan nasihat amat dihargai. Kita juga amat perlu dalam menghadapi suasana sedemikian dengan sentiasa menerima dan mempercayai konsep qada dan taqdir itu datangnya daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala Yang Maha Mengetahui.

Diperturunkan di sini beberapa saranan dalam mengurangkan rasa tekanan yang biasa dihadapi, antaranya:

  1. Bersikap positif dan menerima seadanya pasangan hidup, keluarga dan orang sekeliling dengan reda hati.
  2. Mengatasi sifat malu diri dengan bersedia memohon khidmat nasihat daripada pakarnya.
  3. Menghadapi suasana yang tidak tenteram itu dengan bijaksana dan berhemat.
  4. Memupuk hubungan erat dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan melaksanakan tuntutan agama.
  5. Menjauhi diri daripada rakan atau sumber yang boleh mengeruhkan lagi suasana yang sedang dihadapi itu,
  6. Menjauhi sikap putus asa dan menyerah atas kelemahan yang berlaku.
  7. Bertekad untuk menyelesaikan masalah dengan menemukan solusi terbaik dan yakin bahawa setiap kekusutan pasti ada jalan keluar.

Jadikan rumahtangga kita sebagai tempat anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang dan bimbingan. Sentiasalah pantau pergaulan dan tingkah laku mereka agar ianya dalam kawalan dan pengetahuan kita. Jadilah pendengar yang baik terhadap masalah mereka.

Kesimpulannya, marilah kita memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan agama, tunaikanlah kewajipan harian dengan penuh bertanggungjwab dan amanah, banyakkanlah berdoa memohon bantuan dan pertolongan Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar hidup kita di dunia ini dibahagiakanNya dan dikurniakan keamanan di akhirat kelak.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Tekanan Hidup Kekeluargaan Dan Penyelesaiannya
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more