Pengisian Anugerah Kemerdekaan : Pena Hijau

Pengisian Anugerah Kemerdekaan

ANE 20220818 keseimbangan
Keseimbangan Hidup, Kunci Kebahagiaan
19 Aug 2022
ANE 20220902 pembuka rezeki
Kunci Pembuka Rezeki
2 Sep 2022
ANE 20220818 keseimbangan
Keseimbangan Hidup, Kunci Kebahagiaan
19 Aug 2022
ANE 20220902 pembuka rezeki
Kunci Pembuka Rezeki
2 Sep 2022
ANE 20220825 kemerdekaan
icon follow us

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan detik bermakna dalam lipatan sejarah negara. Setiap tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan bagi mengenang jasa pahlawan dan pejuang bangsa yang telah banyak berkorban demi mencapai kemerdekaan. Oleh itu, marilah sama-sama kita menghayati nikmat kemerdekaan dengan mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian bangsa demi memastikan kemerdekaan ini dapat dipertahankan dan terus dinikmati oleh generasi akan datang. Alhamdulillah, kita masih berpeluang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-65 pada tahun ini. Sebagai warga Malaysia, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah menganugerahkan nikmat kemerdekaan setelah kita terjajah hampir 4 kurun. Segala hasil mahsul kekayaan negara ini telah dikaut oleh penjajah, lalu dibawa masuk pelbagai budaya dan sistem hidup yang berbeza dengan budaya kita.

Islam adalah ajaran yang menentang penindasan dan penghambaan sesama manusia. Sedangkan setiap manusia dilahirkan merdeka sebagaimana kata Khalifah Umar ibn al Khattab RA : “Sejak bila kamu memperhambakan manusia, sedangkan ibu melahirkan mereka sebagai manusia merdeka.”

Justeru, kemerdekaan negara yang telah kita kecapi adalah anugerah Allah yang wajib disyukuri. Kurniaan ini boleh ditarik oleh Allah dan bertukar menjadi mala petaka jika kita kufur dengan nikmat keamanan dan kedamaian. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 112 :

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ ءَامِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَٰقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلْجُوعِ وَٱلْخَوْفِ بِمَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

“Allah SWT memberikan satu contoh; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan”.

Marilah sama-sama kita mengisi nikmat kemerdekaan menurut acuan al-Quran al-Karim sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al Hajj, ayat 41 :

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Al-Jazaairiy الْجَزَائِرِيّ dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menggariskan prinsip-prinsip asas pembentukan sebuah daulah yang diredhai Allah. Iaitu;

  1. Menunaikan hak pengabdian dan kesyukuran kepada Allah dengan mendirikan solat yang merupakan ibadat yang terbesar.
  2. Melunaskan hak keadilan sesama manusia dengan menunaikan zakat.
  3. Menyuruh berbuat baik melalui nasihat, pendidikan dan perlaksanaan hukum hakam syariat.
  4. Mencegah kemungkaran dan kejahatan melalui kesedaran sivik, pembinaan akhlak atau penguatkuasaan undang-undang.

Nikmat 65 tahun kemerdekaan perlu disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan yang murni dan tulen. Kemajuan yang digerakkan mesti seiring dengan pembangunan keinsanan. Tokoh peradaban, Malik Bennabi menegaskan bahawa perjuangan memerdekakan negara harus serentak dengan dengan membebaskan minda. Berusahalah untuk melepaskan diri dari berfikir seperti penjajah yang tidak meletakkan agama sebagai panduan khususnya dalam membina sistem nilai.

Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengisi anugerah kemerdekaan dengan perkara-perkara berikut :

  1. Menguatkan hubungan kita dengan Allah dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
  2. Memelihara jati diri sebagai seorang Muslim agar tidak terpengaruh dengan budaya-budaya songsang dan negatif.
  3. Berbakti dan berganding bahu dalam memakmurkan negara.
  4. Menjaga keharmonian, kesejahteraan dan keamanan sesama kita dan juga dengan kaum lain sebagai satu keluarga.

Semoga Malaysia dan seluruh dunia Islam terus diberkati Allah SWT dan dinaungi rahmat serta terpelihara dari musibah dan bencana.

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

(Surah Ali-Imran ayat :103)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Pengisian Anugerah Kemerdekaan
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more