Nasi Arab Mandy juadah kegemaran ramai
7 Sep 2020Kita dan sujud syukur kepada Allah SWT
8 Sep 2020Isteri Boleh Nusyuz Kalau Keluar Rumah Tanpa Izin Suami, Tapi Kalau Ke Rumah Ibu Bapa? | Seorang isteri wajib taat kepada suaminya. Sebelum keluar rumah, sebagai seorang isteri perlu meminta izin dahulu kepada suaminya.
Setiap tindakan yang akan dilakukan, isteri perlu meminta izin pada suaminya terlebih dahulu seperti keluar rumah, ingin melakukan puasa sunat dan juga untuk keluar negeri disebabkan urusan kerja, maka wajib ke atas seseorang yang bergelar isteri untuk meminta izin.
Namun antara ibu bapa dan juga suami, yang mana patut diutamakan terlebih dahulu? Ibu bapa yang membesarkan ataupun suami yang memimpin isteri?
Bagaimana jika mertua yang tiba-tiba mengajak menantunya (isteri) untuk keluar rumah bagi menemaninya membeli belah atau melakukan sesuatu? Mana satu yang isteri perlu taati?
Mengikut penjelasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah dan jumhur ulama yang lain, hukum asal seorang isteri keluar dari rumah tanpa izin suami adalah haram. Bahkan, isteri ini dianggap sebagai nusyuz dan berdosa besar.
Nusyuz merupakan perbuatan maksiat atau perkara yang dilakukan yang boleh membawa dosa. Secara kebiasaannya, ia terjadi kepada wanita. Isteri yang nusyuz ialah yang ingkar kepada suaminya dan tidak mentaatinya.
Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Demi Dia yang jiwa Muhammad di TanganNya, seseorang wanita itu tidak dikira menunaikan hak tuhannya sehingga dia menunaikan hak suaminya.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 1853)
Dalam Fath Al-Bari juga ada disebutkan bahawa : “Wanita tidak boleh keluar rumah suaminya kecuali dengan izin suami.” (Ibn Hajar Al-Asqalani, Fath Al-Bari, 2/347)
Suami tidak boleh menghalang si isteri daripada keluar rumah untuk melawat ibu bapa kandung mahupun mertuanya kerana ia boleh memutuskan ikatan dan hubungan antara anak dan ibu bapa.
Apabila terjadi sedemikian, maka suaminya dikira berdosa besar melainkan jika suami mempunyai alasan yang kukuh seperti kepulangan isteri keluar rumah pergi ke rumah mertua boleh membawa mudarat dan sebagainya.
Namun, dalam masa yang sama, menjadi kewajipan isteri untuk meminta izin suami terlebih dahulu sebelum pergi melawat mereka ataupun keluar rumah untuk melakukan aktiviti bersama seperti membeli belah atau menemani mereka ke klinik dan sebagainya.
Adapun, jika kedua-dua mereka telah bersetuju untuk memberi keizinan di atas hal-hal tertentu, maka si isteri dibolehkan keluar tanpa menunggu si suami memberi keizinan.
Sebagai contoh, disebabkan keadaan ibu mertua yang uzur dan sakit, maka si suami memberi keizinan kepada isterinya untuk sentiasa melawat bagi menguruskan makan dan pakai ibu tersebut pada setiap hari.
Bahkan, jika terjadi kecemasan dan hal-hal di luar jangkauan, suami juga mengizinkan isteri untuk menguruskannya. Maka, dalam hal ini keizinan telah diberikan dari awal. Oleh itu, tidak menjadi kesalahan bagi si isteri untuk keluar rumah (yang berada dalam pengetahuan suaminya).
Tuntasnya, dalam hal ini, seorang suami dan isteri perlu bertoleransi bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga. Wajib ke atas isterinya untuk meminta izin bagi keluar daripada rumah walaupun untuk bertemu dan melawat ibu bapanya.
Suami juga perlu mengambil berat dan peka akan keadaan ibu bapanya dan bertolak-ansur untuk mengizinkan isteri melawat mereka.
Wallahu a’alam.