Air dicencang tiada putus : Pena Hijau
Peka dan prihatin dengan masa
13 Jul 2020
Bagaimana kita boleh menenangkan jiwa?
15 Jul 2020
Peka dan prihatin dengan masa
13 Jul 2020
Bagaimana kita boleh menenangkan jiwa?
15 Jul 2020
icon follow us

‘Air dicencang tiada putus’ adalah peribahasa Melayu yang membawa maksud perselisihan antara adik-beradik tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berbaik semula.  Peribahasa lain yang sama maksud di atas ialah ‘Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.’

Islam amat mementingkan umatnya untuk menjaga silaturahim.  Sama ada sesama ahli keluarga mahupun sesama ahli masyarakat. Silaturahim amat penting sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah pentingnya kita menjaga hubungan sesama Islam terutama dalam kalangan adik-beradik. Pertelingkahan dan pergaduhan adalah asam garam dalam setiap hubungan.  Namun, jangan sampai ia sehingga memutuskan silaturahim.

Siapa pun yang menjadi punca kepada permasalahan, hendaknya kita mengalah dan menjadi orang pertama yang meminta maaf. Ucapkanlah perkataan maaf itu supaya semua sengketa terhapus.

Cubalah kita ingat sewaktu kecil.  Setiap kali kita bergaduh, berebut barang mainan atau makanan, kita bertumbuk dan menangis.  Akhirnya, kita akan berbaik semula dan boleh bermain bersama-sama tanpa ada perasaan dendam.  Apabila usia meningkat remaja dan dewasa, semuanya berubah.

Kita sudah punya kerjaya yang baik, tidak lagi mengharap bantuan adik-beradik dan keluarga.  Kita sudah berdikari dan mempunyai pendapatan tetap. Sehingga suatu ketika, kita lupa bahawa hubungan adik-beradik adalah yang paling penting dalam hidup.

Persekitaran dan cita-cita telah membunuh semua kenangan indah bersama adik-beradik. Paling menyedihkan apabila ibu atau bapa atau kedua-duanya sudah meninggal dunia. Sedangkan memelihara silaturahim akan membuka pintu rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya, sekali gus menyuburkan hubungan sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim).”  (HR Bukhari dan Muslim)

Seorang sahabat juga pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku amal yang dapat memasukkan aku ke syurga.” Rasulullah menjawab; “Engkau menyembah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan segala sesuatu, engkau dirikan solat, tunaikan zakat dan engkau menyambung silaturahim.”  (HR Bukhari)

Aspek penting dalam membina hubungan baik adik-beradik ialah komunikasi. Meskipun masing-masing sibuk dan kurang masa untuk melakukan aktiviti bersama. Sekali sekali kita perlu bertanya khabar, berhubung melalui telefon, sistem pesanan ringkas atau melalui aplikasi pintar.

Hari ini tidak ada alasan untuk kita memutuskan silaturahim.  Walaupun jauh beribu batu, namun kita boleh berhubung menggunakan teknologi dan aplikasi pintar, menyapa satu sama lain, bukan sekadar seorang tetapi juga beramai-ramai dalam satu masa tanpa batasan.

Apapun kesilapan yang pernah dilakukan oleh adik, abang atau kakak, maafkan sahaja.  Kita hanya perlu fokus kepada kelebihan masing-masing. Inilah yang akan menjadi kekuatan kepada ikatan hubungan kekeluargaan.

Sesungguhnya benarlah seperti kata pepatah Melayu bahawa ‘Air dicecang tidak akan putus’. Adik-beradik kandung tiada tukar ganti.  Justeru peliharalah hubungan ini sehingga ke akhir hayat kita.  Semoga bermanfaat.

Sumber : Salam Web Today

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.

Leave a Reply

Air dicencang tiada putus
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more