Orang Yang Paling Dibenci Menjadi Paling Dicintai : Pena Hijau

Orang Yang Paling Dibenci Menjadi Paling Dicintai

20240413 kata hikmah perantauan
Untaian Kata Hikmah – Perantauan
16 May 2018
20180705 keutamaan ilmu
Keutamaan Ilmu
5 Jul 2018
20240413 kata hikmah perantauan
Untaian Kata Hikmah – Perantauan
16 May 2018
20180705 keutamaan ilmu
Keutamaan Ilmu
5 Jul 2018
icon follow us

Diriwayatkan seorang lelaki berbangsa Arab bernama Tsamamah bin Itsal daripada Kabilah Al-Yamamah, pergi ke kota Madinah Al-Munawarah dengan tujuan ingin membunuh Nabi Muhammad SAW. Dengan nekad bulat dan semangat kuat dia pergi ke majlis Rasulullah SAW.
Umar bin Khattab sudah menghidu niat jahat lelaki itu. Maka dia pergi menghampirinya dan terus bertanya,
“Apa tujuan kedatanganmu ke Madinah? Bukankah engkau seorang musyrik?!”
Lelaki itu dengan terus terang berkata,
“Aku datang ke negeri ini hanya untuk membunuh Muhammad!!”
Mendengar kata-kata lelaki itu, Umar menjadi amat marah. Dengan cepat dan tangkas, Umar terus menghunuskan pedangnya. Mereka bertarung dan Tsamamah kalah tetapi tidak dapat dibunuh oleh Umar. Kemudian Tsamamah diikat pada salah satu tiang di masjid.
Umar bin Khattab segera pergi melaporkan kejadian itu kepada Rasulullah SAW. Namun Rasulullah yang diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam begitu tenang menerima perkhabaran daripada sahabatnya itu. Rasulullah cepat keluar pergi berjumpa dengan lelaki yang hendak membunuhnya. Rasulullah mengamati wajah lelaki yang hendak membunuhnya itu, sementara Umar sudah tidak sabar menunggu untuk diperintahkan memenggal leher lelaki durjana itu.
Sesudah mengamati wajah Tsamamah yang kelihatan lesu, Rasulullah SAW lalu menoleh kepada para sahabatnya dan bertanya,
“Apakah ada di antara kamu yang sudah memberinya makan?”
Umar terdiam sejenak mendengar pertanyaan tersebut. Dia yang sejak tadi menunggu diperintahkan membunuh lelaki itu ditanya tentang pemberian makanan kepada lelaki tersebut. Umar seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya, maka dia bertanya,
“Makanan apa yang baginda maksudkan, ya Rasulullah? Makanan apa yang akan dia makan? Orang itu datang ke sini untuk membunuh baginda, bukan datang untuk masuk Islam!”
Namun Rasulullah tidak menghiraukan kata-kata Umar, bahkan beliau memerintahkan,
“Tolong ambilkan segelas susu dari rumahku dan buka tali pengikat lelaki itu!”
Sesudah Tsamamah diberi minum dan kelihatan wajahnya segar sedikit, Rasulullah memerintahkan dengan sopan kepadanya,
“Ucapkanlah tiada Tuhan selain Allah”
Tsamamah menjawab,
“Aku tidak akan mengucapkannya”
Rasulullah berkata lagi,
“Katakanlah… aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi Muhammad adalah Rasul Allah”
Namun Tsamamah tetap berkata dengan nada yang keras,
“Aku tidak akan mengatakannya!”
Rasulullah memutuskan untuk membebaskan Tsamamah. Tsamamah pun bangkit dan pergi seolah-olah hendak kembali ke negerinya. Tetapi belum berapa jauh ia melangkah dari masjid, dia kembali lagi kepada Rasulullah seraya berkata,
“Ya Rasulullah, aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah”
Rasulullah bertanya,
“Kenapa engkau tidak mengucapkannya ketika aku memerintahkan kepadamu?”
Tsamamah menjawab,
“Aku tidak mahu mengucapkan ketika masih belum kau bebaskan aku kerana aku khuatir ada orang menganggap aku masuk Islam kerana takut kepadamu. Akan tetapi setelah aku dibebaskan, aku masuk Islam kerana semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Robbul ‘alamin”
Pada suatu kesempatan Tsamamah bin Itsal berkata,
“Ketika aku memasuki memasuki Kota Madinah, tidak ada orang pun yang aku benci selain dari Muhammad. Tetapi sesudah aku meninggalkan kota ini, tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai selain Muhammad Rasulullah”
alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Orang Yang Paling Dibenci Menjadi Paling Dicintai
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more